Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos bukanlah seorang yang anti bukan Melayu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata timbalan perdana menteri itu Jamal sudah membuktikan keikhlasannya dengan membantu orang bukan Melayu semasa pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar beberapa bulan lalu.

Bahkan, menurut pemangku timbalan presiden Umno itu lagi Jamal jugalah individu yang mendesak beliau agar membebaskan sekumpulan nelayan Cina yang ditangkap di perairan Indonesia sebelum itu.

"Jamal bukan antibukan Melayu. Beliau adil kepada semua orang bukan Melayu.

"Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri dia adil kepada semua," kata Ahmad Zahid di Sungai Besar hari ini.

Zahid berada di kawasan itu untuk merasmikan mesyuarat tahunan Umno bahagian berkenaan.

Difahamkan Zahid berkata demikian ekoran pelbagai dakwaan dilemparkan pihak pembangkang kepada Jamal.

Nama Jamal memang bukan terlalu asing dengan kontroversi.

Pada September 2015 dia menuntut peniaga Melayu dibenarkan menjalankan perniagaan di Jalan Petaling supaya tempat itu tidak akan dilihat sebagai 'perkauman'.

Contohi sikap Jamal

Katanya selepas berlaku pergeseran antara peserta Baju Merah dan polis sehari sebelum itu di luar tempat membeli-belah ikonik berkenaan, tiba masa untuk orang Cina "berkongsi" apa yang mereka miliki.

"(Pada) 10 tahun dulu, saya ada cuba memohon berniaga di Jalan Petaling tapi tak diberi tempat.

"Jadi eloknya pihak berkuasa dan (Dewan) bandar raya (Kuala Lumpur) tidak rasis. Ini yang dikatakan rasis sebab semuanya peniaga Cina. Apa salahnya tambah peniaga Melayu.

"Kita kata kita nak berkongsi. (Tapi) hak mereka tak nak kongsi. Hak kita saja (yang) kongsi," katanya.

Jamal juga pernah mengancam untuk membakar papan tanda “Selamatkan Anwar” yang dinaikkan di kawasan Ampang pada Mac lalu.

Bagaimanapun Umno mengambil sikap tidak mencampuri isu berkenaan apabila ketua penerangannya Tan Sri Annuar Musa berkata ancaman Jamal tidak mewakili parti.

Kata Zahid berkata sikap kepedulian Jamal harus dicontohi semua pihak khususnya kepimpinan Umno untuk mempertahankan kemenangan Umno terutama di Sungai Besar.

“Bedah siasat PRK Sungai Besar mengajar kita agar mengambil sikap peduli kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

"Justeru kita harus teruskan mengambil peduli rakyat di bawah ini,” kata Zahid.

Selain itu, Zahid juga turut mengingatkan Jamal bahawa duit - walaupun penting - bukanlah segalanya.

Namun apa yang penting adalah sikap yang adil.

“Segalanya memerlukan duit tetapi duit bukan segalanya. Ramai yang banyak duit lebih dari Jamal tapi tak sebaik budi beliau,” kata Zahid.

Lihat Komen
ADS