Terjemahan Buat pertamakalinya, sambutan Hari Buruh anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tahun ini akan dirayakan di kawasan terbuka dan pada waktu malam, kata Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud.

Sambutan tersebut yang bertemakan "Globalisasi Mengikir Hak Pekerja" akan berlangsung di Dataran Merdeka, pada jam 9 malam 30 April ini. Ia akan diserikan oleh persembahan oleh kumpulan North Port (Klang).

Antara sebab sambutan itu diadakan di tempat terbuka ialah untuk menimbulkan kesedaran terhadap permasalahan dan hak-hak pekerja, di samping mengukur sokongan terhadap MTUC, selaku badan induk kepada lebih 230 kesatuan sekerja di sektor swasta dalam industri-industri utama.

"Kami berharap untuk mengumpulkan seramai mungkin pekerja. Itu, saya rasa, akan memberi kita satu gambaran di mana kita (MTUC) berdiri sekarang," kata Syed Shahir.

Ini merupakan acara terbesar anjuran MTUC sejak Syed Shahir terpilih menerajui kongres tersebut selepas menewaskan Senator Zainal Rampak dalam pemilihan jawatan presiden baru-baru ini.

"Kami mahu melihat sokongan daripada para pekerja. Ya, kita mempunyai ahli gabungan tetapi setiapkali kita menyambut Hari Buruh, sambutannya sama ada di dalam dewan atau di dalam kawasan...ruang terhad," katanya kepada malaysiakini baru-baru ini.

"Kini apabila sambutan itu diadakan di kawasan yang luas di tengah-tengah bandaraya, adalah menarik untuk melihat berapa ramai pekerja yang akan hadir di Dataran Merdeka. Jika tidak ramai yang hadir, maka ia menunjukkan sesuatu," katanya.

Melindungi hak pekerja

Syed Shahir, yang baru menyelesaikan tempoh 100 hari sebagai presiden MTUC baru-baru ini, berkata ukuran sokongan pekerja adalah langkah seterusnya MTUC, selepas ahli-ahli memberi mandat kepada pemimpinnya untuk membawa perubahan serta melindungi hak-hak pekerja.

"Di sinilah dapat kita ketahui sama ada wujud komitmen yang kuat di kalangan pekerja. Jika kita dapati mereka menyokong tradisi ini untuk kebaikan pekerja, maka kita akan meneruskannya dari situ," katanya.

Sewaktu sambutan Hari Buruh 2002, MTUC, khususnya Zainal, telah dikecam oleh Parti Sosialis Malaysia kerana tidak turut sama dalam perhimpunan secara aman oleh beratus-ratus pekerja dan kumpulan yang terpinggir.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut dikecam kerana menyebelahi Zainal.

Dalam perhimpunan tersebut, polis menangkap kira-kira 20 orang dan mereka ditahan semalaman dalam lokap.

Keperluan untuk mendapatkan permit polis bagi mengadakan perhimpunan secara sah di kawasan lapang terus diperdebatkan oleh aktivis sosial dan hak asasi manusia, yang berhujah rakyat mesti diberi kebebasan menyertai demonstrasi yang diadakan secara aman di mana-mana sahaja.

Isu pengguna

Sementara itu, MTUC akan menganjurkan ceramah mengenai pengswastaan air dan pembiayaan penjagaan kesihatan pada 28 April ini.

Menurut Syed Shahir, dua isu tersebut membabitkan para pekerja secara langsung kerana mereka merupakan merupakan golongan pengguna yang terbesar di negara ini.

"Jawatankuasa pengguna kita akan terbabit mengadakan kempen membantah pengswastaan air dan ia kini sedang membuat persediaan untuk mengadakan program sehari itu. Ini juga termasuk isu pembiayaan penjagaan kesihatan yang diumumkan baru-baru ini," katanya.

Menurut Syed Shahir adalah penting bagi MTUC memperjuangkan isu-isu yang membabitkan kehidupan para pekerja.

Gabungan Membantah Pengswastaan Air gabungan 26 pertubuhan masyarakat sivil, termasuk MTUC, telah mengemukakan memorandum bantahan kepada Parlimen dan Suhakam pada 17 Januari dan 24 Februari yang lalu.