Terjemahan Pemilik syarikat InventQJaya Sdn Bhd (IQJ), Dr Sadeg Mustafa mendakwa wujudnya "konspirasi, cemburu dan sabotaj" membabitkan mereka yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan untuk menjatuhkannya sehingga mengakibatkan syarikatnya kini diletakkan di bawah tanggungan.

Beliau membuat dakwaan itu dalam beberapa dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan perintah penyitaan yang dibuat mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) yang dikeluar dan dilaksanakan oleh pihak polis pada 24 Februari.

Peguamnya, Sankara Nair memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa Sadeg percaya, perintah tersebut, yang turut melucutkan semua kuasa dan hak keistimewaannya sebagai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif IQJ, dibuat dengan niat jahat.

"Kami telah menfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan semakan kehakiman, antara lain, satu perintah untuk membatalkan arahan rpenyitaan polis tersebut dan untuk mengembalikan hak perundangan kepada pelanggan kami," katanya.

Beliau mendakwa, tindakan polis menggunakan 'peruntukan kejam' dalam AMLA yang disifatkannya sebagai "ISA kewangan" adalah keras dan dibuat sewenang-wenangnya. Undang-undang tersebut membenarkan pihak polis menyita dokumen dan melantik Pricewaterhousecooper sebagai pentadbir.

Katanya, pihak berkuasa sepatutnya bertindak lebih berhati-hati demi ketelusan dan mengikut proses sepatutnya, dengan setidak-tidaknya membuat permohonan di mahkamah untuk mendapatkan perintah penyitaan, yang perlu disertakan bersama alasan-alasan yang kuat dan meyakinkan, kepada mahkamah.

Sankara berkata permohonan sebelah pihak itu yang menamakan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden juga untuk mendapatkan satu perintah melarang dan menyekat tindakan selanjutnya oleh pihak kerajaan, yang boleh menjejaskan kedudukan Sadeg dan IQJ.

"Kami juga memohon mendapatkan perintah penangguhan berkaitan dengan urusan perniagaan syarikat sehingga keputusan dibuat terhadap permohonan tersebut," katanya.

Menafikan tuduhan

Pada 24 Januari 2004, Sadeg menubuhkan IQJ di Cyberjaya vesi Lembah Silicon di Malaysia di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menerima pinjaman sebanyak RM437 juta dalam empat peringkat.

Beliau telah dipelawa oleh Dr Mahathir yang tertarik dengan 'model perniagaan InventQbation' untuk membantu negara-negara kurang maju menguasai bidang teknologi.

Pada bulan Februari tahun ini, pihak media melaporkan dakwaan berlaku salahpengurusan dalam IQJ dan diikuti dengan serbuan polis ke premis syarikat tersebut.

Sebelum ini, Sadeg juga telah mengadakan sidang akhbar untuk menafikan semua dakwaan tersebut dan menegaskan beliau telah melaksanakan semua kewajipannya di bawah perjanjian pinjaman tersebut, dengan memindahkan lapan teknologi dan lebih 600 hak paten, mengambil dan melatih lebih 140 saintis dan pakar teknologi; dan menghasilkan 53 ciptaan baru di Malaysia.

Dalam afidavitnya yang difailkan pada 30 Mac, Sadeq mendakwa beliau telah melaksanakan tugasnya secara profesional dan standard yang tinggi, dan sifat baik tersebut menjadikannya sasaran beberapa bekas kakitangannya yang tidak berpuashati kerana ditamatkan perkhidmatan disebabkan kerendahan prestasi dan etika seperti perbuatan rasuah, mencuri dan memalsukan dokumen.

Beliau mendakwa, segala-galanya berjalan lancar sehinggalah Dr Mahathir bersara pada bulan November 2003.

"Apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan negara, maka masalah saya pun bermula. Terdapat sektor-sektor tertentu dalam kerajaan yang mula mensabotaj usaha saya dan orang-orang tertentu mahu memansuhkan apa yang telah dibuat oleh Dr Mahathir dan kempen berjalan untuk beberapa bulan untuk tujuan tersebut."

Beliau juga mendakwa, "mereka yang mahu memusnahkan dirinya dan syarikatnya" telah menggunakan laporan polis yang dibuat oleh bekas ketua pegawai kewangan IQJ, Sushamma Gokhale yang mendakwa dia (Sadeg) telah melakukan pecah amanah.

Sadeg berkata, beliau akan mendedahkan identiti 'mereka yang mensabotajnya' apabila perkara itu didengar di mahkamah.

"Saya telah menjadi mangsa terhadap kempen peribadi oleh personaliti berkedudukan tinggi di Kementerian Kewangan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kerajaan Malaysia (yang akan saya namakan di mahkamah nanti) yang tidak berpuashati dengan saya, dan menunggu persaraan Dr Mahathir untuk mengenakan syarikat dan diri saya dan motif-motif lain," katanya dalam afidavit tersebut.

Tidak pernah berlaku sebelumnya

Sadeg juga mendakwa tindakan polis itu juga "didorong" oleh personaliti yang sama.

"Adalah jelas dan terang, daripada tindakan polis ketika menjalankan siasatan, yang mereka bertindak sewenang-wenangnya dan berniat jahat apabila mereka beriya-iya menggunakan AMLA dan terutama apabila mereka mengeluarkan perintah rampasan, sedangkan ia bukan merupakan norma dalam amalan polis. Merampas sebuah syarikat yang diperbadankan oleh pihak polis, tidak pernah berlaku di Malaysia," katanya.

Beliau juga mendakwa, tidak dapat dibayangkan polis mempunyai bukti yang cukup untuk mengambil tindakan drastik seumpama itu apabila mereka tidak peduli pun untuk merakamkan sebarang kenyataan daripadanya, walaupun mereka boleh berbuat demikian.

Beliau juga mendakwa, pihak polis tertindak secara tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan, dengan sengaja dan secara salah, menggunakan AMLA, dengan mendakwa tindakan tersebut melampaui Perkara 13 dalam perlembagaan yang menyatakan tiada siapapun yang boleh dirampas harta orang lain.

Sadeg juga berkata, perintah mengikut AMLA itu bukan sahaja telah mengakibatkan "kerosakan yang tidak boleh diganti" kepada IQJ tetapi juga kepada syarikatnya yang beribupejabat di Amerika, Reveo Inc USA dan operasi-operasinya di India dan negara-negara lain.

"Syarikat (IQJ) berhutang berjuta-juta ringgit kepada Raveo Inc USA dan kesan daripadanya telah mengakibatkan berlaku pemberhentian kerja, dan pembatasan dan/atau penutupan operasi-operasi tertentu saya di seluruh dunia dan berkemungkinan jatuh muflis," dakwanya.