Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis larang 'Dialog Perajurit' dengan pesara tentera - Rafizi
Diterbitkan:  Sep 7, 2016 1:13 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa polis melarang ‘Dialog Perajurit’ anjuran pembangkang dengan pesara tentera yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur malam ini.

Di sebalik larangan itu, beliau berikrar akan meneruskan dialog hari ini yang dijadualkan di Setiawangsa dan menggesa pesara tentera untuk hadir.

Pertemuan malam ini adalah yang pertama dalam siri 'Dialog Perajurit’ yang diadakan di kawasan parlimen yang mempunyai bilangan pengundi tentera yang tinggi.

Menurut Rafizi, polis memaklumkan dialog itu melanggar Akta Perhimpunan Aman di sebalik notis acara itu diberikan 10 hari lebih awal sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Oleh itu, saya akan meneruskan dialog pada hari ini dan menyeru seramai mungkin pesara tentera untuk hadir bersama-sama. Saya telah mendapat beberapa pengesahan bahawa ada kumpulan pesara dari negeri-negeri lain yang akan turut hadir.

“Tindakan pihak polis cuba menyekat berlangsungnya ‘Dialog Perajurit’ malam ini mengesahkan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak takut dengan pengaruh pesara tentera dan kesannya kepada undi Melayu dalam PRU14 kelak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Roy Suhaimi Sarif untuk mendapatkan ulasannya mengenai dakwaan larangan acara berkenaan.

Menurut Rafizi, terdapat kira-kira 450,000 anggota pesara tentera dan anggaran 1.8 juta ahli keluarga mereka yang boleh mengundi.

Katanya, Umno mungkin bimbang tentang perkara ini, kerana isu yang membabitkan pesara itu sebahagian besarnya diabaikan.

“Saya juga tahu isu-isu kebajikan mereka yang terabai ada banyak benarnya dan hanya dengan memulakan siri dialog secara terbuka begini barulah pentadbiran Najib mahu mendengar keluhan mereka,” katanya.

Rafizi sebelum ini berkata, kebajikan pesara tentera akan menjadi agenda utamanya menjelang beberapa bulan akan datang sebelum kemungkinan dirinya dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Khamis lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi untuk membela diri atas tuduhan membocorkan dokumen sulit berkaitan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS