Umno Pulau Pinang menyelar kerajaan negeri yang dipimpin DAP kerana bakal merobohkan satu lagi kampung turun temurun iaitu Kampung Madrasah.

Ketua Umno bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, Dap perlu berhenti bermain sandiwara memperbodohkan rakyat.

"Kononnya mereka mengambil berat akan masalah rakyat sedangkan ‘sikap mengambil berat’ itu hanyalah mahu menyembunyikan kekejaman kerajaan negeri yang bakal merobohkan Kampung Madrasah.

"Kerajaan negeri kini sedang giat turun ke kawasan perumahan rumah pangsa bagi mengenal pasti sebarang masalah kononnya untuk menghulurkan bantuan," katanya, memetik laporan Umno Online.

Sebelum ini, Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, sebanyak 29 kampung di Pulau Pinang kemungkinan berdepan risiko 'hilang dari peta'.

Ini, ujar beliau, berikutan diancam aktiviti pembangunan yang akan menenggelamkan kampung tradisi masyarakat Melayu di negeri berkenaan.

Antara kampung dilihat terancam ialah Kampung Bagan Dalam, Kampung Batu Maung, Kampung Batu Uban, Kampung Binjal, Kampung Buah Pala, Kampung Dalca, Kampung Dodol, Kampung Gajah, Kampung Genting, Kampung Lima Kongsi, Kampung Makam, Kampung Melayu, Kampung Nelayan, Kampung Padang Benggali dan Kampung Pisang.

Turut mengalami risiko ialah Kampung Permatang Tepi laut, Kampung Permatang Tok Subuh, Kampung Pondok Upeh, Kampung Pokok Asam, Kampung Pulau Jelutong, Kampung Selut, Kampung Siam, Kampung Sungai Nibong Kecil, Kampung Tanjong Tokong, Kampung Teluk Air Tawar, Kampung Teluk Kumbar, Kampung Tengah Jelutong, Kampung Tengah Air Itam dan Kampung Terang.

Kebanyakan kampung terbabit adalah dari daerah Timur Laut, tambah Azeem Fazwan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, apabila mereka mahu merobohkan kawasan kampung bagi memajukan kawasan tersebut, tiba-tiba DAP begitu prihatin dengan permasalahan rakyat.

“Bagi saya ini semua satu strategi mahu mengaburi mata rakyat tambahan pula PRU-14 sudah semakin hampir. Masalah longkang tersumbat atau sebagainya kini bukan masalah utama.

"Masalah lebih besar adalah bagaimana nasib penduduk Kampung Madrasah. Saya difahamkan mereka ini telah diberi notis untuk mengosongkan rumah masing-masing.

"Kami tidak menolak pembangunan tetapi kerajaan negeri haruslah memberi rumah kepada penduduk kampung sebagai ganti rugi. Jika tidak, di manalah mereka ini mahu tinggal," tambahnya.

Kampung Madrasah bukanlah satu-satu kampung yang bakal lenyap kerana sebelum ini beberapa buah kampung juga pernah dirobohkan antaranya Kampug Mutiara, Kampung Permatang Tepi Laut, Batu Maung, Kampung Jalan Pokok Asam dan Kampung Buah Pala.