DAP: Kos tidak sepadan dengan tandas yang dibina
Terjemahan DAP menegur tindakan kerajaan negeri Melaka membina tandas di Dataran Merdeka yang dikatakan menelan belanja sebanyak RM120,520.
Terjemahan DAP menegur tindakan kerajaan negeri Melaka membina tandas di Dataran Merdeka yang dikatakan menelan belanja sebanyak RM120,520.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau telah menerima maklumat mengenai perbelanjaan tersebut daripada "sumber-sumber yang rapat dengan majlis bandaraya tersebut".
Menurutnya, beliau tidak diberitahu lokasi tapak tandas awam tersebut, tetapi telah memeriksa kawasan di mana empat tandas baru telahpun dibina.
"Saya pergi melihat tandas-tandas tersebut hari ini. Terdapat empat unit tiga tandas awam dan satu tandas 'VIP. Tidak satupun daripadanya yang layak diberi peruntukan sedemikian," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mutu tandas awam tersebut tidak sepadan dengan jumlah perbelanjaannya, manakala bagi tandas VIP pula, kosnya paling tinggi kira-kira RM60,000.
Pecahan perbelanjaan
"Namun begitu, apakah perlunya kerajaan negeri membelanjakan (sebegitu banyak) untuk membina sebuah tandas VIP? Tidak ada apa-apa istimewa langsung mengenainya," katanya.
Dalam kenyataannya semalam, Lim berkata, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab untuk memberi pecahan jumlah perbelanjaan tersebut, kerana wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membina lima buah rumah kos rendah.
"Nampaknya perbelanjaan untuk membina sebuah tandas untuk anggota tertentu masyarakat adalah lebih penting daripada menyediakan rumah untuk golongan miskin," katanya.
Lim juga mempersoalkan pemilihan kontraktor oleh pihak kerajaan negeri, sambil bertanya sama ada projek tersebut dikeluarkan melalui proses tender terbuka.
Selepas membuat semakan mengenai rekod syarikat terbabit hari ini, Lim mendapati syarikat berkenaan tidak pernah mengemukakan laporan akaunnya sejak tahun 1998.
"Ia tidak berfungsi walaupun ia mempunyai modal berbayar sebanyak RM500,000. Mengapa syarikat ini yang dipilih," soal Lim.
Syarikat terbabit dan Datuk Bandar Melaka, Datuk Zaini Md Nor tidak dapat dihubungi hari ini, manakala ahli exco kerajaan negeri bagi perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Poh Ah Tiam enggan mengulas mengenainya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula menurut pembantu peribadinya kini berada di Korea dan Jepun menyertai lawatan rasmi bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Rafidah Aziz.
Sebelum ini Mohd Ali turut menjadi sasaran kritikan berhujung projek-projek yang dianggap kontroversi termasuk membatalkan pewartaan sebuah kawasan hutan simpan untuk dijadikan taman tema di Ayer Keroh.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.