Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Pelbagai pihak melontarkan pandangan yang sinis dan tidak kurang mencaci dalam satu laporan yang keluar di Sinar Harian pada 5 September baru-baru ini.

Laporan itu berkenaan kenyataan saya yang menegur Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ekoran rencana yang ditulis dalam Bayan Linnas terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk “Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat”.

Kenyataan saya itu adalah melalui perbualan telefon dalam soal jawab yang diajukan oleh salah seorang wartawan Sinar Harian yang menghubungi saya.

Pertama sekali saya memohon maaf jika laporan itu menyinggung pihak tertentu, khususnya Datuk Mufti namun biarlah saya jelaskan bahawa gaya laporan itu di luar kawalan saya.

Apa yang penting ialah semangat dan intisari kenyataan terhadap kenyataan ‘ahli parlimen Muslim wajib menyokong’ yang saya anggap mempunyai implikasi berbeza berbanding penulisan orang awam atau NGO lain.

Niat kenyataan saya bertujuan semata-mata memberi pandangan atas isu teknikal dan pentadbiran yang ada kena mengena dengan kedudukan saya sebagai ahli legislatif dan kedudukan Datuk Mufti dalam pentadbiran agama.

Tidak ada niat untuk memandang rendah institusi mufti jauh sekali menghina ulama tetapi di atas kedudukan mufti sebagai sebahagian daripada pentadbir agama.

Saya menganggap teguran saya sebagai penggubal undang-undang ada asasnya kerana yang diminta ‘wajib menyokong’ itu adalah saya dan saya terpanggil untuk menyatakan pandangan saya sebagai respons kepada kenyataan ‘wajib sokong’ pindaan 355 itu dalam artikel Datuk Mufti.

Saya juga mengambil kira bahawa yang mengeluarkan artikel itu adalah Pejabat Mufti yang tertakluk dengan prosedur pentadbiran dan kerana itu saya mengambil inisiatif untuk menjelaskan keadaan tentang gesaan ‘wajib sokong’ dari perspektif ahli penggubal undang-undang negara.

Saya tidak menyatakan saya tidak akan menyokong usul pindaan 355 kerana ia masih jauh untuk saya berbuat demikian pada tahap ini, hupun sikap saya akan menyokongnya.

Tetapi saya merakamkan kekesalan saya pada artikel tersebut yang menyatakan pendirian awal tanpa mengambil kira keperluan usul pindaan tersebut diperincikan, dibahas dan diperbaiki seolah-olah Datuk Mufti telah berpuas hati hanya dengan teks usul semata-mata.

Kaedah ini bagi kami anggota parlimen agak pelik kerana kami dilantik oleh rakyat untuk berbahas, meneliti dan melihat implikasi lebih besar pada kerangka perlembagaan yang kami bersumpah untuk mempertahankannya.

Sebagai pentadbir agama, prosedur ini perlu difahami dengan jelas.

Saya sama sekali tidak mempertikaikan semua keperluan yang disebut dari sudut maqasid dan keperluan taqnin undang-undang, itu bukan isunya tetapi artikel itu dilihat mendahului perbahasan sedangkan anggota Parlimen Marang sebagai pembawa usul belum pun lagi membahaskan dan memperincikan hujah-hujahnya dalam dewan parlimen yang mulia di hadapan 222 anggota parlimen.

Jika gesaan itu datang secara individu mahupun NGO, mahupun orang politik, kami menganggap ia perkara biasa.

Tetapi sebagai pentadbir dan penasihat agama rasmi, saya menganggapnya sebagai luar biasa kerana kami sendiri belum mengetahui perincian apa yang hendak disokong.

Sekali lagi saya memohon maaf kerana kurang bersetuju cara Datuk Mufti Wilayah Persekutuan membuat rumusan awal yang akan saya terangkan di bawah nanti implikasinya kepada ‘kehangatan’ tajuk ini kepada orang awam yang terdiri dari mereka yang sokong atau tidak menyokong.

Saya hanya bertindak sebagai anggota parlimen Muslim yang perlu membuat penjelasan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai sebahagian pentadbiran agama, posisi dan sikap saya dari sudut teknikal dan pentadbiran demokrasi berparlimen supaya tidak mudah kita membuat satu rumusan tanpa menelitinya terlebih dahulu.

Perspektif berbeza

Setiap kita mempunyai perspektif berbeza dalam sesuatu isu walaupun pada dasarnya kita berkemungkinan berkongsi satu persetujuan asas boleh yang disepakati.

Premis ini melahirkan kepelbagaian pandangan dan pendapat yang rohnya tidak lari dari kesepakatan dasar yang dipersetujui bersama.

Apabila kita boleh menerima premis ini sebagai tajuk perbahasan maka perbezaan pandangan adalah sesuatu yang biasa, malah bersepakat pada satu keadaan yang sememangnya terdedah kepada perbagai perspektif adalah sesuatu yang mustahil.

Sheikh Dr Ahmad Ar-Raisuni ketika ditanya mengenai kepelbagaian organisasi Islam, kenapa tidak dapat disatukan sahaja?

Beliau menjawab setelah menggambarkan hanya pada zaman nabi kesatuan secara ideal wujud, bahawa:

“Kaum Muslimin dalam mana-mana masa tidak pernah berada atas hanya satu sahaja mazhab atau kelompok mahupun satu jemaah, kepelbagaian ini ternampak jelas dalam sejarah umat Islam dengan adanya kelompok Ansar dan Muhajirin, di kalangan Ansar adanya Aus dan Khazraj kemudian adanya kelompok Syiah, Khawarij, Ahlu Sunnah dan Murj’ah, kemudian lahirnya berbagai mazhab fekah dan pengikutnya, begitu juga kelompok tarikat Suffiah sehinggalah hari ini dalam rupanya yang baru iaitu adanya berbagai organisasi dan jemaah Islam. Hakikat ini secara khusus tidaklah keluar dari Islam dan tidak juga keluar dari tabiat manusia bahkan ia adalah hakikat tabiat manusia.” terj (Ahmad Ar Raisuni: (2014) Al Harakah Al Islamiyah Al Maghribiyah, Su’ud am Uful, ms 34, Darul Al Kalimah Mesir)

Apa yang perlu dipelihara ialah jauhi sebarang bentuk perpecahan, permusuhan dan kebencian, tidak mungkin kita semua berada pada hanya satu pandangan sahaja.

Hakikatnya keadaan berbagai pandangan ini tidak terelak tetapi yang perlu dielak ialah permusuhan dan kebencian hanya kerana pandangan yang berbeza-beza.

Disiplin ilmu mengendalikan perbezaan ini terkenal dalam Islam sebagai fiqh al-khilaf.

Malah kerana keprihatinan ulama kita kepada disiplin ini maka ilmu Fekah Amali berkembang dengan perubahan zaman dan gaya hidup manusia yang kerana kekalnya suasana kondusif kepelbagaian.

Umat akan terbantut perkembangannya jika kejumudan terhadap satu pandangan mengambil alih norma kehidupan umat Islam.

Solah Shawi (2002,ms 18-20) merakamkan dalam bukunya Prinsip-Prinsip Gerakan Dakwah Yang Mutlak Dan Yang Relatif (terj), bahawa dalam kategori perbezaan pendapat, salah satu kategori iaitu ikhtilaf tanawu’ yang dijelaskan sebagai pemahaman kepada dalil syarak yang memiliki keragaman hukum dan tidak bertentangan antara satu sama lain kerana adanya dalil kebenaran.

Saya ingin menambah satu lagi sebab perspektif yang berbeza ialah dengan melihat posisi seseorang dalam menilai sesuatu isu boleh menyumbang kepada perbezaan pandangan.

Sudut penilaian terhadap sesuatu isu juga melihat kepada konteks khusus diperkatakan walaupun konteks umum mereka tidak berbeza pandangan.

Tulisan saya ini adalah atas kesedaran di atas dan menganggap isu RUU 355 dan perdebatannya berdiri atas premis ini bahawa pandangan-pandangan yang dikeluarkan berlaku atas berbagai perspektif dan atas posisi mereka yang memberikan pandangan.

Pada waktu yang sama, tulisan ini cuba menjauhkan diri dari berdebat dengan golongan Busata’ (golongan terlalu memudahkan sesuatu atau simple minded mentality) yang mahu dunia ini berjalan dalam mod hitam atau putih.

Mereka golongan Busata’ mudah menjadi mangsa keadaan dan terperangkap dalam jerangkap minda sendiri lantas melembapkan minda berfikir secara progresif dan membudayakan kejumudan.

Menjawab tulisan mufti Wilayah

Saya amat gembira sekali kerana Mufti Wilayah Persekutuan menulis artikel berkenaan RUU 355 dengan meletakkan tajuknya sebagai “Satu pendapat”.

Ini bermakna ia hanya satu pendapat yang boleh dikritik dan diperdebatkan. Saya yakin dengan keilmuan Dr Zulkifli yang banyak menyumbang idea-idea Islam yang kontemporari dan semasa, sebagaimana saya yakin dengan penerimaan beliau terhadap premis awal yang saya utarakan bahawa kita boleh berbeza dalam hal-hal yang terdedah perspektif masing-masing khusus pada membuat perkiraan maalatul afa’al atau kesan dan akibat daripada sesuatu keputusan atau tindakan yang dibuat.

Saya juga berterima kasih kepada keprihatinan Mufti Wilayah kerana melihat RUU 355 ini sebagai satu hak dan berhujahkan dalam kerangka perlembagaan malah memberi pandangan terhadap kebimbangan bukan Islam dalam isu ini.

Syabas dan tahniah kepada usaha murni ini dan bagi memperhebatkan budaya intelektualisme yang sihat dan bukan bersikap paranoia, saya anggota parlimen Malaysia Dr Mujahid Yusof Rawa ingin menyambut tulisan Datuk Mufti dengan beberapa pandangan dari perspektif legislatif.

Ini untuk memberi keadilan kepada budaya kepelbagaian pendapat yang menjadi mercu tanda ketamadunan kita.

Konteks umum yang disepakati

Saya mulakan dengan banyak perkara yang saya sependapat tanpa bangkangan dalam tulisan Datuk Mufti.

Dalam bahagian ‘Beberapa noktah penting’, ada tujuh fakta yang dikemukakan menegakkan beberapa asas kepada perbincangan selanjutnya seputar RUU 355.

Tidak ada mana-mana Muslim yang cintakan keadilan dan meyakini syariat Islam boleh menolak isi kandungan dalam ‘Beberapa noktah penting’ yang dinukilkan.

Saya tertarik kepada fakta keenam iaitu sikap toleransi umat Islam bawah sembilan ciri utama bermula dengan al-karamah al-insaniyah (kemuliaan manusia) hingga ke man’u fasad (mencegah keburukan).

Inilah yang saya perjuangkan selama ini, ketika ramai yang memilih jalan kebencian antara agama, saya memilih jalan berdialog, ketika suara pengikut agama lain tidak diperjuangkan haknya, saya menyatakan haknya atas premis saya sebagai ahli legaslatif negara.

Ketika ramai ahli politik memilih nuansa perkauman saya mengasaskan pergerakan antiperkauman.

Malah saya diberi kepercayaan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk duduk sebagai anggota Majlis Perpaduan dan Konsultasi Negara (MPKN) menyediakan Pelan Induk Perpaduan Negara.

Selaku pengerusi undang-undang dan polisi, saya ditugaskan untuk mendraf undang-undang keharmonian nasional yang asasnya adalah untuk memastikan kesaksamaan dan tiada diskriminasi, memperundangkan jenayah kebencian dan menubuhkan Suruhanjaya Rekonsiliasi dan Keharmonian Nasional.

Semua yang disebutkan dalam bahagian tersebut tulisan Datuk Mufti menjadi sebahagian daripada perjuangan saya selama ini dan terima kasih kerana menyebut panduan asasnya dalam suasana sebahagian budaya masyarakat hari ini yang bernuansakan rasis dan berfikiran sempit dalam hal agama.

Saya sebagai rakyat Malaysia yang mahu menegakkan keadilan merentas semua kaum dan agama amat bersetuju jika asas ini boleh dijadikan panduan umum bukan sahaja sebagai pemula perbincangan RUU 355 sahaja tetapi perlu diperluaskan sebagai struktur asas untuk membina landasan politik negara yang hari ini yang memerlukan satu rombakan semula.

Khususnya dalam tajuk maqasid/tujuan perlaksanaan hukum syariah, di halaman 19, petikan dari Prof Dr Jasser Auda menyatakan:

“Oleh itu, pendekatan maqasid boleh mengangkat isu-isu fekah ke satu landasan falsafah yang lebih tinggi bagi menangani perbezaan perbezaan bersifat sejarah , sekitar politik antara mazhab Islam dan menggalakkan satu budaya yang diperlukan iaitu kehidupan bersama yang harmoni (al-ta’ayush al-silmi) dan saling memperbaiki (al-tasalih) yang kita amat memerlukannya sekarang ini.”

Saranan Prof Dr Jasser Auda yang dihujahkan oleh Datuk Mufti perlu juga menjadi panduan kepada kemelut politik hari ini yang menuju kepada kediktatoran dengan penggubalan undang-undang lain seperti MKN (Akta Majlis Keselamatan Negara), Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan Langkah Khas atau (SOSMA) serta salah guna kuasa oleh pemimpin politik tertinggi negara bagi melindungi jenayah kleptokrasi yang satu dunia mengetahuinya.

Saya menyarankan landasan maqasid yang dipetik dari tulisan tentang RUU 355 diperluaskan mesejnya kepada kemelut negara yang dihadapi hari ini agar memberi keadilan kepada kehendak umum tujuan maqasid diperjuangkan.

Malah saya mengharapkan perbahasan kami di parlimen selama ini bagi menentang salah guna akta oleh pemerintah turut disokong oleh Datuk Mufti dalam tulisannya yang lain nanti dalam Bayan Linnas supaya dapat juga mendapat tasawur dan mafhum yang jelas suasana pergolakan politik negara yang sedang berlaku hari ini dari perspektif intelektual.

Hujahan maqasid bukan sahaja dipakai untuk akta yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam sahaja seperti 355, tetapi ia bertujuan untuk karamatul insan dan kehidupan yang harmoni dan seimbang bagi mengelakkan kefasadan dan kerosakan. 

ni penting supaya maqasid tidak bersifat selektif dalam memperjuangkan keadilan untuk semua.

“Dan Sesungguhnya Telah kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan. (Al-Isra’, ayat 70)

Pemerkasaan mahkamah syariah

Saya yakin kesepakatan kita sebagai rakyat Malaysia walaupun dari posisi yang berbeza tidak akan meminggirkan mana-mana aspek yang menjadi kepentingan orang ramai, apatah lagi ia diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bukan sahaja orang Islam tetapi bukan Islam perlu mengiktiraf Mahkamah Syariah sebagai entiti perundangan yang diberikan keabsahannya oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah panjang perjalanan Mahkamah Syariah sehinggalah dalam bentuknya hari ini boleh dianggap sebagai satu perjuangan setelah disisihkan dan dikesampingkan oleh penjajah.

Mercu tanda pengiktirafan dan kewibawaan Mahkamah Syariah ialah apabila pindaan 121(1A) tahun 1988 dibuat sekal igus meletakkan garis pemisah hitam putih antara kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun menurut Dr Aziz Bari, pakar perlembagaan persekutuan, kedudukan Mahkamah Syariah secara tidak langsung sebelum ini telah pun diiktirafi tanpa 121(1A) melalui Perkara 145 yang menyatakan peguam negara tidak ada kuasa dalam Mahkamah Syariah, Mahkamah Tentera dan Mahkamah Anak Negeri.

Selain daripada itu menurut Dr Aziz Bari lagi, Perlembagaan Persekutuan menyebut soal Mahkamah Syariah dalam jadual ke-9 bawah kuasa-kuasa perundangan dalam senarai negeri.

Pemerkasaan Syariah amat diperlukan dan saya sebagai rakyat Malaysia dan ahli legislatif amat prihatin agar perjalanan panjang ini diteruskan kerana selain dari pengiktirafan dan kewibawaan keputusan-keputusan Mahkamah Syariah, aspek pentadbiran, sumber manusia dan professionalism pegawai dan hakim-hakimnya masih lagi memerlukan penambahbaikan dan pemerkasaan.
 

Bahagian kedua (akhir) bertajuk "Membedah cadangan RUU 355 Marang"akan bersambung esok.

Lihat Komen
ADS