Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN RUU 355 tidak boleh dipandang secara berasingan daripada kemampuan Mahkamah Syariah secara menyeluruh untuk menampung peningkatan kuasa hukuman yang diberikan melalui RUU 355 ini.

Saya ingin berkongsi masalah yang perlu difikirkan sama penting dengan usul anggota parlimen Marang yang diminta oleh Mufti Wilayah ‘wajib’ anggota parlimen Muslim menyokongnya.

Makna pemerkasaan tidak boleh disempitkan dengan meningkatkan hukuman semata-mata tanpa melihat kelompongan-kelompongan pentadbiran perundangan Mahkamah Syariah yang perlu diutamakan, sebelum perlu kami - anggota parlimen Muslim - ‘wajib’ menyokong usul 355 ini.

Saya yakin bahawa titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menggesa supaya “memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah” tidak hanya kepada meningkat hukuman tetapi juga dalam berbagai aspek pentadbiran.

Antara lainnya maksud pemerkasaan ialah:
(1) Masalah bidang kuasa bukan sahaja persoalan tingkatkan hukuman, tetapi juga perlunya melihat dalam kes bukan Islam yang terlibat sama dalam tuntutan.

Seperti jika salah seorang pasangan memeluk Islam kes cerai tidak diputuskan oleh Mahkamah Syariah tetapi oleh mahkamah sivil dalam Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Ini termasuk isu hadhanah (hak penjagaan anak) yang pasangan tidak memeluk Islam boleh membawa kes itu ke mahkamah sivil walaupun pasangannya telah memeluk Islam.

Bukankah berlaku konflik dalam menentukan sesuatu keputusan perundangan lantas mengganggu keadilan yang menjadi teras perundangan Islam khususnya?

Jadi meningkatkan bidang kuasa bukan sahaja dalam meningkatkan hukuman tetapi juga bidang kuasa bagi menentukan keputusan yang ada kepentingan Islam dan bukan Islam bagi memberi keadilan yang saksama dan tidak bertindih.

Begitu juga soal pasangan jenayah. Jika berlaku antara Islam dan bukan Islam dalam kesalahan zina atau khalwat, hukuman di Mahkamah Syariah hanya melibatkan pasangan Islam saja manakala rakan jenayahnya yang bukan Islam terlepas daripada bidang kuasa Mahkamah Syariah (lihat Musa Awang: Dimanakah Kita Dalam Pemantapan Pentadbiran Keadilan jenayah Syariah? ms 68 dalam 27 Kanun (1), Jan 2015).

(2) Bidang kuasa Mahkamah Syariah selain peningkatan hukuman juga bererti menyelesaikan isu pertindihan antara sivil dan syariah yang kadang-kadang menimbulkan campur tangan Mahkamah Sivil hanya kerana tiada peruntukan jelas sedangkan ia merupakan permasalahan syariah.

Kes menentukan agama bagi seseorang yang telah mati seperti kes Dalip Kaur lwn pegawai polis daerah Bukit Mertajam, kes Sukma Dermawan Sasmitaat Madja lwn ketua pengarah penjara yang memilih Mahkamah Syariah kerana jenayah yang didakwa bertindih antara Kanun Keseksaan dan Jenayah Syariah. (lihat Zulkifli Hasan dalam kertas bertajuk Isu Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia Dan Sejauh Manakah Perlaksanaannya).

(3) Mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah juga bermakna perlu ditingkatkan hierarki mahkamah syariah yang hari ini hanya ada tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Raya Syariah.

Sedangkan mahkamah sivil ada lima peringkat, iaitu masing-masing Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Tanpa peningkatan ini ruang bagi menuntut keadilan dalam Mahkamah Syariah dilihat tidak selari dengan sivil sekali gus menimbulkan persepsi terhadap keadilan Islam.

Walaupun di peringkat perbahasan parlimen sejak 2010 hingga 2013 menteri di Jabatan Perdana Menteri menyebut ada usaha peningkatan ini iaitu mengadakan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Majlis Rayuan Syariah, hingga kini tiada apa-apa hasil yang nyata lagi. (Musa Awang, op.cit).

(4) Selain itu peningkatan hukuman bererti bebanan tugas kepada hakim-hakim dan pegawai perundangan yang akan mengendalikan laporan-laporan kes.

Ini termasuk pentadbiran keadilan perlu lebih cekap dan kemas kini dalam memastikan keadilan tertegak dengan lebih telus dan bertanggungjawab.

Namun jika kita lihat taraf perjawatan hakim mahkamah syariah dan pegawai-pegawainya masih ketinggalan berbanding dengan perjawatan dalam mahkamah sivil.

Selain skim perkhidmatan guna sama bawah penyeliaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), hakim mahkamah syariah bawah penjawat awam negeri.

Berbeza dengan pelantikan hakim mahkamah sivil, hakim mahkamah tinggi ke atas dilantik atas kuasa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (akta 695) pada peringkat persekutuan.

Jaminan perjawatan hakim di mahkamah syariah tertakluk pada prosedur perkhidmatan awam, berbanding dengan jaminan perjawatan hakim di mahkamah sivil yang tertakluk pada Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).

(5) Dari sudut gaji, hakim mahkamah syariah jauh lebih rendah berbanding dengan mahkamah yang menikmati gaji dua kali ganda, tidak termasuk elaun lain.

Menurut Ketua Hakim Mahkamah Syarie Dr Mohd Naim Mokhtar dalam kenyataannya di Utusan Malaysia pada 22 April 2015 hakim mahkamah syariah menerima gaji mendengar kes penjagaan anak menerima RM6,000 manakala hakim mahkamah sivil yang mendengar kes yang sama menikmati gaji RM40,000.

Saya amat yakin aspek ini perlu diberi tumpuan sama dengan peningkatan bidang kuasa hukuman. Jika tidak langkah pemerkasaan itu akan menjadi tempang.

(6) Sudut ketidakseragaman undang-undang sering mendapat perhatian para pengkaji dan ahli legaslatif. Ini kerana undang-undang Enakmen Jenayah Syariah diletakkan di bawah kuasa negeri yang menjadi penggubal mengikut kuasa yang diperuntukkan dalam senarai negeri dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Hatta nama pada enakmen tersebut disebut berlainan dan undang-undang di setiap negeri juga berbeza dari sudut hukumannya untuk jenayah sama.

Ini memandangkan kuasa menggubal enakmen adalah dalam kuasa negeri dan setiap negeri ada penafsirannya tersendiri (lihat “Masalah kelemahan mahkamah syariah yang diperkatakan oleh masyarakat dan penyelesaiannya” (2009) dalam mahir al-hujah.blogspot.my) .

Bagaimana keadaan yang ada hari ini menjamin bahawa usul MP Marang dapat menyelesaikan permasalahan ini jika sekadar meningkatkan hukuman?

(7) Selain daripada itu timbul juga masalah penguatkuasaan baik dari segi tenaga mahupun dari segi teknikal di kalangan PPA (Pegawai Penguatkuasa Agama).

Menurut Musa Awang nisbah seorang penguat kuasa berbanding dengan 17.8 juta penduduk Melayu beragama Islam ialah 1: 24,184 orang.

Peningkatan jumlah pendaftaran kes jenayah syariah di seluruh negara menunjukkan perlunya lebih ramai PPA yang cekap dan efisien selain kekurangan tenaga petugas wanita.

Oleh kerana pentadbiran keadilan jenayah syariah perlu menekankan keadilan dan keberkesanan dalam pelaksanaannya, pegawainya juga perlulah terlatih dan celik undang-undang.

Setakat ini kesalahan khalwat mendominasi statistik jenayah syariah dan berkemungkinan besar penguatkuasaan jenayah lain syariah PPA dan penguatkuasaan yang berkesan jarang berlaku kerana kekurangan tenaga dan profesionalisme PPA.

Sebahagian daripada rumusan permasalahan mahkamah syariah yang dipaparkan dapat memberi gambaran betapa pemerkasaan mahkamah syariah tidak terhad hanya kepada melihat teks usul Marang tentang RUU 355 semata-mata.

Justeru saya sebagai ahli legislatif Muslim tidak mudah menentukan sokongan tanpa berbahas panjang lebar terlebih dahulu kerana ini adalah peluang terbaik untuk isu sebenar mahkamah syariah digarap dengan berkesan.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tiada asas untuk kami menetapkan sikap sekarang tanpa anggota parlimen Marang - sebagai pembawa usul - menjelaskan terlebih dahulu apa yang beliau inginkan daripada usul berkenaan di hadapan semua penggubal undang-undang seramai 222 orang.

Mengapa berbeza pandangan

Saya akan memulakan bahagian ini dengan perkara-perkara yang membezakan pendirian saya dengan mufti Wilayah Persekutuan dalam pendapat yang diberikan berkenaan isu pindaan Akta 355.

Perbezaan yang saya maksudkan bukan tentang sama ada saya sokong atau tidak usul pindaan 355 dibawa anggota parlimen Marang, tetapi perbezaan memahami proses perbahasan demokrasi berparlimen dan implikasi perundangan serta politik kerana posisi saya sebagai ahli legislatif.

(1) Usul Marang agak unik kerana ia berjaya diterima untuk pembentangan sebagai aturan mesyuarat yang tersenarai ke-15 pada sesi selepas rehat.

Laluan diberikan oleh menteri dengan membelakangkan semua urusan kerajaan pada 26 Jun 2016 Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke 13-2016.

Keadaan dan cara bagaimana MP Marang dapat membentang usul ini menimbulkan tanda tanya di kalangan pembangkang kerana parameter apakah digunakan Yang Dipertua Dewan Rakyat menganggap ia satu usul penting kerana usul sebelum ini yang cuba dibawa oleh pembangkang dalam hal lain sering ditolak atas sebab tidak memenuhi tiga kriteria.

Perkara itu, jika ada kepentingan awam dan perlu disegerakan. Selalunya kriteria perlu ‘disegerakan’ tidak dapat dipenuhi oleh pembawa usul dari pembangkang.

Dalam peraturan 49 rang undang-undang yang bukan kerajaan yang hendak diusulkan lebih ketat kerana segala urusan kerajaan didahulukan dan selalunya urusan kerajaan tidak akan habis malah ditangguh pada sesi seterusnya.

Bagi prosedur parlimen kes pembentangan RUU secara peribadi bukan kerajaan oleh MP Marang menimbulkan berbagai persoalan daripada jawapan.

(2) Apa yang menarik dalam usul Marang pada hari tersebut ialah, beliau menangguhkan ruang perbahasan dengan permintaannya sendiri pada sesi akan datang (iaitu pada Oktober 2016).

Penangguhan perbahasan permintaan pembawa usul adalah sesuatu yang agak ganjil kerana beberapa usul pembangkang yang pernah diizinkan atas peraturan usul dimaklumkan lebih awal untuk persediaan perbahasan pada sesi tersebut tetapi Marang secara sukarela menolak untuk dibahas pada hari tersebut.

Tergantungnya usul Marang atas kehendaknya sendiri bermula dari 26 Jun 2016 hingga sesi Oktober (lebih kurang empat bulan) menimbulkan tanda tanya.

Ia malah menimbulkan berbagai kekeliruan dan polemik yang tidak produktif kepada persepsi terhadap mahkamah syariah.

Saya tidak dapat lari daripada menganggap tindakan ini telah diambil peluang sebagai satu ‘free ride’ untuk diambil kesempatan pembawa agenda sempit negara mencapai maksud licik politik mereka atas nama Islam dan mahkamah syariah.

Bagi saya ia amat malang sekali.

(3) Menarik kerana Mufti WP ‘mewajibkan’ MP Muslim menyokong usul ini sedangkan kami sebagai anggota parlimen Muslim tidak tahu apa yang akan kami sokong kecuali teks usul yang lima baris dan dua butiran pindaan kepada Seksyen 2 (lima baris) dan tambahan seksyen 2A (lima baris).

Tiada penjelasan dan perincian dari pembawa usul ini.

Tidak tahulah saya jika kami diminta memberi sokongan ‘membuta tuli’ sedangkan budaya intelektualisme yang disarankan oleh Mufti WP dalam mukadimah artikelnya menyatakan tentang perkara ini.

(4) Mana-mana usul akan diikuti dengan ruang untuk perbahasan setelah pembawa usul membentangkannya dan menjelaskannya secara lisan.

Mewajibkan anggota Muslim menyokong usul Marang seolah menafikan hak berbahas secara bebas seperti diperuntukkan dalam aturan dan peraturan parlimen sedangkan semasa perbahasan itu banyak perkara teknikal perundangan dan kesannya jika tidak diperhalusi boleh menjejaskan perjalanan mahkamah syariah dalam usaha untuk memperkasakannya.

Sokong atau tidak terpulang kepada implikasi perundangan secara keseluruhan setelah dibahas untuk mengelak mudarat yang lebih besar jika tergesa-gesa menyokongnya walaupun dengan niat yang baik. Begitu juga sebaliknya jika menolak tanpa meneliti dan mendengarnya dahulu.

Ruang kosong ini perlu diberi kepada kami - anggota parlimen Muslim dan bukan Muslim - sebelum apa-apa keputusan dibuat agar ruang perbahasan secara demokrasi mengambil tempatnya terlebih dahulu.

(5) Saya menganggap usul Marang ini adalah persoalan teknikal undang-undang walaupun melibatkan entiti sebuah mahkamah syariah.

Malah semasa Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013 dibentangkan ada beberapa anggota Dewan Undangan Negeri (Kedah) daripada pembangkang tidak menyokong.

Dan mereka terdiri dari orang Islam. Apakah ini bermakna mereka tidak memahami maqasid dan keperluan taqnin undang-undang jenayah Islam?

Saya harap kita tidak semudah itu membuat kenyataan "wajib" sokong kerana implikasinya amat mengelirukan antara isu teknikal perundangan dan isu dosa pahala.

Datuk Mufti WP seharusnya menasihati orang awam agar mencermati isu perundangan dan proses serta prosedurnya yang akan berlaku dalam institusi penggubal undang-undang negara agar tidak terheret kepada sentimen dan emosi apatah lagi dalam isu pentadbiran agama.

Saya sering mengulangi prinsip bahawa mengkritik pentadbiran dan urusan agama bukan mengkritik prinsip doktrin keagamaan yang menjadi pegangan umat Islam.

Kita harus membezakan antara keduanya agar institusi dan pentadbiran agama senantiasa dapat diperbaiki dari semasa ke semasa dan pegangan agama melalui pendidikan dan dakwah dipertingkatkan.

(6) Mufti WP telah menyatakan pendapatnya agar "wajib" anggota parlimen Muslim menyokong usul Marang tentang pindaan 355, namun sedarkah beliau, berpandukan kepada teks usul yang dikemuka MP Marang dalam parlimen, ia berpotensi membawa beberapa implikasi serius kepada perlembagaan negara itu sendiri, iaitu:

Meluaskan apa sahaja kuasa mahkamah syariah untuk melaksanakan apa sahaja bentuk hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang syariah kecuali hukuman mati.

Tidak menetapkan had kepada jumlah hukuman (denda, sebat atau penjara) yang boleh dikenakan sebagai hukuman oleh mahkamah syariah.

Tidak menetapkan kaedah hukuman (kecuali mati) yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah ke atas pesalah dan ini bermakna hukuman yang dikenakan tidak terhad kepada hukuman denda, penjara dan sebat sahaja.

Lebih bersifat memaksa

Dalam kanun keseksaan sendiri setiap hukuman itu dihadkan dan hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman melebihi had yang telah ditetapkan.

Tanpa penelitian rapi usul Marang boleh membawa kepada persepsi lain dari sudut doktrin perundangan negara dan berpotensi menjadi masalah walaupun dengan niat yang baik.

Dengan tidak mengehadkan hukuman dan jenis hukuman menurut usul Marang, ada kemungkinan ianya dicabar di dalam mahkamah dan keabsahan pindaan akan dipersoalkan.

Bolehkah saya menyokong sesuatu yang akan mencacatkan perjalanan mahkamah syariah?

(7) Banyak pihak menggunakan isu pindaan 355 ini untuk membuat penjelasan mereka sendiri walaupun Marang belum mendedahkan penjelasannya di hadapan 222 ahli parlimen Malaysia lagi.

Saya memerhatikan sentimen menguasai keadaan, walaupun ada yang bersifat objektif namun cara perkara ini dipersembahkan kepada awam oleh kelompok tertentu khususnya daripada pihak yang diwakili golongan ‘mod hitam-putih’ lebih bersifat ‘memaksa’ melalui kaedah menghukum dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan berbeza.

Saya mengharapkan pihak mufti sensitif dan prihatin kepada ‘cara’ isu ini dibawa pihak tertentu dan ‘reaksi’ yang ditimbulkan serta tidak mengambil pendekatan ‘menyemarakkan’ dengan membuat sikap menyokong tanpa melihat implikasi kepada ‘kehangatan’ isu ini di kalangan pihak yang sempit pemikirannya.

Bukankah mufti itu yang terbijak hikmahnya menangani keadaan?

Saya telah mengemukakan pandangan saya yang agak berbeza dengan mufti WP atas kapasiti saya sebagai ahli legislatif negara dalam isu Pindaan RUU 355 oleh Marang.

Saya menyanjung keprihatinan mufti WP dan saya menganggap penjelasan tulisan ini dapat melengkapkan tasawur beliau tentang isu ini dari perspektif berbeza.

Jangan salah tanggap bahawa saya tidak menghormati kedudukan Datuk sebagai mufti dan keilmuwan serta kewarakan Datuk.

Saya serahkan segala kebaikan dalam diri Datuk Mufti untuk dinilai oleh Allah, tetapi dalam hal pentadbiran dunia, Islam mengajar kita untuk mencapai maslahah sebagai sebahagian matlamat syariah dan kerana maslahah mempunyai berbagai dimensi, kita dituntut bersikap objektif dan profesional.

Sekali lagi saya jelaskan bahawa tulisan ini tidak ada kena mengena dengan memperlekehkan ulama dan institusinya. Tulisan ini bersifat pentadbiran dan institusi mufti sebahagiannya adalah tentang pentadbiran.

Saya juga yakin bahawa selagi perkara ini berada dalam ruang awam untuk dibahaskan, setiap apa yang dipersembahkan kepada awam sepatutnya boleh dinilai, dikritik dan diberi pandangan barulah semangat Bayan Linnas lebih bersemarak.

Semoga tulisan Datuk boleh menjadi input kepada kami sebagai bahan perbahasan nanti.

Saya dan rakan-rakan dari Parti Amanah Negara (AMANAH) telah berusaha untuk mengadakan diskusi meja bulat sejak dua bulan yang lalu untuk kami mendengar pandangan awam, NGO, Muslim dan bukan Muslim serta pihak berkepentingan.

Kami juga menyertai wacana awam anjuran NGO lain agar kami dapat mendidik orang ramai kaedah dan cara sesuatu perundangan itu dibuat dalam proses demokrasi berparlimen termasuk perundangan dalam isu pemerkasaan mahkamah syariah.

Semoga niat baik kita terhasil dengan natijah yang baik juga.

Sehingga itu saya menanti pembentangan MP Marang dan usul pindaan 355 dengan penuh debar dan harapan agar ia menjadi sesuatu yang baik untuk negara ini.

 

Bahagian 1: Cadangan pindaan Akta 355 dari sudut legislatif


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA anggota parlimen Malaysia dan pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lihat Komen
ADS