Terjemahan Tanggungjawab pemimpin wanita yang menjadi naib presiden PAS tidak seharusnya dihadkan kepada menangani isu-isu berkaitan dengan wanita sahaja, kata Dr Siti Mariah Mahmud, yang dijangka dipilih sebagai wanita pertama memegang jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu Jun ini.

Katanya, penyandang jawatan naib presiden seharusnya diberi tanggungjawab menangani semua isu mengenai parti dan urusan pentadbirannya.

"Ia adalah jawatan peringkat pusat. Oleh itu, saya tidak fikir soal jantina, jika wanita dipilih perwakilan, ia bukanlah kerana pertimbangan jantina tetapi kemampuannya," katanya ketika dihubungi.

"Oleh itu, beliau mestilah mampu menangani pelbagai isu di depannya. Begitu jugalah, kita menjangka naib presiden lelaki boleh bercakap mengenai isu-isu berkaitan dengan wanita," tambahnya.

Siti Mariah dilaporkan berpeluang cerah untuk memenangi satu daripada tiga jawatan naib presiden, kerana mendapat sokongan Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyuarakan pandangannya itu ketika mempengerusikan mesyuarat perhubungan PAS Kelantan Sabtu lalu.

Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata Dewan Muslimat perlu memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti. Beliau mencadangkan supaya Siti Mariah ahli jawatankuasa pusat PAS sejak 2003, yang juga ketua penerangan Muslimat, dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Nasihat beliau itu akan diberi perhatian oleh tujuh cawangan (daripada 14 cawangan) di Kelantan yang belum mengemukakan senarai pencalonan mereka. Setiap calon memerlukan dua pencalonan minimum untuk layak bertanding dalam pemilihan parti itu Jun depan. Siti Mariah mendapat pencalonan pertama semalam, daripada cawangan Tebrau di Johor.

Perjalanan masih jauh

Langkah mencalonkan wanita bertanding jawatan naib presiden itu dimulakan oleh kalangan pemimpin yang percaya ia dapat membantu parti menarik sokongan lebih ramai pengundi wanita, terutama mereka yang tidak menyokong PAS dalam pilihanraya umum yang lalu.

Jika pandangan Nik Abdul Aziz itu diterima, Siti Mariah akan menjadi salah seorang daripada sebelas anggota Dewan Harian. Pada masa ini, ketua Muslimat Kalthom Othman, merupakan anggota wanita tunggal dalam dewan tersebut.

Setakat ini, ahli jawatankuasa PAS pusat, Husam Musa menerima pencalonan terbanyak (10) bagi jawatan naib presiden, diikuti Setiausaha Agung Nasharuddin Mat Isa (6), dua penyandangnya sekarang Mustafa Ali (3) dan Dr Hassan Ali (3) dan Mohamad Sabu (2).

Ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz itu, Siti Mariah berkata, sokongan Mursyidul Am itu menandakan satu pengiktirahan terhadap sumbangan muslimat dalam parti itu.

"Sudah tentulah ianya tidak bermakna saya akan menang jawatan tersebut. Ianya terpulang kepada pihak cawangan sama mereka mahu mencalonkan saya atau tidak. Jika mereka berbuat demikian pun, para perwakilan yang akan mengundi.

"Adalah terlalu awal untuk memperkatakan apa-apa mengenainya. Sama ada saya terpilih atau tidak sebagai naib presiden, saya akan tetap bekerja kuat untuk parti," katanya.

Sementara itu, seorang ahli politik PAS dari Selangor berharap Siti Mariah akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin jika dipilih menyandang jawatan tersebut.

"Ada yang melihatnya sebagai satu 'tanda penghargaan". Ada orang yang mahu prestij, tetapi malas bekerja. Saya harap Siti Mariah akan menjauhi budaya tersebut," katanya.

Lebih berkesan

Bagaimanapun, seorang pekerja parti dari Kuala Lumpur berkata beliau percaya jawatan naib presiden akan membuka ruang yang luas kepada Siti Mariah untuk terus meningkatkan lagi sumbangannya kepada parti.

"Beliau telah banyak berbakti kepada parti. Jika terpilih sebagai naib presiden, saya yakin beliau akan berbuat yang lebih baik lagi. Terdapat banyak isu yang membabitkan wanita pada amnya. Mungkin tidak sesuai untuk ketua Muslimat menanganinya kerana peranannya adalah untuk mewakili kepentingan ahli-ahli.

"Jadi, dengan adanya seorang pemimpin seperti Siti Mariah di peringkat pusat, kita akan lebih selesa dan yakin mengenai interaksi parti dengan yang lainnya.

"Contohnya, jika kita mengadakan dialog dengan pertubuhan seperti Sisters in Islam, kita ada pemimpin seperti Siti Mariah yang dapat memberi pandangan. Sama ada mereka menerima pandangannya atau tidak, itu bukan soalnya," katanya.