Terjemahan Pihak pendakwaraya telah menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menolak keterangan enam saksi yang direkodkan di Hong Kong dalam perbicaraan kes pecah amanah membabitkan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia.

Pegawai pendakwaraya kanan DPP Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu malaysiakini , pihaknya telah menfailkan rayuan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang semalam, memohon penyemakan semula keputusan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya berhujah bahawa keterangan (yang direkodkan di Mahkamah Majistret Hong Kong Ogos lalu) sepatutnya diterima dalam perbicaraan (Chia) dan Mahkamah Sesyen telah melakukan kesilapan dalam keputusannya (semalam).

Mohd Yusof juga berkata, penyemakan semula itu dijadual didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Hamid Embong pagi esok.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada ia akan diteruskan kerana peguambela Datuk Muhammad Shafee Abdullah telah berkata, beliau mempunyai kes di mahkamah lain esok. Tetapi secara rasminya, semakan itu akan didengar esok," katanya ketika dihubungi.

Pagi ini, Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan pihak pendakwaraya memfailkan permohonan penangguhan perbicaraan sehingga selesai kes semakan itu didengar. Beliau menetapkan 30 Mei untuk kes itu disebut.

Chia, 73, bekas pengarah urusan Perwaja Steel and Perwaja Rolling Mill and Development, didakwa melakukan jenayah pecah amanah membabitkan RM76.4 juta.

Tulisan tangan

Dia didakwa meluluskan pembayaran bagi amaun itu ke dalam akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Limited, Hong Kong bagi bantuan teknikal yang diberikan oleh NKK Corporation Jepun bagi projek kilang di Gurun, Kedah sedangkan tiada bayaran sepatutnya dibayar kepadanya.

Di samping itu Chia menghadapi tuduhan pilihan melupuskan dana syarikat dengan memasuki perjanjian dengan NKK Corporation dan meluluskan pembayaran tanpa kelulusan jawatankuasa lembaga pengarah atau tender Perwaja Rolling Mill and Development.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P. Ramlee di sini antara 4 Nov, 1993 dan 22 Februari 1994.

Dalam keputusannya semalam, Hakim Akhtar antara lain berkata, peruntukan relevan dalam seksyen 267 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan keterangan itu perlu direkod dalam tulisan tangan majistret yang mendengar kes itu dan membentuk sebahagian daripada rekod.

"Di sini, bagi keterangan dalam prosiding di Hong Kong pastinya tidak direkodkan oleh saya. Ia mungkin dipertikaikan bahawa Seksyen 272A Kanun Prosedur Jenayah membenarkan seseorang mencatat nota-nota namun sekali lagi dalam kes ini, saya tidak membenarkannya," katanya.

Oleh itu, katanya, hasrat pendakwaan untuk memasukkan prosiding di Hong Kong sebagai sebahagian daripada rekod perbicaraan dihadapannya, jelas tidak dibenarkan oleh peruntukan sedia ada dalam Kanun Prosedur Jenayah.

Keterangan seperti itu katanya mesti direkodkan dalam tulisan tangan, dan tidak dihasilkan dalam transkrip daripada bentuk rakaman audio, yang didapati tidak berkesinambungan.

Pada 25 dan 26 Ogos lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pasukan 16 anggota untuk merekodkan kenyataan enam saksi yang keterangan mereka didakwa telah mendedahkan mengenai wang yang berkaitan dengan wang RM76.4 juta yang disebut dalam tuduhan terhadap Chia.