Terjemahan Seorang pentadbir kanan sebuah hospital swasta yang diarah keluar ikut pintu belakang selepas diberi notis berhenti kerja pada tahun 1999, dianugerahkan gantirugi RM192,000 oleh Mahkamah Perindustrian bagi gaji tertunggak kerana beliau diberhentikan secara tidak sah.

Selain membayar gantirugi tersebut, Pengerusi Mahkamah Perindustrian, Susila Sithamparam juga mengarahkan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) supaya mengambil Jacob George bekerja semula di hospital swasta itu.

George memegang jawatan pentadbir di Jabatan Komunikasi dan Perhubungan Komuniti hospital tersebut.

"Mahkamah mengarahkan pihak menuntut (George) diambil bekerja semula dalam jawatan yang bersesuaian di syarikat itu mengikut bayaran gaji terakhirnya (RM8,000 sebulan) tanpa kehilangan sebarang faedah dan kekananan, pada atau sebelum 1 Jun 2005," kata Susila dalam penghakimannya pada 26 April lalu.

Malaysiakini memperolehi salinan dokumen penghakiman tersebut.

Dalam keterangannya ketika kes itu didengar, George berkata pada 20 September 1999, beliau menerima surat pemberhentian kerja bertarikh 19 Oktober dari Pengarah Eksekutif hospital tersebut, Dr Jacob Thomas.

Ikut pintu belakang

Berikutan itu, Pengarah Penjagaan dan Perkhidmatan Sokongan, Betty Teh dan Zanariah Ahmad, masuk ke pejabat. Sebulan sebelum ini, George telah memberitahu Teh dan Zanariah mengenai kebimbangannya akan kehilangan pekerjaannya.

Zanariah memintanya menyerahkan kuncinya, kad pengenalan diri dan diminta memindahkan semua barangan peribadinya dalam masa sejam, manakala Teh pula memintanya supaya keluar melalui pintu belakang.

George yang kini merupakan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, berkata beliau terkejut dan merasa telah dikhianati.

Sambil mengisytiharkan pemberhentian George itu dilakukan dengan niat jahat, Suseela berkata, beliau mengarahkan gantirugi dibayar (kepada George) kerana pihak hospital gagal untuk membuktikan ia bertindak sedemikian kerana mahu menjimatkan kos.

Ia juga gagal membuktikan alasan-alasannya yang lain bahawa jawatan yang disandang oleh George tidak diperlukan apabila jabatannya dimansuhkan.

Oleh itu, mahkamah mendapati pemecatan George dilakukan tanpa alasan yang adil, kata Suseela dalam dokumen penghakiman itu.