Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata semua peruntukan untuk kementeriannya - ketika beliau masih berkhidmat sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah - disalurkan melalui kerajaan negeri sebelum tiba kepada mana-mana jabatan kerajaan.
Justeru kata anggota parlimen Semporna itu, beliau menafikan sebarang tuduhan yang mengaitkannya dengan skandal rasuah menggemparkan negara di Sabah baru-baru ini.
"Setakat yang saya tahu saya tidak menerima sebarang laporan mengenai hal itu," katanya kepada media di Kota Kinabalu hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 Oktober lalu dilaporkan merampas RM112 juta wang tunai ekoran penahanan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah.
Ia dianggap rampasan terbesar SPRM setakat ini.
Selain wang tunai, turut disita ialah sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah.
Semua empat suspek kes yang melibatkan dana RM3.3 bilion untuk projek kerajaan Pusat itu ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.
Mohd Shafie yang kini bergerak sebagai pemimpin parti baru berpangkalan di Sabah selepas beliau meninggalkan Umno berkata kementerian lain juga mungkin memberikan peruntukan kepada kerajaan negeri dan digunakan Jabatan Air Sabah.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan atau pembabitan saya dan bekas kementerian saya dalam dakwaan rasuah sebuah jabatan di bawah Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan," katanya dipetik akhbar New Straits Times hari ini.
Beliau sekali lagi menggesa semua pihak membiarkan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh sebelum mana-mana pihak menuding jari menyalahkan sesiapa.
