Terjemahan Sudah tiba masanya bagi pergerakan buruh di Malaysia untuk membebaskan diri daripada kongkongan pertadbiran dan perundangan yang mengikatnya sejak sekian lama, dan memperjuangkan pembaharuan dalam dasar-dasar buruh, kata seorang pemimpin veteran kesatuan sekerja.

Bekas Setiausaha Agung Cuepacs, A H Ponniah, menggesa pemimpin kesatuan sekerja supaya 'memutuskan rantai' yang menghalang perjuangan untuk meningkatkan hak-hak para pekerja.

"Cukuplah...sudah tiba masanya untuk kesatuan sekerja bebas memikirkan mengenai masa depan mereka dan tidak terus menerus terseret dalam agenda kerajaan.

"Mereka mesti menuntut satu dasar negara untuk mewujudkan satu pergerakan buruh yang kuat dengan pembabitan dan campurtangan minima dari pihak kerajaan," katanya ketika diwawancara malaysiakini di Kuala Lumpur.

Bagi mewujudkan sebuah pergerakan buruh yang kuat, Ponniah berkata, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap perjanjian-perjanjian antarabangsa dan bukannya terus menerus menjauhinya.

Katanya, kerajaan mahu mengekalkan status sekarang di mana kesatuan sekerja 'dikurung dan dipenjara' supaya sentiasa mengikut citarasanya.

"Ia akan terus menerus mendakwa wujudnya kebebasan berpersatuan dengan berhujah bahawa Malaysia mempunyai 8 peratus atau lebih 800,000 pekerja yang menganggotai 550 kesatuan sekerja," tambahnya.

'Masanya sudah tiba'

Ponniah (foto) berharap kepimpinan baru Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kongres gabungan kesatuan sekerja sektor swasta akan bertindak segera untuk memperjuangkan pembaharuan dalam kesatuan sekerja.

"Masanya sudah tiba. Kesatuan sekerja mesti cepat bergerak untuk memperkasakan pergerakan buruh sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

"Kesatuan sekerja mesti berani untuk memperjuangkan pembaharuan-pembaharuan penting. Jangan berkompromi. Mereka mesti membebaskan diri daripada rutin dan sanggup pula mengambil risiko," katanya.

Menurutnya, semua ini boleh dilakukan sekiranya MTUC mengutamakan matlamatnya dan berjuang untuk mewujudkan sebuah dasar negara bagi memperkasakan pergerakan buruh.

"Pada masa ini, ianya sibuk menyelesaikan masalah dalaman, termasuk dalam kesatuan-kesatuan gabungannya," katanya sambil menambah, beliau juga faham dengan bebanan lain seperti beban kerja yang terpaksa dipikul oleh pemimpin kesatuan sekerja dalam mengendalikan urusan hariannya.

"Memang ia bukan mudah tetapi kepimpinan MTUC mesti bersedia untuk mengambil risiko kehilangan sokongan dalam perjuangan untuk memperkukuhkan lagi pergerakan buruh," tambahnya.

Sambil merujuk kepada cadangan pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 (TUA) di mana draf sedang diperincikan, Ponniah kecewa kerana ketiadaan kesegeraan maklum balas daripada kesatuan sekerja walaupun mereka menyedari implikasinya.

"Saya hairan mengapa kesatuan sekerja mengambil ringan perkara tersebut sedangkan ia akan memberi implikasi besar jika pindaan-pindaan tersebut diluluskan," katanya.

Malangnya selama ini, katanya, kesatuan sekerja sudah diajar hidup dengan apa yang ada dan pada masa yang sama berharap masa depan akan menjanjikan sesuatu yang baik untuk mereka.

Beliau juga mengingatkan pergerakan buruh mengenai kesannya jika mereka bertolak ansur dengan pihak kerajaan berhubung cadangan-candangan pindaan tersebut.

Menurutnya, mereka mesti berhati-hati agar tidak terperangkap dalam membincangkan butir-butir terperinci (mengenai pindaan itu), tanpa menyedari bahawa ia sebenarnya bakal mengongkong mereka kemudiannya.

Lagi pula, beliau mengingatkan para pemimpin kesatuan, bahawa pihak kerajaan sentiasa tidak menghiraukan kesatuan sekerja.

Kekurangan visi

Beliau juga menyebut tentang sejarah dan rekod prestasi kerajaan Barisan Nasional yang menurutnya, sentiasa mengongkong kesatuan sekerja.

Pada masa yang sama, beliau juga menyalahkan kesatuan sekerja kerana "mewujudkan suasana terkongkong sekarang" yang membolehkan kerajaan mengeksploitasi kelemahan mereka.

"Ini adalah kesan daripada kurangnya visi dalam kesatuan sekerja. Mereka mesti memperjuangkan visi mereka untuk faedah pekerja dan pergerakan buruh, dan bukannya mengikut telunjuk kerajaan," katanya.

Menurutnya, kepimpinan MTUC mesti mula membuat tuntutan supaya diwujudkan sebuah dasar negara bagi memperkasakan pergerakan buruh yang memberi mereka hak buruh sepenuhnya.

Jika tidak, beliau menggesa MTUC sebagai pusat buruh negara, memfailkan aduan kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILP) jika kerajaan masih dengan pendiriannya yang anti-kesatuan.

"Bawa kepada ILO. Jika perlu, tuntut ILO menghantar misi melawat Malaysia dan sediakan laporan terperinci mengenai suasana buruh yang wujud sekarang," katanya.

Kata Ponniah, walaupun misi ILO hanya boleh dihantar ke Malaysia atas jemputan rasmi, tetapi beliau percaya pihak kerajaan tentunya mahu menjaga imej baiknya di mata dunia.

Menurutnya, pada kali terakhir misi ILO melawat Malaysia ialah kira-kira 40 tahun yang lalu, ia menyediakan sebuah laporan yang menggesa supaya dikurangkan pembabitan kerajaan dalam hal-ehwal kesatuan sekerja, tetapi ianya tidak diperdulikan.