Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Konvoi BERSIH disekat sementara Baju Merah di Johor
Diterbitkan:  Oct 22, 2016 5:42 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Konvoi BERSIH yang dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Muar, Johor telah disekat oleh sekumpulan Baju Merah, seperti yang digambarkan dalam beberapa video secara langsung yang disiarkan oleh laman Facebook 'Bersih 5 Johor' hari ini.

Video pertama, selama 56 saat, menunjukkan anggota Baju Merah bercakap kepada salah seorang peserta konvoi berkenaan dan meminta mereka berpatah balik.

"Tolong, patah balik. Di sini tak terima BERSIH," kata lelaki itu yang memakai baju sukan berwarna merah dan topi, dalam video yang dikatakan dirakam di Sarang Buaya, Muar.

Dalam video kedua yang berlangsung hampir sembilan minit, sekumpulan anggota Baju Merah dilihat meminta setiap kenderaan konvoi BERSIH berpatah balik.

Akhirnya, konvoi BERSIH berhenti di tepi jalan manakala beberapa peserta BERSIH dilihat berbincang dengan kumpulan Baju Merah.

Peserta BERSIH yang merakam video secara langsung boleh didengar memberitahu anggota Baju Merah serta beberapa penduduk tempatan yang memerhatikan kejadian bahawa kampungnya tidak jauh dari situ. 

Selepas bercakap kepada beberapa penduduk tempatan, peserta BERSIH berkata sekatan jalan raya itu dibuat oleh kumpulan Baju Merah kerana terdapat majlis perkahwinan di situ.

Menjelang akhir rakaman itu, seorang peserta BERSIH dan Baju Merah, yang dilihat mengadakan perbincangan berpelukan antara satu sama lain.

"Okay, jalan. Kuning boleh jalan," jerit lelaki berbaju merah itu kepada kumpulannya di seberang jalan.

Konvoi BERSIH kemudian beredar dari kawasan itu tanpa sebarang insiden, menurut video tersebut.

Lihat Komen
ADS