Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Awang Selamat saran penaja himpunan BERSIH disenarai hitam
Diterbitkan:  Oct 23, 2016 12:32 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Akhbar Mingguan Malaysia menimbulkan semula gesaan supaya kerajaan memberi perhatian terhadap syarikat dan usahawan yang menaja beberapa siri perhimpunan BERSIH.

Menerusi ruangan pojok Awang Selamat, akhbar itu menggesa kerajaan menyenaraihitamkan syarikat-syarikat terlibat dengan penganjuran perhimpunan itu.

"Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah pemberian bisnes dan kontrak kepada syarikat-syarikat serta usahawan yang menaja beberapa siri perhimpunan BERSIH.

"Hal ini sudah beberapa kali sampai ke pengetahuan Awang. Sepatutnya syarikat-syarikat tertentu yang pro-BERSIH disenaraihitamkan," tulisnya.

Menurut Awang Selamat, tindakan itu perlu dilakukan sebagaimana langkah diambil kerajaan negeri pembangkang ke atas pihak yang mereka label sebagai musuh kerajaan negeri.

"Akhirnya apa yang berlaku, kerajaan di sebalik kuasa yang ada, memperkasakan pihak yang salah.

"Keuntungan besar daripada bisnes itu digunakan untuk terus membiayai BERSIH yang mahu menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi ala Arab Springs," tulis Awang.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedaulatan, Awang berharap pihak berkuasa mengambil pendekatan segera dalam menangani ancaman BERSIH 5.

"Janganlah dah terhantuk baru terngadah," tulis Awang.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii menggesa kerajaan membatalkan kontrak syarikat yang didakwa terlibat dengan perhimpunan BERSIH.

Mendakwa memiliki banyak bukti, Mohd Razlan berkata syarikat-syarikat berkenaan menikmati keuntungan daripada kestabilan negara dan kini mahu menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.

Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah juga mendakwa terdapat dua individu - seorang anak jutawan dan proksi sebuah gergasi korporat terlibat dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Armand membatalkan laporan polis terhadap kedua-dua individu berkenaan kerana tidak mahu pergerakan itu dilihat sebagai 'bodoh'.

Lihat Komen
ADS