Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno batal laporan polis elak dilihat 'bodoh'

Selepas geger dengan tuduhan ke atas dua individu didakwa bersekongkol mahu menjatuhkan perdana menteri, Pemuda Umno hari ini membatalkan niat mereka membuat laporan polis untuk mengelak pertubuhan itu dillihat "bodoh".

Ditemui media Kuala Lumpur hari ini exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata mereka membuat semakan dan akhirnya mendapat maklumat yang dikatakan mereka itu tidak sahih.

"Apabila ada maklumat yang diberikan tak sahih, sebagai parti politik (yang membentuk) kerajaan menjadi tanggungjawab kami sebagai ahli parti untuk tidak melaporkan benda palsu," katanya.

Armand Azha juga mendakwa mereka mahu menunjukkan contoh yang baik melalui pembatalan cadangan membuat laporan polis berkenaan.

"Kalau betul, kita lapor (dan) kalau tak betul (maklumat yang diterima) kita tak lapor,"

"Kita tak mahu mahu jadi macam beri (kepada polis) dokumen palsu. Selepas tu polis check (semak, didapati ia adalah) palsu, nanti nampak bodoh.

"Kita tak mahu pemimpin muda yang nampak tak bijak (sebab) nak jadi pemimpin (kita) kena bijak dan jangan keluarkan kenyataan kurang bijak," katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Pemuda Umno akan membuat laporan polis terhadap anak seorang jutawan tempatan dan proksi sebuah gergasi korporat kerana didakwa terlibat dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Kata Armand Azha berdasarkan maklumat diterimanya, kedua-dua pihak itu menjadi penaja untuk “gerakan” menyingkirkan Najib.

Malaysiakini tidak menamakan pihak itu kerana masih berusaha mendapatkan reaksi mereka terlebih dahulu.

Sila serah kepada Armand

Bagaimanapun, kedua-dua individu terbabit diketahui rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi antara pengkritik paling utama kepimpinan Najib.

Taikun-taikun perniagaan itu menguasai pelbagai kepentingan perniagaan di negara ini, daripada projek pembangunan dan kompleks beli belah kepada hotel.

Ditanya dari mana mereka memperoleh maklumat itu Armand Azha berkata dia tidak boleh mendedahkannya namun sekali lagi menegaskan ia adalah "dokumen palsu".

Katanya apabila menerima sebarang maklumat sebagai pemimpin pihaknya perlu menilai dan menyemak kesahikan 'bukti' tersebut.

Apabila bukti itu tidak sahih, kata Armand Azha, menjadi tanggungjawab untuknya tampil menyatakan dokumen yang diserahkan itu tidak benar.

"Dan saya juga memohon kepada mana-mana rakan yang ada berita gerakan tersirat nak jatuhkan presiden parti, sila serahkan kepada saya untuk saya semak betul atau tak betul," katanya.

Sebelum ini pada 26 Julai lalu Pemuda Umno pernah membuat laporan polis berhubung isu sama membabitkan tiga tokoh berprofil tinggi.

Ketika itu laporan polis berkenaan dibuat sendiri naib ketuanya Khairul Azwan Harun.

Menurut Khairul Azwan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bersubahat untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan.

Bagaimanapun empat hari kemudian Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar sendiri menegaskan tindakan Khairul Azwan bersifat peribadi dan tidak mewakili pertubuhan mereka.

Pada 3 Ogos pula Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong mahu Khairul Azwan disiasat kerana membuat laporan palsu kepada polis dengan mendakwa wujud konspirasi peringkat tinggi terhadap Najib.

"Selaras dengan Seksyen 182 Kanun Keseksaan, polis perlu menyiasatnya (Khairul Azwan) kerana membuat laporan palsu.

"Saya tidak berkata beliau bersalah, tetapi pasti ada kes (untuk disiasat)," kata Yong kepada Malaysiakini.

Pada hari sama Malaysiakini melaporkan Khairul Azwan bangga dan menganggap laporan polis yang dibuatnya itu sebagai kejayaan Pemuda Umno.

Menurutnya, dia berjaya menghalang 'cubaan' untuk menggulingkan perdana menteri.

“Yang penting sekarang ini kita berjaya patahkan satu cubaan, menghalang satu cubaan.

“Saya dah buat laporan polis supaya polis boleh menyiasat dan dengan harapan perkara tak diingini tidak berlaku. Dan alhamdulillah, tidak berlaku,” katanya.

Lihat Komen
ADS