Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bentang usul Sarawak di parlimen, bukan sekadar di DUN'
Diterbitkan:  Oct 26, 2016 6:51 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem perlu mengarahkan menteri persekutuan dari negeri itu untuk membentangkan usul di Parlimen berhubung tuntutan semula hak negeri itu dan bukannya sekadar bertindak di Dewan Undangan Negeri.

Ketua DAP Sarawak Chong Chien Jen berkata demikian sebagai mengulas cadangan Adenan untuk membawa usul yang mahu kedudukan Sarawak dikembali sebagai salah satu daripada tiga wilayah di Malaysia dan bukan salah satu daripada 13 negeri di DUN.

Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan 11 negeri sebelum ini telah diiktiraf sebagai tiga kawasan dalam Persekutuan tetapi ini telah diubah menerusi pindaan perlembagaan pada tahun 1976.

Chong berkata, walaupun beliau menyokong usul di DUN itu tetapi ini hanya melakukan "separuh kerja".

"Lebih penting lagi, usul sepatutnya dibentangkan di Parlimen. Sarawak mempunyai enam menteri dalam kabinet persekutuan.

"Mana-mana mereka boleh kemukakan usul di Parlimen dan ini akan mengambil keutamaan berhubung mana-mana usul atau rang undang-undang ahli persendirian yang lain.

"Apa yang Adenan perlu lakukan adalah semata-mata mengarahkan seorang daripada enam menteri persekutuan membentangkan usul berkenaan di Parlimen dan saya boleh memberi jaminan bahawa semua 38 ahli parlimen DAP akan sokong usul untuk memulihkan kedudukan Sarawak itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Chong, kerajaan negeri Sarawak sebelum ini juga pernah membentangkan usul di DUN Sarawak menuntut 20 peratus royalti minyak dan gas pada Mei 2014.

"Dua tahun selepas lulus usul itu, ia kini ditangguhkan untuk selama-lamanya oleh kedua-dua kerajaan persekutuan dan Sarawak.

"Adakah cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memulihkan status Sarawak akan mengalami nasib yang sama?" soalnya.

DUN Sarawak akan bersidang dari 21 hingga 30 Nov.

Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963. Singapura keluar daripada persekutuan pada 1965.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS