Terjemahan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan yang beliau telah membuat dakwaan palsu bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki 70 peratus ekuiti dalam kumpulan akhbar New Straits Times dan stesen swasta, TV3.

Semalam, Mahathir menuduhkan Anwar membuat fitnah terhadap dirinya sewaktu bercakap dalam rancangan HARDtalk yang disiarkan British Broadcasting Corporation (BBC) kelmarin.

Ketika bercakap dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Melayu, Berita Harian, Mahathir menafikan yang beliau ada pegangan dalam kedua-dua pertubuhan media itu.

Ketika dihubungi di Amerika Syarikat, Anwar yang kini menjadi fellow pelawat di Universiti John Hopkins di Baltimore, berkata pendedahannya mengenai perkara itu "bukanlah satu isu baru" kerana ia telahpun dibangkitkan seawal tahun 1999.

"Apa yang saya katakan hanyalah penegasan semula kenyataan bersumpah saya di mahkamah, di mana saya berkata 70 peratus pemegangan saham Real Mild (Sdn Bhd) yang menguasai New Straits Times dan TV3 pada masa itu adalah atas nama Dr Mahathir Mohamad dan yang lainnya (yang mempunyai pegangan) adalah para editornya," kata Anwar.

Dalam laporan Berita Harian hari ini, Mahathir mendakwa Anwar cuba mempengaruhi masyarakat dunia kononnya beliau adalah pemimpin yang rasuah dan melakukan pelbagai kesalahan sehingga tidak boleh membenarkan bekas timbalannya itu menjadi penggantinya.

Mahathir yang memecat Anwar pada tahun 1998, menyifatkan dakwaan tersebut sebagai 'fitnah' dan melabelkan bekas timbalannya 'menikam dari belakang'.

Siasatan bebas

Menjawab dakwaan Mahathir itu, Anwar berkata tidak timbul isu 'fitnah' dan menegaskan tidak ada penafian dibuat ketika beliau mendedahkan perkara tersebut pada tahun 1999 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sewaktu perbicaraan kes liwat terhadapnya.

"Ini bukan isu baru dan ia tidak dinafikan sejak 1999 apabila saya membuat kenyataan mengenainya di mahkamah. Jadi tidak timbul isu fitnah atau berbohong dengan niat jahat. Saya berpegang kepada apa yang saya katakan itu," tambahnya.

Beliau jua mengulangi gesaannya supaya kerajaan mengadakan siasatan bebas terhadap pegangan dan pengumpulan harta dan kekayaan oleh pemimpin sekarang dan yang sebelumnya.

"Inilah satu-satu caranya jika kerajaan ikhlas dalam memerangi rasuah. Ia juga akan membuktikan siapa yang bercakap benar," katanya.

Mengenai kenyataan Mahathir yang menganggapnya sebagai 'menikam dari belakang', Anwar berkata, beliau tidak berniat langsung untuk terbabit dalam serangan peribadi terhadap bekas perdana menteri itu.

"Seperti apa yang saya telah nyatakan dalam rancangan itu, saya tidak menyimpan sebarang dendam terhadapnya dan apa yang saya kata itu, hanyalah untuk memperbetulkan fakta," tambahnya.

Jumpa rakyat

Mengenai perkembangan lain, Anwar berkata beliau merancang untuk mengadakan siri 'berjumpa rakyat' apabila pulang dari bercuti, di antara 27 Mei hingga 1 Jun.

"Saya mengikuti isu semasa di tanahair...kenaikan harga barangan asas dan akan berjumpa dengan rakyat jelata," tambahnya.

Selepas pemecatannya, Anwar telah dibicarakan atas tuduhan salahguna kuasa dan liwat. Beliau menjalani hukuman enam tahun penjara bagi tuduhan pertama, dan dihukum sembilan tahun penjara bagi kesalahan kedua.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan September lalu selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman bagi kesalahan liwat terhadapnya.

Anwar mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi politik dan tuduhan terhadapnya adalah rekaan semata-mata. Tetapi Mahathir telah menafikannya.