Tiada apa yang baru dalam Belanjawan Selangor 2017 yang dibentangkan oleh Menteri Besarnya Datuk Seri Azmin Ali, kata ADUN Umno.

Mereka membuat kesimpulan Azmin dan pentadbirannya hanya meniru dasar dan idea kerajaan persekutuan serta melakukan inisiatif selepas dikritik.

"Ini program wayang kulit, hanya nampak baik atas kertas," kata ADUN Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz ketika ditemui selepas Azmin membentangkan belanjawan selama dua jam di DUN Selangor.

Merujuk Insentif Perkahwinan Belia yang memperuntukkan RM500 untuk setiap pasangan baru, beliau berkata ada pasangan yang masih belum menerima insentif walaupun selepas melahirkan bayi.

"(Ahli Parlimen) Sekinchan sendiri kutuk lack of implementation (kurangnya pelaksanaan). Orang dah submit (permohonan) sampai dah hamil, lahir anakpun tak dapat," kata Johan, yang juga Setiausaha Umno Selangor.

Sementara itu, ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata tiada apa dalam belanjawan negeri itu yang boleh dibanggakan.

"RM20 juta untuk SMART bas, tapi blueprint yang dijanjikan tak ada, bas ada jalan limited (terhad),bukan semua orang boleh pergi ambil bas," katanya.

"Dia (Azmin) gagal dalam uruskan hal pengangkutan di Selangor, dia nak semata-mata popular, kembangkan SMART bas (sebab) ada logo dia, bagi orang tengok logo-logo dia itu," katanya.

Katanya, Skim Peduli Sihat yang memperuntukkan RM25 juta untuk khidmat kesihatan percuma kepada sejuta golongan berpendapatan rendah juga meniru caj rawatan perubatan RM1 di hospital awam.

"Saya tengok dia nak bertanding (idea dengan kerajaan persekutuan) " katanya sambil menambah Azmin membentangkan 'belanjawan pilihan raya'.