Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Dianggap sebagai Tunjang Keempat, media dalam masyarakat demokratik sering dilihat sebagai penghunus pedang, berdiri mengawal kepentingan umum daripada salah laku golongan kaya serta berpengaruh.

Sejak detik awal penubuhannya 17 tahun lalu Malaysiakini memainkan peranannya untuk misi ini.

Ekoran kekangan ketat undang-undang dan peraturan mengawal media - yang menyebabkan hampir mustahil untuk menyebarkan pandangan berbeza daripada naratif rasmi - wartawan serta pengarang Malaysiakini memilih ruang siber.

Sejak itu kami menyajikan rakyat Malaysia dengan berita dan pandangan - kebanyakannya tidak dapat dilihat di tempat lain - dan ia mengundang pujian, sekali gus kecaman.

Malaysiakini sedang disiasat polis kerana didakwa cuba melakukan aktiviti "memudaratkan demokrasi berparlimen".

Kami amat terkejut dengan tuduhan keterlaluan ini. Bagaimana laporan berita berdasarkan fakta disamakan dengan cubaan untuk memudaratkan prinsip demokrasi?

Kami tidak pernah menghasut orang awam untuk menggulingkan kerajaan melalui kaedah tidak demokratik.

Mengenai perhimpunan jalanan, Malaysiakini menyiarkan pandangan kedua-dua pihak, sama ada yang menyokong atau menolaknya. Malah portal berita ini menggalakkan perbahasan serta percambahan idea.

Dan jika rakyat Malaysia - semasa membaca artikel dalam portal berita ini - bercadang menukar kerajaan melalui peti undi, atau menghalang pembangkang daripada berkuasa, itulah inti pati demokrasi, bukan?

Daripada menjadi ancaman kepada demokrasi berparlimen, Malaysiakini lebih sering dianggap sesetengah pihak sebagai ancaman kepada kepentingan politik masing-masing, dan ini berlaku pada kedua-dua belah kumpulan politik.

Sebagai contoh, Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos semalam yang berikrar untuk "meruntuhkan" sebahagian bangunan Malaysiakini.

Beliau datang ke pejabat kami di Petaling Jaya dengan kira-kira 100 penyokong, menuntut jawapan berhubung geran diterima portal berita ini daripada Open Society Foundations (OSF) yang dikaitkan dengan bilionair AS, George Soros.

Jamal dan rombongannya berdiri di luar pagar bangunan Malaysiakini. Apabila bertemu dengannya, Jamal meminta kebenaran masuk dan kami bersedia memberi kebenaran kepada lima orang wakil baju merah.

Mungkin menjangkakan kami menolak permintaannya, Jamal kelihatan terkejut. Beliau kemudian meminta masuk bersama 15 orang penyokong, tetapi kami akhirnya bersetuju dengan jumlah 10 orang.

Dalam proses itu, kami menunjukkan kepadanya bahawa di sebalik kejian dan kenyataan kebencian serta pelbagai ancaman yang dibuatnya, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.

Kami menunjukkan kepada Jamal bahawa kami amat menghargai ruang kecil demokrasi yang kita ada dan hanya melalui jalan itu kita boleh menyelesaikan banyak masalah kompleks yang melanda negara kita. Dan walau apa pun perbezaan kita, kita semua adalah rakyat Malaysia.

Kita tidak boleh - dan mesti menghalang - kumpulan yang memegang kuasa memaksa definisi demokrasi berparlimen serta memutuskan apa yang dimaksudkan dengan "memudarat" institusi itu.

Di sebalik gangguan dan ugutan, Malaysiakini akan terus melaporkan berita dan pandangan yang penting. Mari kita pertegaskan - kami tidak akan berganjak daripada misi untuk menyatakan kebenaran kepada penguasa dan dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka.

Kami tidak pernah dan tidak akan berganjak daripada itu.

Lagi pun ini adalah tugas suci mana-mana wartawan. Dan ia sudah pasti bukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

[Baca artikel asal]

Lihat Komen
ADS