Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Polis tubuh pasukan khas siasat Malaysiakini
Diterbitkan:  Nov 3, 2016 4:16 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat Malaysiakini yang didakwa menerima dana tajaan daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasasakan oleh George Soros.

Menurut Utusan Online, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan khas itu akan diketuai oleh seorang timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Khalid berkata pasukan polis lima anggota akan mengumpul maklumat dan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan di bawah undang-undang mana perkara itu disiasat.

Sementara itu melalui mesej teksnya kepada Malaysiakini Khalid berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan cubaan melakukan perbuatan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Jika disabitkan kesalahan seseorang pesalah boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran dan Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan sebelum ini menafikan dakwaan dana yang diperuntukkan itu bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Premesh dan Gan berkata Malaysiakini adalah sebuah organisasi berita yang bertujuan untuk memastikan mereka yang memegang jawatan bertanggungjawab kepada rakyat.

Penjelasan terperinci berhubung perkara itu telah disediakan, manakala OSF juga menafikan bahawa ia didorong oleh agenda untuk menjatuhkan kerajaan.

Premesh juga telah menjelaskan bahawa geran berkenaan berkaitan KiniTV telah digunakan untuk menghasilkan program program Realiti Sarawak dan Sekilas Bumi Kenyalang.

"Pemberian geran berkenaan adalah untuk menyokong KiniTV menghasilkan lebih banyak buletin dan berita di Sarawak, yang sukar dilakukan oleh Malaysiakini, memandangkan kos yang tinggi dan kesukaran ke negeri itu," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS