Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu menyalahkan dirinya sendiri setelah dijatuhkan hukuman atas kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menuduh anggota parlimen Pandan itu melakukan aksi murah untuk kepentingan politik, beliau berkata, Rafizi telah melakukan jenayah yang serius dengan berbuat demikian.

"Inilah harga yang perlu beliau bayar - dan beliau hendaklah menyalahkan diri sendiri," kata beliau yang juga pengarah komunikasi strategik BN dalam kenyataan.

Tambah Abdul Rahman, Rafizi menyerang lawannya dengan fitnah tanpa menjalankan usaha yang sewajarnya dan tidak menghormati undang-undang di negara ini.

"Kali ini dia telah dengan sengaja melanggar undang-undang.

"Pihak polis siasat dan pendakwa raya bersetuju ada kes. Rafizi telah dibicarakan dan didapati bersalah, sejajar dengan matlamat beliau selama ini.

"Dia mahu dipenjarakan supaya boleh menjadi wira politik," tambah beliau.

Pemimpin BN itu juga menyatakan Rafizi telah berulang kali diberikan amaran akan melanggar OSA jika mendedahkan mana-mana bahagian laporan audit 1MDB tetapi tetap memilih untuk berbuat demikian.

"Tiada negara boleh beroperasi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang dan dibenarkan untuk tidak diapa-apakan.

"Adakah Rafizi fikir beliau mengatasi undang-undang? Bahawa undang-undang itu terpakai kepada para pengundinya dan bukan ke atas beliau?," soal Abdul Rahman.

[Baca berita penuh]