Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa syarat kehadiran satu perlima ahli adalah satu kemestian di segi undang-undang untuk membolehkan Majlis Peguam Malaysia mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM).

Hakim Raus Sharif memutuskan demikian ketika beliau mengisytiharkan bahawa mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam pada 17 Mac lalu "tidak sah dan batal".

Berikutan itu, beliau kemudiannya membenarkan permohonan peguam kanan Louise Edward Van Buerle untuk mengisytiharkan mesyuarat tersebut tidak sah kerana ia tidak memenuhi syarat korum sepertimana yang dinyatakan di dalam Akta Profesyen Undang-Undang (LPA) 1976.

"Ketiadaan korum tersebut menyebabkan mesyuarat AGM ke-59 itu batal dan tidak sah, dan semua tindakan atau keputusan yang telah dibuat di mesyuarat tersebut juga adalah tidak berguna dan tidak sah," katanya.

Sebaik sahaja keputusan itu dibuat, Majlis Peguam berjaya mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan.

Ini bermakna mereka yang dipilih dalam mesyuarat AGM tersebut masih boleh memegang jawatan masing-masing sehingga selesai rayuan tersebut.

Hakim Raus berkata Mahkamah Rayuan mungkin tidak bersetuju dengan keputusannya, tetapi katanya, memandangkan terdapat rayuan (yang akan difailkan), maka membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan (keputusannya).

Percepatkan rayuan

Ketika dihubungi kemudiannya, Pengerusi Majlis Peguam Yeoh Yang Poh berkata pihaknya telah menfailkan permohonan yang diperlukan bagi merayu terhadap keputusan hari ini.

"Kami akan mempercepatkan rayuan kita. Pada masa ini, kesan daripada penangguhan pelaksanaan keputusan itu, membolehkan status quo dikekalkan. Ini bermakna semua resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat tersebut masih kekal sehinggalah Mahkamah Rayuan membuat keputusannya," tambahnya.

Van Buerle, 55 adalah antara sekumpulan peguam kanan yang bertindak keluar meninggalkan mesyuarat tersebut kerana membantah keputusan Majlis Peguam untuk meneruskannya juga walaupun tidak mempunyai cukup korum satu perlima.

Kehadiran sekurang-kurangnya 2,340 daripada 11,700 peguam dari Semenanjung Malaysia, dikatakan diperlukan untuk mencukupkan korum. Hanya 1,152 peguam menghadiri mesyuarat pada 17 Mac lalu.

Ini adalah kali pertama Majlis Peguam mengambil pendirian bahawa Seksyen 64 Akta Profesyen Undang-Undang 1976 tidak menyebut mengenai kehadiran korum satu perlima ahli di mesyuarat tahunannya.

Pada tahun-tahun sebelumnya, kekurangan korum bermakna mesyuarat baru akan diadakan. Jumlah korum yang diperlukan ialah sekurang-kurangnya 2,340 daripada 11,700 peguam dari Semenanjung Malaysia.