Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, bukanlah menjadi niat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menimbulkan perasaan perkauman.

Sebaliknya, kata beliau, amaran presiden parti itu sekiranya bukan Umno memerintah negara, tanah air ini bakal jatuh ke tangan DAP adalah tepat.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan itu berkata, kenyataan Najib itu dibuat berdasarkan realiti.

"Saya melihat apa yang dinyatakan oleh presiden sangat tepat. Presiden membuat satu perbandingan BN di mana keindukkan kuasa itu adalah Umno dan pembangkang di mana keindukkan kuasa itu adalah DAP.

"Bukan niat presiden untuk menimbulkan perasaan perkauman tetapi hanya menyatakan realiti," kata Khairy kepada pemberita di luar dewan Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan semalam menyatakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah penentuan sama ada keindukan kerajaan pimpinan Umno dikekalkan atau memilih kerajaan baharu yang diterajui DAP.

Kata Najib, rakyat Malaysia terutama orang-orang Melayu dan Bumiputera berdepan persimpangan paling genting dalam sejarah politik negara untuk membuat keputusan antara dua pilihan tersebut.

Ujarnya, amaran keindukan kepimpinan tidak boleh dipandang ringan kerana banyak hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera akan lenyap serta pupus sekiranya DAP berkuasa.

Ini termasuk institusi-institusi Bumiputera antaranya Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera, katanya.

Sementara itu, mengulas kerjasama PAS dengan Umno, Khairy berkata, sehingga kini tidak ada kerjasama rasmi di peringkat kerajaan itu.

"Buat masa ini tiada kerjasama rasmi antara Umno dengan PAS, kami hanya bekerja bersama dalam isu yang melibatkan Melayu-Islam," kata Khairy.

Lihat Komen
ADS