Terjemahan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menemui penyokongnya di Selangor, Pulau Pinang, Negri Sembilan and Melaka semasa pulang bercuti selama empat hari daripada tugasnya di Universiti John Hopkins di Baltimore.

Pembantu peribadinya, Adlin Zabri memberitahu malaysiakini , bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan berada di Malaysia pada 28 Mei hingga 1 Jun dengan jadual program yang ketat.

"Beliau kini berada di Hong Kong untuk menyampaikan ucaptama di Majlis Anugerah Kecemerlangan Editorial Persatuan Penerbit Asia (SOPA). Anugerah ini mengiktiraf standard kewartawanan yang tinggi di rantau ini.

"Beliau dijangka tiba di Kuala Lumpur pada petang Jumaat (hari ini) akan mula bertemu para penyokong pada hari berikutnya," kata Adlin ketika dihubungi.

Antara program yang akan dihadiri Anwar ialah Forum "Reformasi Politik di Asia Tenggara" Ahad ini (29 Mei) di mana beliau dijangka berucap bersama dua lagi pemimpin pro-reformasi dari Indonesia, Dr Amien Rais dan Senator Kraisak Choonhavan dari Thailand.

Konvensyen PKR

Pada hari yang sama, Anwar juga dijangka melancarkan konvensyen tahunan PKR di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan mengadakan perjumpaan tertutup dengan para perwakilan.

Esok (28 Mei), Anwar akan menemui penyokong akar umbi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dalam perhimpunan dengan masyarakat Tionghua sebelum menunaikan sembahyang Maghrib bersama masyarakat Islam tempatan di Masjid Tengah Jalan Berapit.

Anwar kemudiannya akan berlepas ke Masjid Taman Pauh untuk menunaikan sembahyang Isyak bersama penduduk di situ sebelum menghadiri ceramah di Sungai Rusa di Balik Pulau pada jam 9.30 malam.

Pada hari Isnin (30 Mei), beliau dijadual menemui penyokongnya di Sungai Petani, Kedah pada sebelah paginya sebelum berlepas balik ke Melaka dan Negri Sembilan untuk menghadiri program yang telah disediakan.

Ini adalah kali kedua beliau menghadiri sesi bertemu rekyat selepas Mahkamah Persekutuan membebaskannya September lalu selepas membatalkan sabitan dan hukuman bagi tuduhan liwat ke atasnya.

Beliau bagaimanapun dilarang memegang sebarang jawatan dalam parti politik sehingga tahun 2008 selepas menjalani hukuman enam tahun penjara bagi kesalahan salahguna kuasa.