Terjemahan Pergerakan reformasi di negara ini akan mendapat suntikan semangat baru sekiranya bekas Timbalan Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menerajuinya, kata rakannya yang juga bekas Speaker Parlimen Indonesia, Dr Amien Rais.

"Bagaimanapun, saya sedar bukan mudah untuk beliau kembali semula ke arena politik. Bukan sahaja beliau berdepan dengan sekatan-sekatan politik, saya diberitahu beliau terpaksa menunggu beberapa tahun sebelum boleh aktif dalam politik. Dan ianya bergantung kepada persepsi rakyat Malaysia," tambahnya.

Berikutan sabitan dan hukuman enam tahun penjara bagi kesalahan salahguna kuasa, Anwar tidak boleh memegang sebarang jawatan politik selama lima tahun.

Anwar, yang dibebaskan tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman penjara terhadapnya bagi kesalahan liwat, kini menjadi penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), pimpinan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap dalam satu wawancara ekslusif dengan malaysiakini baru-baru ini, Amien berkata Anwar mempunyai 'kedudukan yang unik" kerana kepimpinannya yang berkarisma, menjadi daya penarik kepada rakyat pelbagai latarbelakang, di dalam dan di luar negara.

"...apabila dia berucap, orang ramai mendengar dan masyarakat antarabangsa dari Timur Tengah hingga ke Washington amat bersimpati dengannya.

"Inilah kedudukannya yang unik. Beliau diterima dengan meluas di negara-negara Arab, tetapi pada masa yang sama, Washington, London dan Paris juga amat bersimpati terhadapnya. Ini adalah sesuatu yang unik," tambahnya.

Amien yang berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri forum anjuran PKR hujung minggu lalu, menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai status gerakan reformasi di sini.

Pak Lah tidak serius

Amien yang merupakan antara tokoh penggerak di sebalik gerakan reformasi di Indonesia, juga berpandangan yang Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak serius untuk membawa pembaharuan dan pada pendangangannya, "semuanya berjalan seperti biasa di sini".

"Di Malaysia , ia (reformasi) baru bermula...di peringkat permulaan. Mungkin kerana (bekas Perdana Menteri Dr) Mahathir (Mohamad) terlalu lama berkuasa dan saya tidak nampak yang Pak Lah (Abdullah) secara serius mengubah asas politik di negara ini.

"Saya rasa ianya berjalan seperti biasa...maksud saya di bawah (pentadbiran) Abdullah, saya lihat politik di Malaysia berjalan seperti biasa," katanya.

Amien juga menegaskan pentingnya sokongan pelajar universiti dalam gerakan reformasi.

"...Saya percaya, hanya para pelajar yang boleh mempelopori reformasi. Tetapi jika pelajar tidak cukup sensitif terhadap persekitaran politik, maka tiada harapan reformasi akan bermula. Para pelajar merupakan faktor terpenting," katanya.

Beliau mengingatkan para pelajar Malaysia bahawa mereka akan menjadi 'parasit sosial' jika kesulitan yang dialami orang lain tidak memberi apa-apa makna dalam kehidupan mereka.

"...jika pelajar terlalu menumpukan kepada pengajian mereka, pergi ke perpustakaan dan menghabiskan masa membaca, maka apabila tamat pengajian, mereka menjadi tidak sensitif...maksud saya..mereka akan hanya memikirkan mengenai kereta mewah, rumah dan pendapatan yang besar...Saya rasa pelajar seperti ini akan menjadi parasit sosial," tambahnya.

Hubungan M'sia-Indonesia

Menurut Amin lagi, selain Indonesia, tidak ada negara di Asia Tenggara yang berdepan dengan gerakan reformasi yang serius.

Gerakan reformasi di Indonesia pada 1998 menyaksikan kejatuhan 32 tahun pemerintahan Suharto, serta pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, yang mengakhiri dwi-tugas pihak tentera serta memberi kebebasan bersuara dan mendapatkan maklumat.

Mengenai hubungan Malaysia-Indonesia, Amien berkata, kedua-dua negara, yang banyak persamaannya ini, tidak seharusnya hanya menggunakan saluran rasmi diplomatik dalam menyelesaikan masalah seperti isu pendatang haram yang menurutnya, boleh ditangani secara lebih baik lagi.

"Saya rasa, sebagai dua negara bersaudara, sebarang isu atau masalah mesti diselesaikan secara musyawarah... bukan melalui saluran rasmi diplomatik semata-mata. Saya rasa pemimpin kedua negara boleh bertemu pada bila-bila masa di Kuala Lumpur atau Bogor di Jakarta kerana jaraknya hanya memakan masa satu setengah jam penerbangan.

"Setiap kali saya melihat pekerja Indonesia pulang dari Malaysia dan dilayan secara buruk...saya membantah. Saya mengkritik keras Mahathir kerana mengenakan hukuman sebat undang-undang yang digunakan pada zaman Empayar Roman," tambahnya.

Pendatang haram di Malaysia menghadapi hukuman keras seperti penjara dan sebatan.