Utamakan pengurusan sampah sifar, bukan insinerator dan tapak buangan
Terjemahan 'Beritahu majlis tempatan anda bahawa anda tidak mahukan insinerator atau tapak buangan sampah. Anda mesti menghalang teknologi yang membinasakan ini daripada masuk ke negara anda, atau semua akan terlambat.'
Terjemahan 'Beritahu majlis tempatan anda bahawa anda tidak mahukan insinerator atau tapak buangan sampah. Anda mesti menghalang teknologi yang membinasakan ini daripada masuk ke negara anda, atau semua akan terlambat.'
Inilah mesejnya kepada masyarakat tempatan, dan khususnya para peserta yang menghadiri bengkel pengurusan bahan buangan di Kuala Lumpur.
Pejuang pengurusan sampah sifar sebagai satu alternatif kepada insinerator dan tapak buangan, Abigail Gay Z Jabinez dari Perikatan Global Alternatif bagi Insinerator(GAIA) dari Filipina, berkata ia telah terbukti berdayamaju di negara sedang membangun yang miskin.
Merujuk kepada kejayaan yang dicapai di India, Filipina, Kamboja, Korea Selatan, Lebanon, New Zealand dan Jepun, beliau berkata, kaedah kitar semula dan sampah sifar menjimatkan kos dan melahirkan masyarakat berdikari melalui aktiviti ekonomi berkaitan pelupusan sampah.
Menurutnya, penyertaan masyarakat amat diperlukan kerana ia merupakan 'jantung' kepada kejayaan program yang dilaksanakan.
Kerajaan, katanya, boleh mengagihkan pengurusan buangan sampah dan menggalakkan pembabitkan masyarakat dalam program sampah sifar atas usahadaya mereka sendiri.
Jumlah insinerator terkini
Program sampah sifar yang bermaksud mengurangkan jumlah sampah dan toksik dalam bahan mentah dapat dicapai dengan mengurangkan penggunaan, meningkatkan kecekapan produktiviti, penghapusan toksik dan dikitar semula.
Bimbang dengan beberapa laporan mengenai cadangan pembinaan tapak buangan sampah dan insinerator di Malaysia, Abigail juga kecewa kerana gagal memperolehi data mengenai jumlah terkini insinerator.
"Kecuali anda menghentikan inisiatif seperti itu masuk ke Malaysia, maka tiada tempat bagi sampah sifar. Hentikannya sebelum ianya sudah terlambat," katanya kepada para peserta.
Seorang ahli panel dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak hadir tanpa memaklumkan kepada pihak penganjur.
Menurut Abigail, jumlah perbelanjaan oleh negara-negara Asia dalam pengurusan sampah di kawasan bandar, menurut anggaran Bank Dunia pada 1999, akn mencapai AS50 bilion menjelang 2025.
Beliau juga mempersoalkan tanggungjawab syarikat-syarkat besar dalam memberi perhatian kepada usaha mewujudkan pelupusan sampah sifar bagi produk keluaran mereka.
"Apakah syarikat besar seperti HP, Macintosh dan IBM tahu ke manakah berakhirnya komputer mereka? Apakah Gillette ambil tahu apakah terjadi pisau cukur pakai-buang keluarannya?" soalnya.
Persidangan itu adalah yang pertama dianjurkan oleh Mengo gabungan 17 badan tempatan bukan kerajaan, dengan sokongan Kementerian Sumber Semulajadi dan Alam Sekitar serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.
Rakan penganjur lain ialah Danish International Development Assistance dan HSBC Bank Malaysia Bhd.
Menggerakkan masyarakat
Penyelaras kitar semula negeri Pulau Pinang, Dr Ong Hean Tee, ketika menjelaskan mengenai faedah penyertaan masyarakat tempatan, berkata pengiktirafan dan motivasi dapat memastikan kejayaan kempen-kempen yang dijalankan.
"Menggerakkan penyertaan masyarakat adalah penting supaya program ini berjaya. Mesej dalam kempen awam adalah untuk menggalakkan penyertaan mereka dan tidak terus menerus bergantung kepada kerajaan seperti sekarang," katanya ketika bercakap mengenai usaha menggerakkan masyarakat di peringkat akar umbi dalam menjayakan proses kitar semula.
Sambil menyifatkan Rukun Tetangga (RT) dan persatuan penduduk sebagai 'sambungan daripada mekanisme kerajaan', beliau berkata, mereka perlu diiktiraf dan dilatih dalam melaksanakan program kitar semula.
Katanya, keberkesanan program masyarakat telah terbukti melalui peningkatan kadar kitaran semula di Pulau Pinang daripada 1.6 peratus kepada lebih 15 peratus dalam tempoh dua tahun, selepas program masyarakat dilancarkan secara rasmi pada tahun 2002.
Dr Ong, yang juga pengerusi Kumpulan Kerja Alam Sekitar Pulau Pinang, sebuah jawatankuasa RT tempatan, yang berkerjasama dengan Institut Penyelidikan Alam Sekitar dan Sosio-ekonomi, menawarkan manual latihan untuk menggerakkan penyertaan masyarakat dalam proses kitaran semula.
Dua puluh kumpulan masyarakat menyertai projek perintis pada tahun 2001, dan 10 daripadanya terus aktif mengitar semula manakala 10 lagi melakukannya sekali-sekala. Program kitar semula di pulau itu dilancarkan pada tahun berikutnya.
Dr Ong berkata, sokongan pihak kerajaan dan pucuk pimpinan adalah penting dalam menjamin kejayaan program kitar semula yang dikendalikan oleh kumpulan masyarakat.
"Mereka mengharapkan bantuan kewangan dari majlis perbandaran. Malah, majlis-majlis tersebut menjimatkan kos bagi setiap tan bahan buangan yang dialih dari tapak buangan, dari segi kutipan, pengangkutan, pemindahan dan kos tapak buangan."
Perniagaan menguntungkan
Majlis Perbandaran Seberang Prai, katanya, telah menjimatkan RM120 bagi setiap tan sampah yang dialihkan.
"Ramai yang tidak menyedarinya, tetapi kitar semula adalah satu perniagaan yang berdaya maju dan menguntungkan. Apa yang kami lakukan ialah melatih mereka mengendalikan perniagaan berkaitan kitar semula.
"Jabatan Perpaduan Negara telah meminta kami berkongsi manual latihan kami. Dengan 2,000 RT di negara ini, bayangkanlah potensi dalam melaksanakan program masyarakat ini," katanya.
Dr Ong, yang juga perunding teknikal kepada syarikat pengurusan pelupusan di Pulau Pinang, Idaman Bersih Sdn Bhd, berkata Malaysia jelas tidak memerlukan insinerator atau tapak buangan kerana kedua-duanya boleh merosak dan mencemarkan tanah dan sumber air bawah tanah, akibat kebocoran bahan toksik.
"Ia menjadi tugas sivik kerajaan untuk menguruskan sampah dan penting baginya menyediakan sokongan kewangan yang diperlukan dan sokongan logistik untuk menjayakan usaha kitar semula di kalangan anggota masyarakat," katanya.
Menurutnya lagi, walaupun beliau bekerja dengan syarikat pengurusan tapak buangan, tetapi beliau akan cuba meyakinkan pihak syarikat berkenaan, mengenai kitaran semula dan pemulihan bahan sumber.
Kempen kitar semula sampah peringkat kebangsaan dilancarkan pada tahun 1993, tetapi kekurangan infrastruktur bersepadu.

