Dua rakan seperjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dilantik memegang jawatan penting dalam PAS satu langkah yang dianggap mencerminkan kesungguhan parti itu yang mahu bekas timbalan perdana menteri itu memimpin barisan pembangkang.

Kira-kira seminggu selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyuarakan kesediaan parti itu menerima Anwar memimpin barisan pembangkang, hari ini beliau mengumumkan perlantikan Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai setiausaha agung baru PAS.

Manakala Ahmad Awang pula dilantik sebagai ketua penerangan parti Islam ini. Beliau tewas dalam pertandingan jawatan naib presiden tetapi dipilih sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pusat.

Abdul Hadi membuat pengumuman tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat selepas pemilihan parti minggu lalu, di Pejabat Agung PAS, Taman Melewar.

Para pemerhati menyifatkan perlantikan kedua-dua mereka sebagai 'langkah PAS selanjutnya' untuk membuktikan keikhlasan parti itu menerima kepimpinan Anwar dalam barisan pembangkang.

Kamaruddin yang juga ahli Parlimen Tumpat, terpilih sebagai ahli jawatankuasa pusat PAS dalam muktamar minggu lalu, juga merupakan pengarah Institut Kajian Dasar (IKD).

Anwar-Fadzil rapat

Beliau bersama Anwar bukan sahaja di dalam Abim yang asaskan oleh timbalan perdana menteri itu, tetapi juga sepanjang pembabitan Anwar dalam Umno dan kerajaan, sebelum beliau (Anwar) dipecat oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Manakala Ahmad pula pernah menerajui Persatuan Ulama Malaysia (Abim), pengarah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) dan pernah menjadi pegawai kanan di Pusat Islam.

Menurut para pemerhati lagi, Anwar sebelum ini memang rapat dengan PAS ketika seorang lagi bekas pemimpin Abim, Datuk Fadzil Noor menjadi presiden PAS.

Bagaimanapun, kata mereka, hubungan tersebut agak renggang selepas pemergian Fadzil dan kehadiran Kamaruddin dan Ahmad memegang jawatan penting dalam PAS dipercayai dapat menjalinkan semula hubungan rapat Anwar dengan parti.

Abdul Hadi yang mengekalkan jawatan presiden PAS tanpa bertanding dalam pemilihan parti minggu lalu, turut mengumumkan perlantikan Dr Hatta Ramli, yang juga AJK pusat PAS, sebagai bendahari PAS yang baru.

Mahfuz Omar yang tewas dalam pertandingan bagi jawatan naib presiden, telah dilantik sebagai penolong ketua penerangan merangkap Pengarah Jabatan Penerangan PAS.

Perubahan besar

Manakala Senator Hassan Shukri yang gagal mengekalkan jawatan timbalan presiden dan seorang lagi calon jawatan tesebut, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, dilantik sebagai ahli AJK pusat.

Turut dilantik menganggotai AJK pusat ialah Mahfuz, Datuk Anuar Tan Abdullah (Exco Kelantan), Asmuni Awi (Peguam dari Perak), Dato' Hishamudin Yahaya (Pengarah Urusan Harakah), Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Dzulkifli Ahmad dan Mohamad Hanipa Maidin.

Perwakilan PAS dalam muktamar baru-baru ini telah membuat perubahan besar-besaran dalam barisan kepimpinan PAS dengan memilih Nasharuddin Mat Isa sabagai timbalan presiden yang baru.

Manakala jawatan naib presiden pula dimenangi oleh Husam Musa dan Mohamad Sabu manakala Dato' Hassan Mohd Ali mengekalkan jawatan itu.

Dato' Mustafa Ali tidak bertanding manakala Azizan Abdul Razak gagal mengekalkan jawatan itu.