Ahmad Awang: Perlantikan saya bukan kerana Anwar
Ustaz Ahmad Awang berkata pengalaman luasnya dalam bidang dakwah adalah sebab utama beliau dilantik sebagai ketua penerangan PAS yang baru dan bukannya faktor hubungan rapatnya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ustaz Ahmad Awang berkata pengalaman luasnya dalam bidang dakwah adalah sebab utama beliau dilantik sebagai ketua penerangan PAS yang baru dan bukannya faktor hubungan rapatnya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apabila diberitahu yang perlantikannya itu ada kaitan dengan usaha PAS untuk merapatkan hubungan kerjasama dengan Anwar, Ustaz Awang ketawa sambil berkata: "Saya tidak lihat begitu, tetapi orang lain mungkin mempunyai interpretasi mereka yang tersendiri."
"Saya rasa presiden yakin dengan kemampuan saya untuk memegang jawatan tersebut kerana pengalaman luas saya dalam bidang dakwah. Saya pernah mengetuai unit dakwah di Pusat Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri," kata ulama berusia 69 tahun itu, yang bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 1991.
Selain itu, katanya, beliau juga berpengalaman menerajui badan bukan kerajaan Persatuan Ulamak Malaysia selama 19 tahun dari tahun 1981 hingga 1999.
Ahmad bagaimanapun mengakui persahabatan dengan Anwar, yang begitu karib, sehingga beliau turut terbabit dalam rombongan Anwar untuk meminang Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Saya menjadi jurucakap rombongan peminangan ketika masuk melamar Azizah," katanya.
Di samping itu, katanya, beliau juga pernah berkerja bersama Anwar yang menjemputnya untuk membantu tugas-tugas dakwah dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang diasaskan oleh Anwar.
Aktif berdakwah
"Walaupun saya tidak pernah menjadi ahli Abim, tetapi Saudara Anwar mahu saya memainkan peranan dalam perancangan dan aktiviti dakwah badan tersebut. Jadi dia mempelawa saya untuk turut serta," tambahnya.
Menurutnya, Anwar bersama Kamaruddin Mohd Nor dan Kamaruddin Jaafar - yang turut dilantik sebagai setiausaha agung baru PAS sama-sama aktif dalam unit dakwah.
"Saya rasa ianya pada lewat tahun 1970-an... Anwar, Kamaruddin Jaafar dan Kamaruddin Mohd Nor... kami bekerjasama rapat. Saya terus membantu gerakan dakwah Abim selepas Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," tambahnya.
Bercakap mengenai jawatan barunya itu, Ustaz Ahmad berkata ianya terlalu awal untuknya bercakap mengenai cabaran-cabaran utama yang bakal dihadapinya.
"Tugasnya amat berbeza dengan tugas saya sebagai Pesuruhjaya PAS Perak jawatan yang saya pegang sejak empat tahun lalu. Tugas baru saya ini di peringkat nasional dan oleh itu skopnya lebih besar dan luas.
"Saya dipertanggungjawabkan untuk menjelaskan bahawa PAS bukan semata-semata sebuah parti politik, tetapi juga ejen dakwah Islam dan pada masa yang sama, memperjuangkan keadilan dan demokrasi untuk semua," jelasnya.
Ulamak progresif
Menurutnya, antara agenda utama beliau ialah untuk merangka pendekatan baru dalam menangani isu dan cabaran yang timbul dalam era globalisasi ini.
"Saya juga perlu menimbangkan secara serius apa yang perlu diperkatakan oleh Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang telah menegaskan bahawa PAS mempunyai tugas untuk memberi penjelasan dan bukannya menyerang atau mencemar (orang lain). Jadi kita perlu melihat bagaimana ini dapat dilakukan," tambahnya.
Ustaz Ahmad lulusan Sistem Perundangan Islam, Universiti Al-Azhar University pada 1966 dan fasih dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab dilihat sebagai seorang ulama progresif dalam PAS.
Beliau sebelum ini telah mencadangkan supaya keahlian PAS dibuka kepada bukan Islam dengan diberi hak yang setaraf dengan ahli-ahli agama Islam.
Ustaz Awang bagaimanapun menafikan cadangan itu telah ditolak oleh parti, tetapi menjelaskan pucuk pimpinan mahu fokus diutamakan kepada penyokong Melayu-Islam sebelum keahlian parti diperluaskan kepada orang lain.
"Saya percaya fail itu masih terbuka. Apabila kita selesai menangani perkara-perkara tersebut, insya'Allah cadangan saya itu akan diberi pertimbangan sewajarnya," kata beliau.

