Harus tinggalkan rumah jika suami ganas - mufti

   

Perlis mengeluarkan fatwa yang membenarkan seseorang isteri untuk meninggalkan rumah yang didiami bersama suami sekiranya merasakan dirinya berada di dalam bahaya.

Menurut Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tujuan fatwa berkenaan dibuat untuk mengelakkan kezaliman berlaku terhadap wanita dan isteri.

Ini kerana, menurutnya, ramai isteri membiarkan diri mereka dizalimi atas alasan agama walaupun dalam bahaya.

"Jika isteri pada anggapan kuat merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau hartanya berada dalam keadaan bahaya yang diiktiraf syarak, tidak mempunyai jalan keluar dan tidak mampu untuk ditanggung jika terus berada di rumah suami, maka isteri diharuskan keluar sekalipun tanpa keizinan suami.

"Ini setelah isteri benar-benar mendapati tiada langkah penyelesaian melainkan keluar meninggalkan rumah suami.

"Begitu juga jika suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan sesuai atau nafkah yang mencukupi, maka isteri boleh keluar rumah tanpa mendapat izin suami dan tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, Dr Mohd Asri berkata, pada asalnya isteri tidak boleh keluar rumah iaitu rumah kehidupan pasangan suami isteri yang disediakan melainkan dengan izin suami.

Katanya, keizinan suami diperlukan untuk keluar daripada rumah kerana suami merupakan pelindung, pembimbing dan ketua keluarga yang mana isteri merupakan tanggungwabnya.

"Jika isteri boleh berada di mana-mana sahaja tanpa keizinan suami, tentulah peraturan rumah tangga tidak akan wujud dan pergaulan baik antara suami isteri tidak akan berlaku dalam erti kata yang sebenar," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Asri ketika ditanya apakah situasi bahaya yang membenarkan isteri meninggalkan rumah, berkata antaranya ialah jika suami adalah kaki pukul atau terlibat dengan dadah.

"Suami kaki pukul, terlibat dengan dadah, terlibat dengan along sehingga membahayakan isteri, ada penyakit kelamin yang bahaya seperti aids dan seumpamanya," katanya dalam mesej WhatsApp kepada Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In