Detektif tekad lompat masuk kereta suspek kes samun
Ketangkasan seorang detektif dari ibu pejabat polis daerah Port Dickson berjaya memberkas suspek kes samun di sebuah kedai di Batu 1 Port Dickson.
Dalam kejadian sekitar jam 10.00 pagi, Isnin itu Koperal Farizi Fuad berdepan detik cemas apabila melompat masuk ke dalam kereta penjenayah.
Suspek cuba melarikan diri ketika polis menjalankan siasatan berhubung kes samun yang berlaku Ahad lalu.
Menurut Farizi, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun itu sekitar 9.00 pagi dan bergegas menyiasatnya selepas seorang saksi tampil memaklumkan keberadaan suspek.
"Pada 8 Januari saya dan seorang lagi rakan pasukan saya sedang siasat kes samun yang berlaku pada malam sebelumnya lebih kurang 2.30 pagi dan dalam jam 9.00 pagi (keesokan) kami terima laporan dan jam 10.00 pagi kita pergi siasat kes ini
"Jadi bila siasat kes ini tengah-tengah kami menyiasat seorang pekerja beritahu kami tiga pencuri terbabit cuba lari dan saya perkenalkan diri sebagai polis secara lisan tetapi dia cuba lari saya pun terus masuk ke dalam kereta dia," kata Farizi menerusi video di Sinar TV.
Mengimbas semula kejadian yang berlaku Farizi berkata meskipun berdepan detik cemas beliau sedaya mungkin cuba bersikap rasional dengan mengambil pendekatan psikologi.
"Bila dah masuk dalam kereta suspek yang berada di sebelah pemandu tak sempat tutup pintu dan pemandu terus pecut menyebabkan seorang daripada suspek terseret dan terjatuh.
"Jadi bila seorang dah jatuh tinggal dua dalam kereta dan mereka memandu melawan arus ke arah kilang terdekat," kata Farizi.
"Dalam keadaan panik dan saya bergelut dengan suspek saya cuba arahkan pemandu berhenti dengan kekerasan minimum tapi tak diendahkan.
“Kemudian saya pun cakap berhentilah sebab kesalahan ini hukuman dia minimum dan tak besar sangat. Itu cara psikologilah," cerita Farizi.

