Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Bernama melaporkan daripada Kunming, China, pada 14 Januari lepas yang China menyuarakan kesediaan memindahkan teknologi kawalan sempadan kepada Malaysia.

Agensi berita itu memetik Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, (Datuk Seri) Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata, banyak yang boleh dipelajari China mengenai pengawasan sempadan.

Beliau memberi contoh di wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Laos, Myanmar dan Vietnam sepanjang kira-kira 4,060km.

Beliau berkata, Malaysia akan menghantar 10 orang pegawai dari pelbagai agensi, seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), imigresen, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, polis dan tentera ke China dua bulan lagi bagi mendalami prosedur operasi kawalan sempadan China.

Soalan yang saya hendak tanya Zahid ialah China nak kawal sempadannya daripada siapa?

Sepanjang yang kita tahu, selain rakyat Korea Utara, tidak ramai orang luar yang hendak menyeludup masuk ke China. Bagi negara yang berpenduduk 1.4 bilion, 100,000 pendatang haram Afrika dan Arab tidaklah ramai.

Sebaliknya, kalau ada peluang, ramai orang China yang hendak keluar daripada China. Kini, ada kira-kira 50 juta orang China dan orang keturunan di luar benua China.

Kalau tak percaya, Ahmad Zahid boleh bagi tahu bilangan orang China yang masuk secara haram ke negara kita atau yang masuk sebagai pelancong dan penuntut tapi tak keluar.

Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri tentu sangat faham mengenai masalah masuk tapi tak keluar ini. Bikin kepala pusing.

Sekarang China kawal sempadan bukan macam dulu lagi iaitu dengan dirikan Tembok Besar tapi dengan menjadikan negara-negara yang berjiran dengannya sebagai negara satelit melalui kuasa tentera dan ekonomi.

Kecuali Vietnam yang mempunyai sejarah permusuhan turun-temurun dengan China, boleh dikatakan semua negara lain yang bersempadan dengannya sudah pun mengakui dan menerima kekuasaannya sebagai 'super power' tentera dan ekonomi.

Operasi Barisan Kedua

Setelah berjaya menjinakkan negara-negara yang bersempadan dengannya melalui kuasa tentera dan ekonomi, kini China berusaha menjinakkan pula negara-negara barisan kedua seperti Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.

China masih was-was terhadap Filipina kerana sejarah kerjasama ketenteraannya yang panjang dengan Amerika Syarikat.

Walaupun Presiden Rodrigo Duterte cuba menampakkan sikap berkecuali, tetapi dasar Filipina mudah berubah.

Negara sebelah sini yang paling dicurigai dan masih ditakuti China adalah Indonesia. Tangan China terbakar teruk akibat kegagalan pemberontakan Partai Komunis Indonesia (PKI) tahun 1965. PKI diketahui terletak di bawah kawalan ideologi CPC dan mendapat bantuan daripadanya.

Sejak kebelakangan ini, China amat selesa dengan Malaysia dan mula akrab dengan Singapura selepas kematian Lee Kuan Yew pada tahun 2015.

Tidak hairanlah kalau Malaysia dan Singapura sedang digula-gulakannya seperti hulubalang (warlords) China zaman silam mengkhayalkan Maharaja China dengan gundik-gundik dan candu.

China kini memperluaskan hegemoninya secara tersirat melalui kuasa tentera dan tersurat melalui ekonomi di mana Malaysia dan Singapura dianggap sebagai sebahagian daripada 'wilayahnya' di bawah projek 'one belt one road' (Obor).

Di bawah projek Obor inilah, China sangat agresif memasarkan teknologi kereta apinya kepada Malaysia dan Singapura serta memberi pinjaman berbilion ringgit bagi melaksanakannya.

Kalau pada zaman silam semua laluan dikatakan berakhir di Rom, di bawah Obor, semua laluan, khususnya kereta api, berakhir di Beijing.

Bagi Najib yang sedang lemas dalam hutang 1MDB dan musibah pertumbuhan ekonomi yang mendatar, dasar China ini umpama 'pucuk dicita ulam mendatang'.

Beliau mengambil kesempatan menjual dan menggadaikan aset negara, khususnya tanah, kepada China untuk menimbus bangkai 1MDB.

Dan apa yang Ahmad Zahid lakukan dalam lawatan ke Yunnan itu umpama 'menyorong bantal kepada orang mengantuk'.

China sedang mencari jalan memperluaskan hegemoninya dan Ahmad Zahid menawarkan satu lagi peluang melalui perkongsian kawalan sempadan.

Spektar penjajahan baru

Kalau lebih 500 lalu, korupsi harta benda dan minda di kalangan pembesar empayar Melayu membuka jalan kepada penaklukan Eropah, hari ini kita mungkin berdepan dengan fenomena yang sama.

Cuma kali ini penjajah bukan dari Barat tetapi dari Utara dan kaedahnya bukan penaklukan wilayah secara rasmi tetapi melalui intimidasi tentera dan penguasaan ekonomi.

Namun apa yang Ahmad Zahid lakukan bukanlah langkah pemula. Najib telah mendahuluinya.

Dalam lawatan ke China November lalu, Najib bersetuju membeli empat buah kapal peronda persisiran pantai (littoral mission ships) dan memberi kontrak projek landasan kereta api Pantai Timur berharga RM55 bilion kepada China.

Kesemuanya, pemberian projek, pembelian dan hutang yang dimeterai ketika lawatan Najib ke China tahun lalu berjumlah RM143.64 bilion.

Senjata dan latihan yang dibekalkan oleh CPC kepada PKM itulah yang membunuh ribuan askar, polis, home guard dan orang awam di Malaysia sehinggalah PKM dibubarkan melalui rundingan pada tahun 1989.

Kini Najib membeli senjata dari China dan Persatuan China Malaysia (MCA) – parti rakan Umno dalam Barisan Nasional - menjalin kerjasama parti ke parti dengan CPC untuk 'bekerja sebagai satu'.

Soalnya apakah lagi konsesi, tolak ansur dan layanan istimewa yang kerajaan BN pimpinan Najib-Zahid akan berikan kepada China tanpa memburukkan lagi potensi ancaman kepada kemerdekaan, kedaulatan dan keharmonian kaum?

Kawal persisiran pantai kita daripada siapa? Dari lanun Filipina dan pendatang haram negara-negara jiran?

Ancaman Sudah Bermula

Pada 15 Januari, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri) Shahidan Kassim sebagai berkata laporan media yang mengatakan nelayan sebuah negara asing yang menceroboh perairan negara tahun lepas mendapat latihan separa tentera ada kebenarannya.

Katanya, dakwaan itu dikuatkan melihat cara kedatangan nelayan asing itu secara agresif dalam kumpulan 150 buah bot besar-besar dengan diiringi bot pengawal pantai menyebabkan mereka berani melanggar bot penguat kuasa Malaysia.

“Laporan media itu sama dengan maklumat yang kita peroleh, nelayan asing ini dilatih tentera,” kata Shahidan.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana negara jiran, kita wajib tahu dan ambil ingatan bahawa negara yang paling aktif memberi latihan tentera kepada rakyat jelata adalah China dan mempunyai anggota tentera paling ramai di dunia. Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mempunyai seramai 2,285,000 anggota.

Pada 30 Mac 2016, BeritaHarian.Sg (Singapura) melaporkan walaupun tentera laut Malaysia menegaskan tidak ada kapal nelayan asing dikesan di perairan negara itu di Laut China Selatan minggu lalu, pihak berkuasa maritim berkeras menyatakan sehingga 100 bot China memasuki perairan Sarawak sejak 24 Mac sebelum meninggalkannya pada Ahad (27 Mac).

Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, mengadakan satu sidang akhbar pada Selasa di mana beliau secara khusus menegaskan "bot nelayan asing China" itu telah belayar ke arah barat sejak dikesan, dan jumlah kapal yang dikesan berkurangan kepada sekitar 85 pada Isnin.

Dasar hegemoni China di Laut China Selatan sekarang pasti memberi semangat dan keberanian kepada nelayan negara itu untuk masuk menangkap ikan di kawasan yang dipertikai dan dalam wilayah negara-negara jiran.

Sekarang mereka hanya takut kepada Indonesia yang merampas dan meletupkan kapal nelayan asing yang menangkap ikan secara haram di perairannya.

Apakah Najib dan Zahid berani menggunakan kapal yang dibeli dari China untuk bertindak tegas terhadap pencerobohan nelayan asing seperti yang Indonesia lakukan apatah lagi jika mereka dari China?

Kita wajib bersahabat dengan semua negara di dunia dan mengalu-alukan pelaburan terus mereka tetapi ini tidak bermakna kita harus menggadai kedaulatan negara dan menjual tanah kepada mereka.


DATUK A KADIR JASIN adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times. Beliau kini adalah ahli majlis tertinggi BERSATU.

Lihat Komen
ADS