Pemilihan NUBE tertangguh seminggu lagi
Terjemahan Pemilihan yang ditunggu-tunggu selama ini bagi mengakhir pertikaian dalam kepimpinan Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE), tertangguh seminggu lagi. Tarikh barunya ialah 17 Julai depan.
Terjemahan Pemilihan yang ditunggu-tunggu selama ini bagi mengakhir pertikaian dalam kepimpinan Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE), tertangguh seminggu lagi. Tarikh barunya ialah 17 Julai depan.
Dalam keputusannya pada 20 April lalu, Mahkamah Rayuan telah menolak keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (DGTU) mengadakan pemilihan baru pada bulan Ogos.
Ketika mengumumkan perubahan tarikh itu dalam satu sidang akhbar tergempar semalam, DGTU Mohd Zubir Mohd Basri berkata, penangguhan tersebut tidak dapat dielakkan kerana senarai keahlian untuk pemilihan kali ini perlu disediakan secara manual.
"Kita tidak sempat menyiapkan senarai itu pada masanya untuk membolehkan pemilihan diadakan pada 10 Julai ini, disebabkan oleh masalah teknikal dalam mendapatkan senarai yang betul dalam tempoh sehingga 31 Oktober 2001," katanya.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa menaip maklumat mengenai 25,521 ahli yang telah mendaftar pada tarikh berkenaan kerana kesatuan sekerja tidak mempunyai salinan mengikut tahun atau cawangan, yang telah dikemaskini sejak tahun 2001.
Mohd Zubir berkata, ahli NUBE hanya disenaraikan oleh pihak bank tempat mereka bekerja dan bukannya oleh cawangan masing-masing.
"Kini, data keahlian berada dalam sistem kami. Itulah sebabnya saya memutuskan untuk memanggil sidang akhbar pada saat-saat akhir semalam," tambahnya.
Tarikh pencalonan
NUBE mempunyai sembilan cawangan, iaitu di Ipoh, Johor Baru, Alor Star, Klang, Kuala Lumpur, Kuantan, Kota Baru, Georgetown dan Seremban.
Pencalonan bagi ahli jawatankuasa dan perwakilan di peringkat cawangan dan pemimpin peringkat kebangsan akan diadakan pada 25 dan 25 Jun.
Sebelum ini, tarikh pemilihan jawatankuasa cawangan dan pemegang jawatan utama ditetapkan masing-masing pada 22 Jun dan 7 Ogos.
Pemberitahuan awam mengenai perubahan tersebut akan disiarkan dalam akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times dan akhbar berbahasa Melayu, Berita Harian, pada 15 Jun ini.
Mohd Zubir berkata, ahli-ahli NUBE boleh memeriksa status keahlian mereka dari 16 hingga 22 Jun ini di Jabatan Hal-Ehwal Kesatuan Sekerja atau di pejabat buruh berhampiran pada 16, 17, 20 dan 21 Jun ini, semasa waktu pejabat.
"Mereka mesti membawa bersama kad pengenalan, slip gaji bagi bulan Ogos, September atau Oktober 2001 dan nombor keahlian untuk rujukan.
"Atau alternatifnya, mereka boleh membuat semakan berkaitan pemilihan tersebut dalam lamanweb Kementerian Sumber Manusia," tambahnya.
Pada masa yang sama, katanya, ahli-ahli juga boleh mendapatkan borang pencalonan di pejabat-pejabat tersebut.
Katanya, butiran terperinci mengenai pemilihan itu akan disiarkan dalam lamanweb kementerian berkenaan dan dipamerkan di semua pejabat buruh dan kesatuan sekerja, serta di bank-bank yang ahli Kesatuan Bank Komersial Malaya.
Bagaimanapun, perubahan tersebut telah menimbulkan kemarahan beberapa ahli NUBE dalam kumpulan Abdul Jalil Abdul Hamid.
Masanya dipersoalkan
Ketika ditemuai semalam, mereka mempersoalkan mengenai pengumuman mendadak mengenai perkara tersebut.
"Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia(MTUC) sepatutnya memantau proses pemilihan, tetapi nampaknya ia sendiri tidak tahu menahu mengenai sidang akhbar tersebut," kata seorang daripada mereka yang tidak mahu disebut namanya.
"Ia diadakan pada saat-saat akhir dan pada masa ketika kedua-dua pemimpin tertinggi MTUC berada di luar negara. Ia mungkin satu kebetulan tetapi saya masih merasa ragu," kata seorang lagi.
"Bagaimana pula MTUC tidak tahu atau tidak diberitahu mengenai perubahan tarikh tersebut?" soalnya.
MTUC sebelum ini, telah membantah kelembapan usaha-usaha untuk mengadakan pemilihan NUBE itu.
Ahli-ahli juga bimbang kerana adanya dakwaan mengenai kempen kotor digunakan oleh kumpulan lawan yang diketuai Muhammad Fauzi Shamsuddin, yang mereka dakwa memainkan sentimen politik dan kaum untuk meraih sokongan.
Larangan ke atas ahli politik
Ketika dihubungi hari ini, Mohd Zubir berkata Akta Kesatuan Sekerja 1959 (TUA) tidak menyebut syarat-syarat untuk berkempen atau melarang ahli politik bertanding.
"Tidak terdapat syarat-syarat di kertas pencalonan yang melarang sesiapa pun daripada berkempen tetapi mereka mesti mematuhi perlembagaan NUBE berhubung pemilihan.
"Saya tidak boleh menyekat sesiapa daripada berkempen tetapi mereka mesti mematuhi undang-undang," tambahnya.
Beliau juga berkata, satu-satunya yang ada kaitan dengan parti politik, disebut dalam Seksyen 28 TUA di mana pemegang jawatan dalam parti politik dilarang bertanding dalam pemilihan kesatuan sekerja.
"Ahli-ahli biasa termasuk pemimpin peringkat cawangan boleh bertanding dalam pemilihan kesatuan sekerja," tegasnya.
MTUC, Abdul Jalil Abdul Hamid, J Solomon (yang dipecat pada bulan Oktober 2001 telah mencetuskan kontroversi tersebut), Mohamed Fauzi dan Mohd Noor Basir tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara tersebut.

