Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bahri buat laporan polis pada biras
Diterbitkan:  Jan 26, 2017 7:16 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Bekas pengarah bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohd Zin membuat laporan polis terhadap biras beliau Noraihan Che Ali.

Dalam laporan yang difailkan di Kelantan awal minggu ini, Bahri berkata Noraihan membuat laporan palsu terhadapnya, apabila mendakwa beliau menyalah guna kuasa dengan mengarahkan serbuan ke rumahnya.

Menurut sumber yang rapat dengan Bahri, beliau menafikan dakwaan Noraihan bahawa beliau mempengaruhi SPRM dan polis untuk tidak menyiasat beliau atau isterinya Noor Haslina Abdullah.

Bahri mendakwa siasatan terhadap Noraihan berdasarkan laporan di Kelantan terhadap dakwaan penipuan tanda tangan allahyarham suami Noraihan berkaitan harta tanah bernilai RM4 juta.

“Saya lebih awal mengisytiharkan kepentingan saya secara bertulis kepada pihak atasan saya kerana khuatir wujud konflik kepentingan memandangkan isteri serta adik beradiknya juga terlibat dalam kes tersebut.

“Justeru operasi siasatan tersebut dipimpin oleh pegawai lain, bukan sama sekali saya,” menurut laporan Bahri yang dilihat oleh Malaysiakini.

Difahamkan isteri Bahri turut membuat laporan polis berasingan dalam isu itu.

Pada sidang media minggu lalu, Noraihan mendakwa Bahri mengarahkan pasukan SPRM menyerbu rumahnya di Kota Bharu pada Januari lalu.

Pengarah Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist) itu mendakwa dokumen-dokumen kolej dan perniagaan lain dirampas.

Katanya, allahyarham Muhamad Zamly Abdullah, pemilik Kist dan abang kepada isteri Bahri, Noor Haslina, meninggal dunia pada September 2015 dengan meninggalkan aset bernilai RM100 juta dan hutang RM85 juta.

Susulan itu, dakwanya berlaku pertikaian antara adik beradik, Noraihan dan anak pasangan itu yang baru berumur sembilan tahun.

Noraihan mendakwa pihak yang menyerbu rumahnya cuba memaksa dia menandatangani “surat penolakan harta” dan cuba mendapatkan cap jari anaknya, tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan berdasarkan laporan Noraihan itu sudah lengkap dan telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara.

Awal bulan ini, Bahri menjadi perhatian awam selepas mendedahkan beliau bersara awal kerana tidak puas hati dengan pengendalian kes bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, yang tidak dibawa ke mahkamah.

Lihat Komen
ADS