Menteri puji protes Jamal bawa katil dan aiskrim
Protes bawa katil dan aiskrim oleh Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di hadapan Bangunan SUK di Shah Alam semalam mendapat pujian dari Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.
Jamal membawa sepuluh katil bujang ke SUK selepas mendakwa terdapat banyak rumah urut haram di negeri itu.
‘Persembahan’ juga diadakan di hadapan bangunan SUK dengan demonstrasi mengurut.
“Bagi saya, itu merupakan cara yang proaktif kerana sebelum ini telah banyak aduan yang dibuat oleh NGO malah Pergerakan Pemuda Umno juga pernah membuat bantahan, namun tiada tindakan diambil.
“Dulu ketika Barisan Nasional memerintah Selangor pelbagai tohmahan yang dibuat kononnya terlalu banyak rumah urut, namun hari ini apabila pihak berkenaan yang memerintah tiga empat kali ganda lagi banyak,” beliau dipetik sebagai berkata oleh lamanweb Selangor Post.
Ketua badan perhubungan Umno Selangor itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan agensi persekutuan di Selangor semalam, lapor laman web itu.
Jamal juga mendapat pujian dari Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi.
Menulis di Facebook, Puad berkata walaupun cara Jamal itu dianggap pelik dan luar biasa, tetapi ia didakwa membuka mata dan memberi tekanan kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Cara Jamal menyebabkan kerajaan Selangor tidak boleh menutup mata...
“Cara Jamal kreatif, pandai memilih isu, memang isu rakyat, berani dan bersahaja.
“Lebih baik daripada demonstrasi BERSIH yang tidak ke mana,” kata Puad yang juga ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

