Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bot pelancong karam - 3 termasuk pemilik katamaran ditahan

Tiga termasuk pemilik bot pelancong katamaran yang karam ketika membawa pelancong China ke Pulau Mengalum ditahan polis petang ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, pemilik bot itu - seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun - ditahan di sekitar Kota Kinabalu kira-kira pukul 4 petang bagi membantu siasatan ke atas insiden itu.

"Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas pemilik bot kerana polis mendapati pemilik yang juga pengurus bot pelancong itu tidak mengikuti aturan yang betul, termasuk membawa penumpang melebihi kapasiti bot.

"Polis juga akan menyiasat jika wujud faktor kecuaian sehingga menyebabkan kematian," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan kes itu di Kota Kinabalu hari ini.

Selain pemilik bot itu, Ramli berkata, polis turut mendapat perintah reman sehingga 2 Februari ini ke atas dua kru bot yang diselamatkan semalam bagi membantu siasatan.

Beliau turut memaklumkan hanya 27 pelancong China menaiki bot tersebut - bukan 28 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurutnya, seorang pelancong lelaki dikenalpasti sebagai Li Qun, 33, bersama keluarganya telah mendaftar untuk menaiki bot berkenaan untuk melawat Pulau Mengalum.

"Bagaimanapun, pelancong itu dan keluarganya telah membatalkan hasrat mereka itu setelah melihat bot itu sarat dengan penumpang.

"Bagaimanapun, namanya masih tertera dalam senarai daftar penumpang sedangkan nama anggota keluarganya telah dipadamkan," jelasnya.

Ada melecur, mengelupas

Ramli menambah operasi mencari dan menyelamat yang masih dijalankan kini tertumpu kepada pencarian empat pelancong China dan seorang kru.

Katanya polis akan terus menyiasat jika terdapat pelancong dalam senarai daftar penumpang itu, tetapi tidak menaiki bot berkenaan.

Beliau juga berkata tiga pasukan siasatan telah ditubuhkan untuk kes itu - satu pasukan bagi menyiasat laporan mati mengejut dan satu pasukan perhubungan (liaison team) melibatkan seorang pegawai bagi seorang mangsa untuk melihat kebajikan mereka.

"Pasukan ketiga yang ditubuhkan ialah pasukan khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Sabah bagi menyiasat unsur cuai yang menyebabkan kematian di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan," katanya.

Mengenai 20 mangsa yang diselamatkan, Ramli berkata 12 daripadanya dalam keadaan stabil tetapi keletihan, manakala lapan yang lain mengalami kulit melecur dan mengelupas, kaki bengkak dan kesukaran untuk berjalan.

Katanya semua mereka mendapat perhatian perubatan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Bagi tiga mangsa yang mati pula, beliau berkata bedah siasat sedang dilakukan.

Bot jenis katamaran itu yang membawa tiga anak kapal dan 27 pelancong dari China dipercayai karam disebabkan angin kencang dan ombak besar pada 10 pagi Sabtu lalu, sejam selepas mereka meninggalkan jeti Tanjung Aru menuju Pulau Mengalum, destinasi pelancong kira-kira 56 kilometer ke barat laut Kota Kinabalu.

Semalam, dua kru dan 20 pelancong warga China diselamatkan di perairan Semarang dekat Labuan, manakala tiga lagi pelancong China terkorban dalam tragedi itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS