Kerajaan Kelantan pimpinan PAS hari ini mengisytiharkan 19 Februari sebagai cuti peristiwa dalam usaha memastikan jumlah hadirin pada perhimpunan Akta 355 di Kuala Lumpur, Sabtu ini adalah tinggi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata langkah itu adalah untuk membolehkan rakyat negeri itu hadir beramai-ramai pada perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada 18 Februari di Padang Merbok,

“Pada 19 Februari iaitu Ahad, rakyat Kelantan perlu bekerja jadi perkara ini sedikit sebanyak menyukarkan mereka untuk ke Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu kita memutuskan mengisytiharkan cuti peristiwa pada hari tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

Cuti hujung minggu bagi Kelantan jatuh pada Jumaat dan Sabtu.

Perhimpunan Sabtu ini bertujuan mendapatkan sokongan rakyat terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Pindaan ini, jika diluluskan, akan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman lebih berat dengan meningkatkan had hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan kepada penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Perhimpunan itu dijangka mendapat sokongan padu daripada PAS dan NGO Islam lain.

Awal hari ini, PAS kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga telah mengesahkan kehadirannya pada perhimpunan itu.

PAS mendakwa perhimpunan itu bukan anjurannya, tetapi ketua penerangan parti itu, Nasrudin Hasan menjangkakan mereka akan berjaya menarik kehadiran lebih 200,000 orang walaupun Padang Merbok hanya boleh menampung 45,000 orang.

Perhimpunan ini dijadual bermula jam 2 petang dan berlarutan hingga 11 malam.

Sebelum ini, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai BEBAS mengumumkan akan mengadakan perhimpunan balas pada hari yang sama.