Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menyifatkan Surat Sokongan yang dikeluarkan kepada pelajar perubatan, sebagai satu pengesahan rasmi terhadap permohonan mereka untuk diterima belajar di universiti luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Ianya adalah bukti sah yang mereka layak melanjut pelajaran dalam bidang perubatan di universiti yang kita iktiraf," kata Setiausaha MMC,Dr Wan Mazlan Wan Mohamed Woojdy kepada malaysiakini.

Apabila tamat pengajian, katanya, mereka mesti mengemukakan transkip keputusan peperiksaan daripada universiti berkenaan, sebelum mendaftar dengan MMC.

Mengikut Akta Perubatan 1971, katanya, MMC tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan kelayakan para pemohonan.

"Tanggungjawab untuk menentukan kelayakan pelajar terletak pada Kementerian Pengajian Tinggi, yang mengeluarka Surat Sokongan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Para pelajar perlu mengemukakan surat tawaran daripada universiti pilihan mereka bersama-sama dengan keputusan peperiksaan dan butir-butir mengenai aspek kewangan, sebelum kementerian berkenaan memberikan Surat Sokongan tersebut.

Pada 16 Jun lalu, MMC mengumumkan penarikan balik pengiktirafannya terhadap ijazah Universiti Perubatan Crimea State(CSMU), Ukraine, berkuatkuasa January tahun depan.

Pada hari berikutannya, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mendakwa, keputusan itu berbau perkauman kerana kira-kira 60 peratus pelajar terbabit adalah keturunan India.

Khamis lalu, Setiausaha Agung MIC yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk S Sothinathan telah digantung daripada jawatannya dalam kabinet selepas mempersoalkan jawapan Timbalan Menteri Kesihatan di the Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut.

Kriteria sama

Bagaimanapun, MMC menafikan sekeras-kerasnya bahawa unsur kaum merupakan faktor keputusannya menarik balik pengiktirafan terhadap CMSU, tetapi sebaliknya menegasnya bahawa berpunca daripada mutu pengajian dan juga nisbah pelajar-pensyarah di universiti itu.

Wan Mazlan berkata, MMC tidak mengamalkan dwi-standard dan ianya menggunakan kriteria yang sama apabila menilai permohonan untuk mendapat pengiktirafan daripada universiti tempatan dan luar negara.

"Purata nisbah pensyarah-pelajar di universiti awam tempatan ialah di antara 1:4 dan 1:5 dan kami menilai semula pengiktirafan akreditasi bagi setiap lima tahun. Bagi universiti luar negara, kami akan membuat penilaian semula jika menerima aduan mengenainya," kata beliau.

Wan Mazlan berkata, PSD menyediakan kriteria pengiktirafan terhadap universiti asing berdasarkan kepada keutamaan keperluan tenaga kerja dalam sektor awam, manakala MMC pula menyemak kriteria itu sebelum pengesahan diberikan.

"Jika perlu, kami mencadangkan pindaaan mengikut syarat-syarat MMC," katanya.

JPA menetapkan 13 perkara sebagai kriteria pengesahan, termasuk syarat kemasukan, kurikulum dan silibus, nisbah pelajar-pensyarah, kemudahan belajar dan bahasa pengantar.

Lulusan universiti seberang laut yang tidak diiktiraf oleh JPA, disyaratkan menduduki peperiksaan kelayakan perubatan apabila pulang ke tanahair.

Sambil menafikan dakwaan bahawa MMC menarik balik pengiktirafan terhadap CSMU kerana ia merancang untuk mengiktiraf universiti-universiti di Indonesia dan Mesir, Wan Mazlan mengakui lawatan telah dibuat ke Indonesia, tetapi tidak ada lawatan ke Mesir.

Mengenai dakwaan bahawa kerajaan Ukraine juga turut terperanjat dengan keputusan MMC itu, beliau berkata, CSMU gagal memberi jawapan yang mencukupi berhubung perkara tersebut.

"Kami memaklumkannya kepada mereka dan meminta mereka supaya memberi maklumat tambahan berhubung penilaian semula itu, tetapi kami menerima jawapan tidak lengkap," tambahnya.

Kelmarin, agensi berita nasional, Bernama, melaporkan, Mara akan terus menaja 40 pelajar di CSMU yang merupakan kumpulan pertama menuntut di universiti tersebut sejak tahun 2001.