Permohonan CEO InventQJaya didengar Jumaat ini
Permohonan ahli perniagaan kelahiran Libya, Dr Sadeq Mustafa untuk mencabar arahan polis yang meletakkan syarikatnya, InventQjaya Sdn Bhd sebuah syarikat incubator teknologi terkini dalam tanggungan, akan didengar Jumaat ini.
Permohonan ahli perniagaan kelahiran Libya, Dr Sadeq Mustafa untuk mencabar arahan polis yang meletakkan syarikatnya, InventQjaya Sdn Bhd sebuah syarikat incubator teknologi terkini dalam tanggungan, akan didengar Jumaat ini.
Peguam Sankara berkata, langkah pertama untuk mengenepikan arahan polis tersebut, yang dikeluarkan dibawah Akta Wang Gelap 2001, akan bermula apabila permohonan itu didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Raus Sharif.
"Jumaat ini, mahkamah akan mendengar permohonan sebelah pihak kami untuk mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan tindakan terhadap kerajaan.
"Apabila kami mendapat kebenaran itu, maka kami akan meneruskan langkah seterus di mana mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan utama bagi mengenepikan arahan rampasan polis dan mengembalikan hak Sadeq sebagai Ketua Pegawai Operasi InventQJaya CEO," katanya ketika dihubungi.
Katanya, Sadeg yang dalam permohonannya mendakwa wujudkan konspirasi, perasaan cemburu dan sabotaj membabitkan pegawai tinggi kerajaan terhadapnya tidak akan hadir di mahkamah Jumaat ini kerana dia tidak diperlukan berbuat demikian.
Iklan di akhbar
Sankara berkata, beliau menyedari mengenai penyiaran notis oleh pihak polis dalam sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris, bagi pihak InventQJaya semalam, yang meminta para kreditor syarikat tersebut supaya mengemukakan tuntutan kepada perunding khas, yang dilantik oleh pihak polis, sebagai pentadbirnya.
"Ia hanyalah satu notis kepada pihak kreditor tetapi ia menunjukkan betapa bersungguh-sungguhkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan," katanya.
Dalam permohonannya yang menamakan ketua polis negara dan menteri dalam negeri sebagai responden, Sadeq memohon perintah untuk menyekat dan menghalang tindakan seterusnya pihak kerajaan yang boleh memudaratkan dirinya dan InventQjaya.
Ia juga juga memohon mendapatkan perintah penangguhan hukuman berhubung perniagaan syarikat tersebut sehinggalah keputusan muktamad dibuat bagi permohonan tersebut.
Dakwaan konspirasi
Pada bulan Januari 2004, Sadeq telah menubuhkan InventQJaya di Cyberjaya yang merupakan Lembah Silikon Malaysia, selepas memperolehi pinjaman mudah RM437 juta yang dibayar secara beransur-ansur.
Kedatangannya adalah atas jemputan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tertarik dengan model perniagaan InventQbation untuk membantu negara kurang maju menguasai bidang teknologi.
Pada bulan Januari tahun ini, timbul dakwaan berlakunya salahpengurusan dan penipuan dalam syarikat tersebut yang membabitkan kira-kira RM50 juta yang dilaporkan dalam media. Berikutan itu, polis telah menyerbu pejabat syarikat berkenaan.
Kerajaan kemudiannya bertindak membekukan sumber kewangan InventQjaya dalam usahanya untuk melindungi baki RM60 juta daripada RM228 juta pinjaman yang sudah diserahkan, dan untuk melindungi pelaburan jangka panjang lain syarikat berkenaan.
Sadeg bagaimanapun telah menafikan semua dakwaan tersebut dan menyatakan beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya mengikut perjanjian pinjaman dengan memindahkan lapan teknologi dan lebih 600 hakcipta, mengambil bekerja dan melatih lebih 140 saintis dan ahli teknologi, serta menghasilkan 53 ciptaan baru di Malaysia.
Dalam afidavitnya yang difailkan pada 30 Mac lalu, Sadeg mendakwa, beliau telah melaksanakan tugasnya secara profesional dan beretika dan kerana itulah beliau menjadi sasaran beberapa bekas pekerja yang tidak puashati dengannya, selepas dipecat kerana prestasi yan rendah dan tidak beretika seperti terbabit dalam rasuah, kecurian dan pemalsuan dokumen.
Beliau mendakwa semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah Dr Mahathir bersara pada bulan November 2003.
Sadeq juga mendakwa bahawa "mereka yang mahu menghancurkan dan syarikatnya" telah menggunakan laporan polis yang dibuat oleh bekas ketua pegawai kewangannnya, Sushamma Gokhale, yang mendakwa beliau (Sadeg) telah melakukan pecah amanah.
Ahli perniagaan itu berkata, beliau akan mendedahkan identiti mereka yang mensabotajnya apabila kes tersebut dibicarakan di mahkamah. Sadeq juga mendakwa, tindakan polis itu "didorong' oleh pegawai tinggi yang sama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.