Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN PERKASA merujuk kepada laporan portal berita atas talian Malaysiakini, bertajuk “Surat terbuka G25 rayu MP tak sokong RUU355” yang disiarkan pada 6 Mac 2017.

PERKASA juga merujuk kepada kenyataan kumpulan G25 yang merayu agar anggota parlimen agar tidak menyokong dan membatalkan Rang Undang-undang 355 (RUU355) apabila ia dibahaskan di Dewan Rakyat.
Sayugia diperingatkan bahawa, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memberi penegasan bahawa Islam adalah agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagiannya.

Sebenarnya, artikel ini memartabatkan Islam sebagai agama negara yang sah dan memberikan implikasi yang positif kepada hal ehwal berkaitan Islam dan juga Mahkamah Syariah.

Dengan erti kata lain, perkara 3 merupakan sebahagian undang-undang tertinggi negara. Menurut Datuk Seri Mohamed Apandi Ali ketika menjadi Hakim Mahkamah Rayuan dalam penghakiman kes kalimah Allah:

“Perkara 3(1) meletakkan agama Islam setara dengan struktur asas perlembagaan yang lain. Ini disebabkan ia merupakan Perkara Ketiga dalam susunan perkara yang berada dalam Bahagian 1 Perlembagaan”.

PERKSA yang meneliti pindaan Akta 355 sejak mula, berpendapat pindaan pelaksanaan undang-undang Syariah telah dilakukan berpaksikan kerangka dan tunjang Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, penambahbaikan Akta 355 dapat meninggikan taraf Mahkamah Syariah.

Sebenarnya, intipati pemerkasaan Akta 355 terdapat dalam titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung semasa istiadat pembukaan penggal keempat, parlimen ke-13 pada 7 Mac lalu.

Baginda telah menitahkan: "Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan dalam masa yang sama agama agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini.

“Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Svariah dapat disegerakan...."

Menurut G25, “Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan status Perlembagaan Persekutuan, undang-undang persekutuan dan Mahkamah Sivil adalah lebih tinggi daripada enakmen undang-undang syariah negeri dan demi memastikan yang hanya wujud satu sistem perundangan untuk semua”.

Pernyataan ini hanya separuh betul kerana puak G25 tidak memahami bahawa sememangnya sudah sedia wujud dua set sistem perundangan dan mahkamah yang berbeza iaitu mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah.

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syarie.

Hukuman lapuk

Kali terakhir ia dipinda pada tahun 1984 berupa peningkatan dari penjara enam bulan dan denda RM1,000. Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah.

Puak G25 juga berhujah bahawa antara sebabnya bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad dalam Perlembagaan Persekutuan ialah kerana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan Senarai Negeri Item 1, bidang kuasa mahkamah syariah ke atas penghukuman kesalahan “tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan”.

Termaktub juga “tujuan peruntukan ini ialah agar parlimen dapat menjalankan fungsi pengawasan dan pengawasannya dalam penghukuman kesalahan, termasuk tatacara penghukuman yang dirangka oleh enakmen negeri agar badan perundangan negeri tidak terbuka untuk memperuntukkan penghukuman kesalahan serta menjatuhkan hukuman”.

Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati.

Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri kelak apabila pindaannya di luluskan pada peringkat parlimen.

Pindaan Akta 355 melibatkan penambahbaikan hukuman Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil.

Menurut pihak berkuasa agama Malaysia, sekurang-kurangnya tiga bahagian Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda:

(i) Senarai II Jadual Kesembilan untuk memasukkan tambahan bidang kuasa Jenayah ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang terkandung dalam Butiran 1. Sebagai contoh undang-undang jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan kecederaan (kesalahan yang wujud dalam Kanun Keseksaan) terletak bawah kuasa persekutuan dan dalam bidang kuasa mahkamah sivil dan polis, penjara juga terletak dibawah persekutuan.

(ii) Selain pindaan pada Butiran 1, kebenaran parlimen bawah Perkara 76A juga perlu diperoleh bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa persekutuan.

(iii) Perkara 8 juga perlu dipinda supaya tidak timbul isu pendiskriminasian dan ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan peruntukan undang-undang kerana berbeza agama. Dengan kata lain bagi membolehkan ada dua set undang-undang jenayah kepada orang Islam dan bukan Islam.”

G25 juga berhujah bahawa “RUU355 meninggikan taraf Mahkamah Syariah dan mencelarukan penguatkuasaan.

Hasrat untuk menjadikan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil amat membimbangkan dan pasti mengejutkan masyarakat berbilang kaum apa lagi akan terjadi seterusnya kepada sistem perundangan negara.

Sistem penghakiman sekular yang selari dengan sistem syariah bukan saja melanggar perlembagaan, bahkan pasti timbul kecelaruan dalam penguatkuasaan undang-undang dan perintah-perintah tetap”.

Tiada ciri radikal

Memang benar RUU355 bertujuan memperkasa taraf Mahkamah Syariah dan ia adalah hasrat majoriti umat Islam yang percaya dengan kedaulatan Islam sebagai agama negara.

Berkaitan soal penguatkuasaan pula, ia berada dalam bidang kuasa jabatan agama negeri negeri dalam persekutuan.

Menurut G25 lagi, sebab ketiga ialah RUU355 menjauhkan pelabur dan mempunyai kesan kepada ekonomi.

“Negara pasti mengambil risiko besar dengan pelabur perniagaan asing dan domestik jika negara melangkah ke sistem perundangan yang bercirikan Islamik radikal yang dipandang keras dan tidak progresif sehala dengan nilai-nilai kehidupan moden.”

RUU355 tidaklah mempunyai ciri radikal Islamik bahkan ia lebih mempunyai tujuan mendidik dan bukan sekadar menghukum.

Kerisauan bahawa pelabur tidak datang ke Malaysia untuk melabur tidaklah mempunyai asas yang kukuh kerana jika negara kita kurang jenayah termasuk jenayah syariah, negara akan menjadi aman, makmur dan diredai Allah dan akhirnya dapat menarik perhatian para pelabur luar.

G25 juga berhujah bahawa RUU355 akan menyebabkan negara ini selangkah kepada perlaksanaan hukuman hudud.

Kata mereka: “Hujah-hujah penyokong PAS tegas menafikan yang pindaan kepada RUU355 itu bertujuan melaksanakan undang-undang jenayah syariah iaitu hudud. Rakyat curiga penafian ini kerana Kelantan di bawah kerajaan PAS sudah pun meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015. Rang Undang-undang Negeri Kelantan ini memperuntukkan hukuman hudud untuk kesalahan-kesalahan seperti zina, mencuri, merompak, liwat, minum arak dan murtad”.

Sebenarnya, hudud melibatkan hukuman yang menyentuh enam jenis kesalahan; empat bersifat individu atau dosa peribadi iaitu zina, menuduh zina (qazaf), minum arak dan murtad, manakala dua lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak.

Sekarang ini pun empat jenis kesalahan ini yang melibatkan dosa peribadi (zina, qazaf, minum arak dan murtad) sudah ada peruntukan undang-undang bawah kuasa negeri-negeri. Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan.

Jadi pindaan RUU hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri.

Pindaan RUU Akta 355 tiada kaitan dengan hudud mahupun hukuman jenayah bawah bidang kuasa persekutuan. Jadi tiada isu pertentangan dengan mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan.

G25 juga menegaskan bahawa kerajaan perlu mengutamakan urus tadbir kerajaan dan institusi awam yang baik dan lebih bermanfaat.

PERKASA percaya perkara ini sentiasa menjadi perhatian utama dan agenda kerajaan. Maka kerajaan tidak pernah mengabaikan perkara yang penting ini.

Namun demikian, RUU355 juga adalah penting bagi umat Islam untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

“Pemerintah yang baik, pemimpin yang jujur serta bertanggungjawab dan bersikap mengambil berat atas masalah orang-orang miskin dan kurang bernasib baik harus diutamakan untuk kemajuan ekonomi dan sosial negara. Ini lebih Islamik daripada perlaksanaan hudud,” kata kumpulan itu.

Akhir kalam, PERKASA merayu agar semua anggota parlimen agar menyokong pindaan Akta 355 dan mengabaikan igauan puak G25 yang konservatif ini.


DR AMINI AMIR ABDULLAH pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim), PERKASA.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS