Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Datuk Md Jais Sarday akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai bahagian perumahan dan kerajaan tempatan bagi memperhalusi kembali proses dan prosedur sedia ada di bahagian berkenaan.

Md Jais yang akan memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkuatkuasa Ahad ini berkata beliau akan mencadangkan amalan terbaik tadbir urus yang boleh memantapkan integriti dan ketelusan kerajaan negeri.

"Saya akan memberikan sepenuh komitmen untuk memahami dan mendalami portfolio baharu ini. Sebagai permulaan, saya akan melakukan dengan segera perjumpaan dengan pegawai-pegawai bahagian perumahan dan kerajaan tempatan bagi mendapat kerjasama mereka.

Saya akan berusaha untuk mengkaji dan memperhalusi kembali proses dan prosedur sedia ada dan mencadangkan amalan terbaik tadbir urus yang boleh memantapkan integriti dan ketelusan kerajaan negeri, khususnya Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Md Jais berkata beliau menganggap pelantikan itu sebagai satu tanggungjawab besar dan akan berusaha menjalankan tugas sebaik mungkin.

"Saya ingin mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan untuk memikul tanggungjawab ini. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kepercayaan ini," katanya.

Mohamed Khaled menerusi kenyataan semalam mengumumkan portfolio Pendidikan dan Penerangan, yang disandang oleh Md Jais akan diletakkan di bawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed pula akan memikul portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi.

Pengalihan dan perubahan bagi ketiga-tiga pengerusi jawatankuasa itu berkuatkuasa mulai Ahad, 12 Mac ini, serta akan menjadi tambahan kepada portfolio semasa yang dipegang oleh Ayub dan Ismail.

Penyusunan semula itu juga adalah bagi satu tempoh sehingga selesainya segala proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kes melibatkan anggota keluarga dan pegawai khas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi.

Abd Latif kini bercuti dari tugas rasmi kerajaan negeri Johor sehingga siasatan tersebut selesai.

Sementara itu, Ismail berkata tanggungjawab yang diberikan terbabit merupakan amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin.

"Saya juga menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor di atas perkenan pelantikan dan terima kasih kepada Menteri Besar di atas kepercayaan untuk menjalankan tugas ini.

Secara kebetulan, sebelum ini, saya bersama Datuk Md Jais telah bersama-sama mempengerusikan beberapa jawatankuasa sama ada berkaitan industri kecil sederhana dan industri ternakan. Bimbingan dari Md Jais dan kerjasama agensi yang terlibat dialu-alukan bagi menjayakan Johor Berkemajuan," katanya.

- Bernama