Mahkamah Rayuan tolak rayuan Eric Chia
Terjemahan Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia untuk menolak keterangan yang didapati dari Hong Kong dalam perbicaraan kes pecah amanah terhadapnya.
Terjemahan Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia untuk menolak keterangan yang didapati dari Hong Kong dalam perbicaraan kes pecah amanah terhadapnya.
Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak sebulat suara. Hakim Datuk Abdul Aziz Mohamed dan Datuk Azmel Ma'amor menolak permohonan tersebut, manakala seorang lagi hakim, Datuk Denis Ong Jiew Fook memihak kepada Eric.
"Keputusan ini tidak sebulat suara. Hakim Abdul Aziz dan Azmel sependapat bahawa rayuan ditolak, (dan) saya berpendapat rayuan ini dibenarkan," kata Hakim Ong yang mengetuai penal tiga hakim yang mendengar permohonan Chia tersebut.
"Terdapat perpecahan pendapat dalam korum. (Keputusan) majoriti mengatasinya. Oleh yang demikian rayuan ini ditolak," kata Ong.
Mahkamah tidak memberikan asas penghakiman. Ia akan dikeluarkan kemudian.
Berikutan keputusan tersebut, peguam Chia, Jeffrey John memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapat arahan daripada Chia untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan memohon mahkamah menyegerakan penyediaan rekod rayuan.
Peguam utama Chia Muhammad Shafee Abdullah kini sedang berada di Jepun di mana pihak pendakwa sedang mengumpulkan keterangan daripada beberapa saksi di sana berhubung kes pecah amanah itu.
Hakim Abdul Aziz berkata mahkamah akan mengambil perhatian mengenai perkara itu.
Rayuan seterusnya
Keputusan mahkamah hari ini bermakna semua keterangan yang dikumpulkan oleh pihak pendakwa di seberang laut, termasuk Hong Kong, Switzerland dan Japan, mengikut Akta Bantuan Bersama Perkara-perkara Jenayah (Macma) boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah.
Chia yang dikecualikan daripada menghadiri rayuan itu atas alasan beliau perlu menggunakan kerusi roda, kini bebas dengan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan beliau ditahan.
Rayuan itu ialah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdull Hamid Embong yang mengenepikan penolakan Mahkamah Sesyen terhadap permohonan pendakwaan untuk mengemukakan keterangan itu dalam perbicaraan CBT Chia di Mahkamah Sesyen.
Chia, 73, yang juga bekas pengarah urusan Perwaja Rolling Mill Development Sdn Bhd, didakwa melakukan CBT di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur, antara 4 November 1993 dan 22 Februari 1994.
Beliau dituduh dengan secara tidak jujur mengarahkan pembayaran RM76.4 juta ke dalam akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Limited, Hong Kong bagi bantuan teknikal yang diberikan NKK Corporation, Jepun untuk "Beam and Section Mill Plant" di Gurun, Kedah sedangkan bayaran tidak sepatutnya dibuat.
Alternatifnya, Chia dituduh mengeluarkan wang itu dengan menandantangani satu perjanjian dengan NKK Corporation dan meluluskan pembayaran tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill Development Sdn Bhd.
Chia mempunyai satu lagi rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung pengumpulan keterangan oleh Peguam Negara daripada saksi di Geneva dan Zurich, Switzerland.

