Ketua Umno Lembah Pantai Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berikrar akan melakukan sedaya upaya bagi menghalang sebuah syarikat pemaju hartanah merobohkan sebuah kuil Shindu di Jalan Pantai Dalam, termasuk berdiri di hadapan traktor.

Ini selepas kuil pihak jawatankuasa kuil itu menerima notis daripada pemaju yang mahu tempat itu dikosongkan dalam masa 14 hari, yang berakhir hari ini.

“Masalahntya, pemaju ini, selepas berbincang, dia kata ok ok ok, selepas itu, dia terus bagi notis untuk roboh iaitu pada tarikh esok.

“Jadi ini saya anggap satu pemaju yang tidak bertanggungjawab. Asalnya bukan tanah dia, tanah kerajaan, “ kata Raja Nong Chik, yang juga adalah bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang hadir bersama dalam sidang media di kuil itu hari ini.

Katanya, beliau pernah menghantar nota peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dua tahun lalu bagi mengingatkan bahawa pembangunan di kawasan itu tidak seharusnya membabitkan perumahan mewah.

Sebaliknya, mencadangkan kawasan itu bangunkan dengan 100 peratus rumah mampu milik.

"Tiada seorang pun penduduk di Lembah Pantai ini mampu menduduki perumahan mewah ini,” katanya.

Katanya, beliau tidak menentang pembangunan atau pihak kerajaan tetapi mahu pemaju untuk mengotakan janji-janji mereka untuk memastikan kuil itu masih berdiri.

Raja Nong Chik berkata jika pemaju berhasrat untuk meneruskannya, beliau mencadangkan mereka membantu membiayai kos menempatkan semula kuil ke lokasi lain.

“Masa saya menteri, saya sudah uruskan banyak penyelesaian untuk tempat ibadah, bukan hanya kuil, tetapi masjid dan jugak tempat ibadat lain.

“Jadi ini bukanlah perkara baru.

“Jika mereka teruskan (roboh kuil), kerajaan (dan) pimpinan BN ataupun Umno akan dapat nama buruk. Mungkin Kunan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) dan juga PM sekali,” katanya.

Kuil yang dibina pada 1960-an itu telah beberapa kali dipindahkan ke lokasi lain. Ia menduduki tapak sekarang selama kira-kira 20 tahun.

Pengerusi jawatankuasa kuil S Ilam berkata notis diberikan dua minggu lepas tetapi sidang media mengenai perkara itu ditangguhkan kerana pemaju berjanji untuk berbincang.

Tanah itu difahamkan ialah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pemaju telah membeli tanah tersebut untuk membina rumah mampu milik.

Tetapi Raja Nong Chik berkata hanya sebahagian daripada tanah seluas 100,000 kaki persegi (0.9 hektar) untuk pembinaan rumah mampu milik dan selebihnya diperuntukkan untuk pembanguinan kawasan perumahan mewah.