Ayah Pin dilihat semula di perkampungannya selepas serbuan JHEAT
Ketika pihak berkuasa sedang melancarkan gerakan memburu Ayah Pin di seluruh negara, seorang wanita pengikutnya dari Kuala Lumpur berkata dia ternampak Ayah Pin di perkampungan mereka di Terengganu, beberapa jam selepas tempat itu diserbu.
Ketika pihak berkuasa sedang melancarkan gerakan memburu Ayah Pin di seluruh negara, seorang wanita pengikutnya dari Kuala Lumpur berkata dia ternampak Ayah Pin di perkampungan mereka di Terengganu, beberapa jam selepas tempat itu diserbu.
Dia yang merupakan antara 21 pengikut Ayah Pin yang ditahan dalam serbuan Jabatan Hal-Ehwal Islam Terengganu(JHEAT) Sabtu lalu, berkata, dia ternampaik Ayah Pin apabila dia pulang dari balai polis pada lewat malam tersebut.
"Kami hanya sampai balik di Kampung Batu 13 pada tengah malam selepas membayar ikatjamin. Saya ternampaknya bercakap dengan sekumpulan penduduk di kampung tersebut, tetapi saya tidak dapat mendengar apa yang diperkatakan.
"Sejurus sebelum serbuan itu, saya ada bertanya kepada beberapa orang penduduk di mana Ayah Pin berada dan mereka berkata dia telah keluar awal tengah harinya," kata wanita tersebut yang enggan disebutnya, ketika dihubungi hari ini.
Kira-kira 65 pengawai penguatkuasa JHEAT, anggota polis, imigresen dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) terbabit dalam melancarkan serbuan tersebut.
Ayah Pin atau Ariffin Mohammad, 65, dilaporkan tidak ditemui di situ ketika serbuan dilancarkan, yang diketuai oleh ketua penguatkuasa JHEAT, Mohd Azam Alwi.
Kenderaan ada
Bagaimanapun, pegawai JHEAT, Yusof Salleh, yang turut terbabit dalam operasi tersebut hairan bagaimana Ayah Pin boleh hilang sedangkan pihaknya mendapat maklumat yang dia masih berada di situ.
Katanya, kenderaan Ayah Pin juga terletak di luar rumahnya dan tidak seorang pun yang nampak dia meninggalkan tempat tersebut.
"Kami membawa waran serbuan dan selepas mengeledah semua rumah dan bangunan, kami merampas kira-kira 20 VCD dari empat buah rumah, termasuk rumah tempat tinggal isteri keempat Ayah Pin," katanya.
VCD yang dirampas itu mengandungi rakaman Ayah Pin dalam pelbagai pakaian agama Budha dan Hindu, yang dirakamkan di beberapa buah kuil seperti di Batu Cave, Selangor dan di Bali.
Yusof berkata, pihak berkuasa sedang mengesan Ayah Pin kerana 'ia membabitkan isu nasional dan bukan terhadap kepada negeri itu sahaja".
Sementara itu, pengikut Ayah Pin itu berkata, mereka telah membuat laporan polis pada hari Ahad dengan mendakwa mereka tidak diberitahu sebab-sebab mengapa mereka ditahan dan mengapa rumah-rumah di perkampungan tersebut digeledah.
Bagaimanapun, ini belum disahkan dengan balai polis Besut.
Ketika menceritakan pengalamannya sewaktu serbuan itu dilancarkan, wanita berkenaan berkata, pegawai terbabit tidak memperkenalkan diri mereka dan tidak memberitahu mengapa mereka ditahan.
"Mereka begitu berahsia dan berbisik kepada saya supaya mengikut mereka apabila saya bertanya mengapa hanya sesetengah daripada kami yang disoal. Saya tidak pasti apa yang sedang berlaku.
"Seorang lelaki berpakaian biasa meminta saya menulis butiran peribadi saya dalam buku notanya dan apabila saya bertanya mengapa, jawapannya ialah 'saja nak berkenalan'. Seorang pegawai wanita JHEAT kemudiannya memeriksa beg saya."
Wanita tersebut, bersama tiga orang lagi, termasuk seorang inspektor polis dari Perak dan seorang pemain drum kumpulan rock dari Kuala Lumpur, tiba ke perkampungan tersebut, dengan menaiki teksi dari Machang Kelantan, pada kira-kira jam 5.30 petang.
"Kami berhenti di sekatan jalanraya berhampiran perkampungan tersebut, tetapi apabila saya sampai ke pintu masuk utama, saya ternampak kawasan tersebut penuh dengan anggota polis beruniform dan berpakaian biasa serta memakai jaket berwarna biru laut. Terdapat lima atau lebih trak polis, di mana terdapat helmet dan perisai, di dalam salah sebuah trak tersebut," katanya.
Ditahan secara rambang
Menurutnya lagi, pihak berkuasa menahan mereka secara rambang dan mengemukakan pelbagai soalan sebelum mereka dibawa masuk secara beramai-ramai ke dalam van JHEAT yang menunggu di situ pada kira-kira jam 7 malam.
Di balai polis, wanita itu berkata, mereka diberi risalah bertajuk'Ajaran Sesat Ayah Pin'.
"Mereka bertanya kepada saya mengenai Islam dan sama ada saya tahu bersembahyang. Kami disoal secara berasingan dan diarah menjawab beberapa set soalan sebelum mereka mengambil gambar kami," katanya.
Seramai 21 pengikut Ayah Pin akan didakwa di Mahkamah Syariah Besut pada 23 September depan.
Sementara itu Yusof berkata, beliau dimaklumkan, kumpulan tersebut telah membuat laporan polis dan inspektor polis tersebut turut menghadapi tuduhan lain oleh pihak polis, selain melanggar undang-undang syariah.
"Kami telah memulakan siasatan dan sentiasa mengawasi perkampungan itu dan aktiviti Ayah Pin dengan kerjasama Jakim dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri," tambahnya.

