Hakim sepatutnya tidak takut untuk menyatakan perbezaan pendapat dalam penghakiman kerana ia penting bagi mengekalkan kebebasan badan kehakiman, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Keadaan itu, titahnya, lebih mendesak ketika ini kerana kadang-kadang institusi di Malaysia seolah-olah terancam.

"Untuk membolehkan kedaulatan undang-undang berkembang, mahkamah dan pihak yang berkaitan perlu diizin menyatakan idea dan prinsil yang rencam.

"Setiap hakim harus mempunyai ruang untuk terlibat sepenuhnya (dalam proses penghakiman) walaupun ketika keputusan majoriti berpihak sebaliknya.

"Kebebasan kehakiman ini membantu memastikan bahawa kedaulatan undang-undang ditegakkan sepenuhnya [...]

"Kita hidup di masa yang mencabar, dengan institusi-institusi kita kadang-kadang seolah-olah berada di bawah ancaman. Amat penting untuk orang ramai menganggap badan kehakiman berada di kedudukan tertinggi dan terbersih.

"Lebih daripada itu, kita perlukan hakim yang berani dan berfikiran adil untuk menanam keyakinan bahawa sistem kehakiman begitu penting menjaga hak-hak, kepentingan dan kebebasan untuk semua," titahnya di Kuala Lumpur hari ini.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada majlis pelancaran buku Justice Above All: Selected Judgments of Arifin Zakaria with Commentaries hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria, yang bakal bersara mulai esok.

Menurut Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, buku itu diilhamkan sebuah jawatankuasa yang mahu memberikan hadiah perpisahan kepada Arifin sebagai memperingati kewibawaan beliau.

Antara penyumbang bagi buku itu, katanya, termasuk ramai anggota guaman disegani, termasuk Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon.

[Baca berita penuh]