Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Tiada petunjuk baru kes culik paderi akibat publisiti meluas

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan tiada petunjuk baru berhubung kes culik Pastor Raymond Koh Keng
Joo berikutan publisiti meluas berkenaan kes itu sehingga mengganggu siasatan.

Mengakui kes itu kini menemui jalan buntu, beliau dengan tegasnya mengulangi kenyataan supaya kes culik yang melibatkan wang tebusan, tidak diberi publisiti supaya pihak polis ada ruang seluas-luasnya bagi menyiasat dan menyelamatkan mangsa.

"Bila perkara ini banyak diperbualkan dan menimbulkan spekulasi dalam media, ia telah membahayakan mangsa.

"(Dan) saya amat risau, sebab sekarang siasatan kita buntu kerana kita tiada maklumat lanjut mengenai kehilangan pastor ini dan saya percaya ini adalah akibat terlampau banyak publisiti diberi kepada kehilangan pastor ini," kata beliau kepada pemberita di Kulai hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas maklumat terkini berkaitan kes
penculikan Pastor Raymond pada 13 Februari lepas.

"Kepada media, orang perseorangan dan NGO yang mahu melibatkan diri dalam kes-kes penculikan, tutup mulut anda kerana ia mengakibatkan bahaya yang tinggi tahapnya kepada mangsa," kata beliau.

Berkenaan dengan lelaki yang ditahan awal bulan ini, beliau berkata lelaki tersebut didapati seorang opportunis dan tidak terlibat dalam melarikan pastor berkenaan.

"Dia cuma mahu mengambil kesempatan ke atas keluarga kerana banyak sangat yang dihebohkan sana sini menyebabkan ada orang yang mahu mengambil kesempatan.

"Orang yang sebenarnya terlibat dalam melarikan Pastor Raymond ternyata berhati-hati dan apabila cerita dah heboh satu dunia, kita tak tahu apa yang jadi pada dia (mangsa)," kata beliau.

"Tiada petunjuk lagi sekarang. Saya bersama dengan keluarga itu. Kami
bimbang juga," katanya.

Berkenaan kes culik berasingan, Khalid berkata polis berjaya menyelamatkan seorang suri rumah yang diculik melibatkan wang tebusan di Johor Bahru.

Beliau berkata kejayaan pihak polis menyelesaikan kes berkenaan juga hasil kerjasama dengan polis Indonesia dan Singapura.

"Pagi semalam kita menyelamatkan seorang suri rumah, mangsa penculikan yang berlaku 27 hari yang lepas di Johor Bahru.

"Kita telahpun hantar mangsa kepada keluarganya dalam keadaan sihat dan selamat," katanya.

Susulan itu juga, polis menahan enam individu di Batam dan 12 individu di Johor Bahru yang dipercayai terlibat dalam kes culik berkenaan.

Kesemua 12 suspek yang ditahan di Johor Bahru, mula direman selama tujuh hari mulai hari ini, kata beliau.

"Selain itu, kita akan berbincang dengan pihak Peguam Negara untuk
menguruskan suspek-suspek yang ditahan pihak Indonesia di Batam semalam," kata beliau.

Pada hari kejadian, mangsa diculik dari rumahnya kira-kira 3.30 pagi dan
kemudiannya dibawa ke Batam sebelum dikurung di sebuah rumah ladang di situ.

"Dalam kes ini, penjenayah tidak menghubungi keluarga hampir dua minggu (dan) disinilah penting dan mustahaknya untuk pihak keluarga bekerjasama dengan pihak kita supaya siasatan dapat dijalankan dan perkara ini tidak dihebahkan

"Alhamdulillah, ia berakhir dengan kejayaan," tambah Khalid.
Ketika ditanya sama ada ada penglibatan orang gaji mangsa dalam kes culik itu, beliau berkata elemen itu juga sedang disiasat. -Bernama

Lihat Komen
ADS