Terjemahan "Memang dia!" kata seorang rakyat India Milan Kumar Pandey apabila melihat gambar Micheal Soosai yang dipercayai memalsukan kematian pada 2003 sebagai lelaki yang ditemuinya bulan lalu di Patna, India.

Bercakap melalui telefon hari ini, beliau merupakan pekerja komputer sambilan, mengesahkan gambar Soosai yang diemelkan oleh malaysiakini kepadanya.

Malaysiakini menghubungi Pandey selepas mengetahui yang dia telah ditemui oleh dua lelaki asing untuk membantu mereka mereka-bentuk lawanweb yang menyiarkan secara terperinci dakwaan rasuah yang membabitkan Soosai dengan polis Malaysia.

Soosai, 42, dikehendaki polis kerana disyaki terbabit 17 kes jenayah di Malaysia termasuk kes gangguan dan ugutan.

Pandey berkata, dia ditemui dua lelaki yang dikenali sebagai sebagai 'Mr William' dan 'Dr Mahadevan' bulan lalu dan meminta bantuan mengupah seorang rakyat tempatan, Rajeev Kumar, untuk mereka-bentuk dan mendaftarkan lamanweb itu di wilayah Patna di utara India. Rajeev dan Pandey tinggal di wilayah tersebut.

"Saya terbaca iklan dalam akhbar Times of India mengenai kekosongan jawatan pembantu peribadi. Saya menghubungi nombor telefon dalam iklan itu dan kemudiannya ditawarkan jawatan tersebut pada hari yang sama.

'Filem penjenayah terkenal India'

"Saya kemudiannya bertemu dengan seorang lelaki Cina (William) dan seorang lelaki berkulit gelap (Dr Mahadevan), yang memberitahu saya yang mereka adalah pembuat filem, dengan perniagaan asasnya dalam bidang kewangan.

"Gambar yang dihantar kepada saya oleh malaysiakini adalah Dr Mahadevan yang menurut anda adalah Michael Soosai - tetapi dia kini ada misai," katanya. Gambar Soosai sebelum ini pernah disiarkan dalam media di Malaysia.

Secara kebetulan, 'Dr Mahadevan' juga adalah nama kontak yang disenarai dalam lamanweb tersebut. Malaysiakini telah menghantar beberapa mesej kepada alamat emelnya, tetapi tidak menerima sebarang jawapan.

Menurut Pandey lagi, beliau bertemu kedua-dua lelaki tersebut kira-kira 10 kali sepanjang tempoh seminggu bersama mereka.

"Saya pertama kali bertemu mereka pada 2 Jun lalu dan kali terakhir pada 10 Jun. Kebanyakan pertemuan itu berlangsung di hotel terkemuka di Patna Hotel Chanakaya. Saya diberitahu lamanweb tersebut adalah untuk sebuah filem Bollywood yang bakal ditayangkan. Saya tidak tahu sama ada ianya membabitkan perkara lain ataupun membabit perkara menyalahi undang-undang," tambahnya.

Kedua-dua lelaki itu memberitahu Pandey bahawa mereka akan membuka sebuah pejabat di Patna tidak lama lagi dan untuk sementara waktu, pejabat penggambaraan mereka akan beroperasi dari hotel mewah tersebut.

Pendedahan Pandey sama seperti cerita seorang webmaster, Rajeev, yang sebelum ini berkata, beliau mereka-bentuk lamanweb tersebut selepas tertarik dengan tawaran 'tugas glamor' mereke-bentuk lamanweb bertema kisah seram bagi sebuah filem Hindi yang bakal ditayangkan mengenai kisah seorang penjenayah terkenal di India.

"Mereka menyebut sesuatu mengenai lamanweb tersebut akan dijadikan 'buku cerita terbuka' tetapi saya tidak faham ketika itu," Pandey.

Tidak dibayar gaji

William dan Mahadevan memberitahu Pandey bahawa mereka datang dari Singapura dan bekerja dengan sebuah syarikat bernama World Trade Finance Inc.

Carian di Internet menunjukkan syarikat kewangan tersebut berpejabat di California, Amerika Syarikat tetapi tidak mempunyai cawangan di Singapura atau apa-apa kaitan dengan kedua-dua lelaki tersebut.

Ditanya sama ada beliau merancang untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis, Pandey tidak pasti mengenainya. Katanya, setakat ini beliau tidak dihubungi polis India atau polis Malaysia berhubung perkara tersebut.

"Apa yang saya mahu sebenarnya ialah wang 15,000 rupees (RM1,300) yang belum dibayar kepada saya. Mereka berkata, ia gaji bulanan saya dan jumlahnya akan disemak semula selepas tempoh percubaan selama tiga bulan, tetapi mereka menghilang diri selepas seminggu.

"Saya tidak dibayar sesen pun untuk perkhidmatan saya selama ini," katanya sambil menegaskan bahawa telefon kedua-dua lelaki itu juga tidak dapat dihubungi lagi.

Sementara, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur berkata mereka tidak dihubungi oleh polis Malaysia berhubung siasatan kes Soosai yang dipercayai sedang bersembunyi di India.

"Perkara ini perlu diuruskan oleh polis Malaysia secara terus dengan pihak-pihak berkuasa berkenaan di India," kata Setiausaha Keduanya, Charan Jeet Laal, ketika dihubungi hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Narkotik Polis Persekutuan, Ismail Omar tidak dapat dihubungi berhubung perkara tersebut.

Ismail telah mengalih siasatan kes Soosai daripada Jabatan Siasatan Jenayah polis persekutuan (CID), berikutan dakwaan dalam lamanweb Soosai yang mengaitkan beberapa pegawai kanan CID dalam kes tersebut.

Kawin lari

Lamanweb itu mendakwa ada pegawai polis sesetengahnya kini memegang jawatan penting dalam pasukan itu telah melindungi dan membantu Soosai memalsukan kematiannya pada 2003.

Soosai dikatakan berpengaruh dalam pasukan polis sehinggakan apabila dia ditangkap, ramai pegawai daripada unit jenayah perdagangan, telah ditukarkan.

Kes Soosai dibuka semula selepas seorang rakyat Malaysia dibunuh di Selatan India Disember lalu. Mangsa tersebut adalah pemandu lori N Subramaniam yang mana anaknya telah kawin lari dengan anak perempuan Soosai. Soosai dikatakan menentang hubungan mereka.

Subramaniam telah pergi ke India dengan isterinya, Palli Pillamah selepas diberitahu yang mereka telah memenangi hadiah pelancongan percuma. Apabila tiba di India, kedua-dua terpisah. Mayat Subramaniam ditemui lapan hari kemudiannya.

Berikutan itu, isterinya telah membuat laporan polis sebaik sahaja pulang ke Malaysia, dengan mendakwa Soosai yang dilaporkan 'mati' dua tahun lalu telah membunuh suaminya.