AS sokong usaha M’sia terus siasat pembunuhan Jong-nam
Amerika Syarikat menyatakan sokongan terhadap hasrat Malaysia untuk meneruskan siasatan ke atas jenayah serius yang dilakukan di wilayahnya, merujuk kepada warga Korea Utara, Kim Jong-nam bulan lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur berkata segala langkah perlu diambil untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu ke muka pengadilan.
"Kami gembira bahawa semua diplomat Malaysia dan ahli keluarga mereka yang dilarang daripada meninggalkan DPRK telah dibenarkan pulang ke negara asal mereka.
"Halangan ke atas diplomat dan ahli keluarga mereka adalah satu pencabulan besar dan tidak boleh diterima mengikut Konvensyen Vienna," petik kenyataan itu.
Sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara tiba di KLIA dengan pesawat tentera pada jam 5.03 pagi ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan, semalam memaklumkan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan pulang ke tanah air.
Najib dalam catatan twitter miliknya berkata "Alhamdulillah Pesawat Khas membawa pulang 9 rakyat Malaysia telah keluar ruang udara Korea Utara. Krisis diplomatik sudah berakhir."
Susulan perkembangan itu, Najib berkata Malaysia kini membenarkan rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini.
Ketegangan Malaysia dan Korea Utara timbul berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.
Jong-nam, 46, dibunuh menggunakan agen saraf VX, oleh dua wanita asing semasa menunggu penerbangan pulang ke Macau di klia2.
Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara ia mengendalikan kes itu, yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata (PNG).
Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac lalu.
Korea Utara bertindak balas dengan mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohammad sebagai PNG.
Sebelum itu, Mohamad Nizan dipanggil pulang oleh Wisma Putra 'untuk perundingan' pada 20 Februari lalu, beberapa jam selepas ketegangan diplomatik tercetus apabila Kang Chol mengkritik siasatan pihak berkuasa Malaysia ke atas pembunuhan Jong-nam.
Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

