Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persenda PM: Dua NGO buat laporan polis
Diterbitkan:  Apr 6, 2017 8:37 PM
Dikemaskini: 12:39 PM

Dua badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung tindakan pengacara Singapura Najip Ali mempersenda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam sebuah program televisyen di negara itu, baru-baru ini.

Dua NGO itu adalah Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia.

Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah berkata tindakan sedemikian menyentuh sensitiviti negara dan membuatkan rakyat negara ini tersinggung.

"Najip boleh buat lawak tentang apa sahaja asalkan tidak menyentuh mana-mana sensitiviti di negara ini, tindakan menghina PM tidak boleh dimaafkan dan harus diambil tindakan sekeras-kerasnya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Dalam isu lain, penasihat undang-undang Gabungan NGO Selangor Datuk Mohd Imran Tamrin turut membuat laporan polis di IPD yang sama dan meminta peguam serta aktivis Siti Zabedah Kasim memberi keterangan kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) berhubung kenyataannya berkaitan kewujudan tuhan.

"Saya berharap dia (Siti Zabedah) memberi keterangan dalam masa terdekat kerana kenyataannya menimbulkan kekeliruan yang sedang berlaku," katanya.

Pada 2 April lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata Jakim akan memanggil Siti Kasim untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya dalam isu berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS