Pengikut Ayah Pin buat aduan rasmi terhadap pegawai JHEAT
Terjemahan Seramai 21 pengikut Ayah Pin yang ditangkap dalam serbuan di Kampung Bt 13, Terengganu minggu lalu, telah membuat aduan rasmi terhadap Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).
Terjemahan Seramai 21 pengikut Ayah Pin yang ditangkap dalam serbuan di Kampung Bt 13, Terengganu minggu lalu, telah membuat aduan rasmi terhadap Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).
Kumpulan tiga orang pengikut Ayah Pin dari Jerteh di Hulu Besut telah membuat aduan rasmi itu kepada sembilan badan, termasuk agensi kerajaan persekutuan, badan-badan perundangan dan hak asasi manusia di Kuala Lumpur semalam.
Surat yang ditulis oleh Che Suhadi Jiman bagi pihak pengikut Ayah Pin yang lain, menyatakan beberapa contoh penyalahgunaan kuasa dan kekejaman JHEAT ketika melakukan serbuan tersebut pada 2 Julai lalu.
Mereka mahu siasatan segera dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap aduan mereka itu. Satu salinan surat tersebut diperolehi malaysiakini lewat malam tadi.
Semalam, surat tersebut diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, Bahagian Pendakwaan Bukit Aman, Biro Aduan Awam di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Ketenteraman Awam.
Mereka juga turut menyerahkan surat yang sama kepada Istana Negara, Majlis Peguam, Suhakam dan Speaker Dewan Negara dan Suaram.
'Ketahui kebenarannya'
Ketika ditemui di Kuala Lumpur, ketua kumpulan tersebut, Che Suhadi berkata, mereka mahu orang ramai mengetahul "apa yang sebenarnya berlaku pada hari berkenaan" dan "bukannya pembohongan oleh setengah pihak dan pihak media".
"Para pegawai penguatkuasa telah bersikap kasar dan gagal memperkenalkan diri mereka apabila mereka enggan menunjukkan kad kuasa, semasa membuat serbuan tersebut," katanya kepada malaysiakini .
"Mereka juga tidak menunjukkan sebarang waran tangkap dan melanggar undang-undang sewenang-wenangnya ketika melakukan serbuan tersebut," tambahnya.
Selain seorang pegawai polis berpangkat inspektor, dua lagi pegawai kerajaan turut ditahan oleh JHEAT bersama-sama 21 pengikut Ayah Pin yang lain.
Che Suhadi berkata, inspektor polis yang bertugas di Perak itu telah diugut akan digari sekiranya tidak mematuhi arahan mereka.
"Dia (inspektor) menunjukkan kad kuasa polisnya dan meminta pegawai penguatkuasa JHEAT menunjukkan kuasa mereka. Sebaliknya mereka menengkingnya," katanya.
Pengikut Ayah Pin itu mendakwa para pegawai JHEAT tidak memperdulikan peraturan membuat tangkapan dan tahanan, termasuk kegagalan menyatakan sebab mereka ditangkap.
"Kenyataan pula diambil secara berpilih-pilih, termasuk sesetengahnya yang dipaksa berbuat demikian. Kami tidak diberitahu apakah kesalahan kaml," kata Che Suhadi.
Beberapa wanita yang turut ditahan, katanya, juga mendakwa mengalami gangguan seksual oleh pegawai penguatkuasa lelaki.
"Pegawai-pegawai lelaki telah meminta setengah tahanan wanita mengikut mereka pulang ke rumah dan menjadi teman mereka.
"Mereka ini berperangai tidak senonoh dan mereka memanggil diri mereka pegawai penguatkuasa agama," tegasnya.
Tekanan perasaan
Beliau mendakwa, menurut cerita tahanan lain, pegawai penguatkuasa terbabit menyerbu masuk ke dalam rumah-rumah di perkampungan tersebut tanpa kebenaran untuk memeriksa premis terbabit.
"Malah, mereka menuduh sesetengah penduduk di situ bersekedudukan walaupun diberitahu mereka mempunyai sijil nikah yang sah. Seorang wanita muda dituduh bersekududukan dengan seorang lelaki di situ.
"Dalam satu lagi kejadian, seorang pegawai mengekori seorang wanita muda yang lari ke dalam biliknya. Dia menendang pintunya sebelum masuk mengelidah bilik tersebut. Dia kemudiannya bertanya kepada wanita itu ke mana dia pergi untuk solat Jumaat," katanya.
Pada 3 Julai lalu, 21 pengikut Ayah Pin yang ditahan itu, masing-masing membuat laporan polis mengenai perkara yang sama. Mereka dijadualkan didakwa di Mahkamah Syariah Besut pada 23 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Ayah Pin, 65, tidak ditemui di perkampungan tersebut ketika serbuan itu dilancarkan.
Che Suhadi berkata, pagar di sekeliling kampung tersebut telah digantikan dengan pagar berduri pada hari Sabtu lalu bagi mengelak 'anasir subversif'.
"Kami juga telah mendapatkan khidmat peguam untuk membawa kes ini hingga ke Mahkamah Persekutuan, jika perlu, kerana kami tidak melanggarkan sebarang undang-undang negara ini," katanya.
Md Jeffri Haron, seorang pengikut Ayah Pin yang telah tinggal di kampung itu bersama isterinya sejak lapan tahun lalu, berkata, tindakan membuat aduan rasmi itu adalah salah satu cara untuk mendapatkan keadilan.
"Kami mahu memulihkan maruah penduduk dan para pelawat. Nama kami telah dicemar oleh laporan media sejak sebelum sebarang tindakan diambil," kata Md Jeffri, 31, yang turut ditahan dalam serbuan berkenaan.
"Malah, seorang wanita muda yang turut ditahan sewaktu serbuan tersebut, dalam mengalami tekanan jiwa dan kini menjadi seorang yang pendiam," katanya.
Menurut Che Suhadi, pada mulanya, 30 daripada 100 hingga 200 yang berhimpun di perkampungan tersebut ditahan, tetapi akhirnya hanya 21 orang sahaja yang didakwa.
"Sembilan orang lagi, termasuk kanak-kanak berusia 14 tahun, dijadikan penjamin kepada 21 orang yang ditahan itu," katanya.
Satu lagi aduan ialah mengenai ketiadaan cop rasmi JHEAT di bon jaminan, yang menurut Suhadi, menjadikannya tidak sah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.